NOVEL - Budak Ladang

Sudah diterbitkan di bawah penerbit PTS One Sdn. Bhd dan kini berada di pasaran.





“Bang! Bang!” bunyi tembakan kedengaran. Belum sempat Swee Teen membuka mulut tiba-tiba terdengar bunyi dua das tembakan datang dari rumah Ong. Malek terkejut dan tergamam. Kamera yang ada di tangan Malek masih merakam, Swee Teen dan Sundram menoleh ke rumah mereka. Malek segera meninjau apa yang berlaku dan apa yang didengarnya.
“Macam bunyi tembakan!” Malek cuba mengesahkan bunyi yang didengarnya. Swee Teen dan Sundram mula gelisah. Mereka berpandangan.
“Saya takut macam ada sesuatu yang tidak kena.” ujar Swee Teen.

Novel - SISIR EMAS PUTERI DUYUNG

NOVEL INI TIADA DALAM PASARAN DAN TIADA BAYARAN UNTUK ANDA MEMBACANYA...

SISIR EMAS PUTERI DUYUNG

Karya Kedua:
SALLEH de RAN






BAB 1.

Di bawah pokok kelapa seorang tua yang dikenali sebagai Tok Lara duduk dikelilingi oleh anak-anak kecil seusia lapan tahun hingga sebelas tahun sedang asyik mendengar cerita dongeng dari mulut Tok Lara.
“Tok Lara ceritalah dongeng yang lain pulak,” kata seorang budak lelaki yang mahukan Tok Lara bercerita.
“Baiklah, Tok Lara akan ceritakan satu dongeng yang kamu semua suka mendengarnya,” balas Tok Lara.
“Apa cerita dongeng itu Tok Lara?” tanya budak perempuan yang duduk di hadapan Tok Lara.
“Pernah dengar cerita Sisir Emas Puteri Duyung?. Soal Tok Lara pada anak-anak yang ada di sekelilingnya.
“Tidak pernah Tok,” jawab semua anak-anak.
Tok Lara membetulkan punggungnya yang terasa perit dan panas kerana terlalu lama duduk bercerita. Tok Lara tersenyum dan memulakan ceritanya.
“Alkisah cerita berlaku zaman dahulu kala, tidak diketahui tarikh dan zamannya. Cerita lisan penglipur lara, entah betul entah tidak yang perturunkan daripada mulut datuk nenek moyang kita. Mungkin ketika itu Alfonso De Albuqarque baru dilahirkan, Leonardo De Vinci dalam kandungan ibunya...” Tok Lara memulakan ceritanya.
Perkampungan Teluk Angin Pasang terletak di pesisir pantai. Rumah-rumah berselerak sana sini diperbuat daripada kayu hutan dan buluh beratapkan rumbia. Seorang bayi baru lahirkan. Seorang budak lelaki ditampar oleh bapanya. Penduduk kampung dengan urusan masing-masing. Ada yang membawa pendayung dan bakul ke laut. Ada yang bawa atap rumbia. Ada yang bawa kambing. Ada yang bawa kayu api. Ada yang bawa cangkul. Kanak kanak berlari dan bermain sana sini. Ada yang mengasah parang dan mengikat mata tombak dengan tali rotan. Ada yang menjahit pakaian menggunakan kain berupa karung guni dengan jarum tulang ikan. Ada yang membetulkan dinding buluh beranyam
“Ketika itu senapang dan peluru tidak wujud lagi, hanya tombak dan parang senjata diri. Pakaian berjahit ala kadar sahaja asalkan menutup aurat. Pakaian lebih kurang macam karung guni. Rumah sekadar dinding buluh beranyam, lantai dan tiang kayu hutan berikatkan rotan. Disebut nama kampung itu, Teluk Angin Pasang...” sambung Tok Lara lagi.
Air laut menghempas pantai. Pasir putih dipijak oleh nelayan. Jaring dan pukat di campak ke dalam sampan. Kemudian sampan ditolak ke laut. Lima buah sampan meredah laut sambil nelayan mendayung sampan. Maka terlihatlah tiga buah pulau iaitu Pulau Air di sebelah kiri, Pulau Mata di tengah dan Pulau Duyung sebelah kanan. Kelihatan nelayan bergembira sambil mendayung menyanyi lagu rakyat.
“Katanya cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan tiga pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai, mereka hidup sebagai nelayan... Ada pun nelayan tidak berani menghampiri tiga pulau yang dipanggil Pulau Air, Pulau Mata dan Pulau Duyung.” Tok Lara meneruskan ceritanya.
Di atas batu terlihat satu mahkluk aneh separuh ikan separuh manusia. Dia ialah Puteri Duyung. Puteri Duyung menyisir rambut menggunakan sisir emas. Rambut yang panjang mengurai dibelai manja. Sedang Puteri Duyung leka menyisir rambut tiba-tiba terdengar suara nelayan menyanyi lagu rakyat. Puteri Duyung dengan cemas terus terjun ke dalam laut menghilangkan diri.
“Di salah satu pulau itulah, penduduk Teluk Angin Pasang percaya wujudnya mahkluk duyung, separuh ikan separuh manusia...” tambah Tok Lara.


Sila Ke Bab Seterusnya, Anda Dihargai...

SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 02

BAB 2.

Rumah Teritip kelihatan senget sebelah kiri. Bapa Umang, Teritip membawa setandan pisang berjalan menuju ke perkarangan rumahnya. Sekali sekala tangannya menggaru punggung yang gatal entah berkurap entah berkayap. Sampai sahaja di tangga pisang setandan tadi diletak di tepi tangga. Teritip kepenatan dan terus duduk di tangga. Menggaru punggung lagi, kali ini garunya semakin laju dan Teritip terasa seronok dan terus menggaru.
“Sudah macam-macam ubat aku letak aku tenyeh, daun sireh bertemu uratlah, daun sekentut yang kuat baulah, daun cemumak yang bergetahlah. Satu benda pun tidak kurangkan gatal aku ini.” keluh Teritip.
Teritip mengibas-ngibas badannya dengan menggunakan kain seperti karung guni. Penatnya belum hilang. Sakit pinggangnya belum reda.
“Umang!… Umang!” jerit Teritip pada anaknya yang masih tidur di dalam rumah.
“Mana pulak budak baghal ini?” bisik hatinya yang semakin panas.
“Umang!” pekik Teritip lagi.
Teritip bangun dan berlegar-legar meninjau di muka pintu melihat-lihat kalau-kalau Umang sudah bangun.
“Dasar pemalas!” ujar Teritip sambil menggaru.
Di sudut rumah, Umang tidur berdengkur. Tidur Umang terganggu, badannya dikalih ke kiri kemudian dikalih ke kanan. Umang bingkas duduk dan tergaru-garu sambil mengibas-ngibas badannya dengan kain karung guni.
“Apa pulak yang gigit badan aku ini,” keluh Umang yang masih mengantuk lagi.
Kelihatan semut berkeliaran di badan Umang dan juga di lantai.
“Ehh binatang kecil ini rupanya yang gigit. Hai lah semut boleh tak kau gigit selain dari badan aku, kau gigit batu ke, kayu ke, rumah ini ke atau kau gigit bapak aku yang tengah mengamuk itu,” ujar Umang pada semut.
“Umang!, Umang!” pekik Teritip.
Terdengar suara Teritip dari luar rumah memanggil Umang. Umang terkejut, kali ini suara Teritip semakin tinggi nadanya. Umang masih mengibas-ngibas semut di badannya.
“Bapak nak apa?. Nak makan semut!” ujar Umang yang tidak puashati dengan Teritip. Umang bangun dan terus menggeliat sepuasnya. Terdengar letup tulang pinggang. Umang menguap panjang. Berjalannya agak malas menuju ke pintu rumah. Umang turun tangga selang dua anak tangga Umang duduk di sebelah bapanya. Bapanya menjeling pada Umang.
“Yang kau tergaru-garu ini kenapa, sudah terkena penyakit aku?” tanya Teritip.
“Bapak tolong garukan badan Umang,” Umang meminta Teritip menggarukan badan Umang yang gatal digigit semut.
“Bapak bela semut banyak sangat bukan boleh dimakan,” keluh Umang.
“Merah badan kau Umang, semut apa yang gigit kau ini?” tanya Teritip pada Umang.
“Semut gunung berapi agaknya pak,” jawab Umang ringkas.
“Ini bukan semut gunung berapi, ini semut fisiotrapi,” balas Teritip.
“Apa binatang fisiotrapi itu pak?” Umang kurang jelas.
“Alah adik beradik kutu babi.” jawab Teritip.
Teritip ambil penyapu di tepi tangga dan terus garu badan Umang dengan penyapu lidi. Umang menahan sakit akibat garuan penyapu lidi.
“Semut itu suruh kau bangun. Sebab kau itu pemalas. Orang lain turun ke laut kau turunkan air liur, membuta,” sindir Teritip.
“Hari ini saja Umang tidak ke laut pak, esok lusa Umang turunlah,” ujar Umang malas. Teritip berdiri dan mencampakkan penyapu lidi ke tepi sambil menggaru punggung lalu memarahi Umang.
“Kalau kau tidak ke laut kita nak makan apa?” jerkah Teritip nada keras.
“Hari-hari makan ikan, jemulah pak. Kalau makan buah Gedabu lagi sedap,” kata Umang dengan sopan.
“Ooo jemu, kau ambil pisang itu, rebus. Bapak nak makan. Cepat!” perintah Teritip pada Umang. Umang pun segera mengambil pisang yang terletak di tepi tangga dengan muka bosan ke dapur masak di bawah pokok kelapa.
“Keturunan monyet agaknya...” rungut Umang.
“Apa kau cakap!” pekik Teritip. Teritip serius sambil garu punggung lagi
“Bukan pak, pisang ini benyek tidak boleh di rebus. Kena buat cekodok benyek,” jawab Umang ketakutan.
“Aku tidak peduli kau nak buat cekodok ke, buat kuih pau pisang ke yang penting benda itu siap aku lapar,” Teritip segera naik ke rumah.. Umang letakkan pisang di sebelah dapur kayunya. Umang ambil periuk tanah dan diisi dengan air buyung lalu diletakkannya di atas tungku dapur. Kayu api disusun lalu dinyalakan dengan puntung bara kayu. Asap mula kelihatan keluar dari celah-celah kayu api. Kemudian Umang mengambil pisang lalu disiat-siat buah pisang dari tangkai sisir dan di sumbat ke dalam kuali.
“Menyesal aku tidak turun laut,” bisik hati Umang.
Langit membiru, matahari panas terik memancar. Di pinggir Kampung Angin Pasang Kerang bersama Kupang dan dua orang suruhannya iaitu Kembong dan Gelama melalui jalan kampung menuju ke Kampung Angin Pasang. Kembong dan Gelama membawa barang-barang dagangan seperti ayam, itik, bakul rotan, tembikar dan beberapa karung guni berisi beras dan sebagainya untuk dijual kepada penduduk Kampung Angin Pasang.
“Tuan, jauh lagi Kampung Angin Pasang?” tanya Kembong pada tuannya Kerang. Kerang memalingkan muka pada Kembong. Kerang menarik muka masam. Kembong rasa kecut.
“Kenapa kau tanya soalan itu bodoh!” bisik Gelama pada Kembong.
“Memang patut kita tanya, sejak tadi tak sampai-sampai lagi. Bahu dan kaki aku sudah naik kematu,” ujar Kembong. Kupang yang berada di belakang menolak badan Kembong dan Gelama.
“Woi! Kembong, Gelama apa yang kau bisik?” tegur Kupang sambil menolak badan Kembong dan Gelama. Kembong dan Gelama hampir terhumban dan menimbulkan kemarahan.
“Dasar kaki tinggi sebelah. Aku rasa kita tersalah jalan lagi,” ujar Kembong lagi.
Kerang yang berjalan tinggi sebelah itu segera membuatkan Kembong dan Gelama ketawa gelihati.
“Gelama kau tengok kaki tinggi sebelah itu, dah lama hidup jalan masih tak sama,” bisik Kembong menyindir Kerang. Kupang memasang telinga.
“Kau tidak sayang mulut ya, tidak serik kena bantai cemati,” Gelama mengingatkan Kembong, Kerang menoleh ke belakang bila mendengar Kembong dan Gelama ketawa.
“Lekas jalan... pemalas!” jerkah Kerang yang panas hati.
“Aku dah cakap, kau degil,” Gelama tegur Kembong.
Tiba-tiba tali cemati yang dipegang Kupang mengenai badan Kembong dan Gelama. Kembong dan Gelama terkejut dan menahan kesakitan.
“Kau hina tuan aku. Kurang ajar!” jerit Kupang.
“Apa!, dia hina aku. Kupang batai lagi!. perintah Kerang pada Kupang.
Kupang dengan pantas terus membantai Kembong dan Gelama dengan tali cemati. Kembong dan Gelama kesakitan, badannya berbalar-balar kesan pukulan tali cemati.
“Ampun tuan!. Sumpah kami tidak hina lagi...” rayu Kembong.
“ Sumpah, berbakul-bakul sumpah, sudah macam sampah!.
“Benar tuan kami tidak hina pun,” ujar Gelama.
“Kupang, kau dengar mereka hina aku?” tanya Kerang pada Kupang.
“Kembong cakap tuan kaki tinggi sebelah, sudah lama hidup jalan masih tidak sama,” terang Kupang. Kembong dan Gelama serba salah.
“Kurang ajar!, berani kau hina aku.” Kerang naik marah.
“Kita ajar mereka tuan,” Kupang terus memukul dengan tali cemati ke arah Kembong dan Gelama.
“Aduh sakitnya... nanti tuan, ini tidak adil Kupang pun hina tuan tadi,” ujar Kembong.
“Benar tuan, Kupang hina tuan,” sampuk Gelama.
“Bila aku hina tuan?” tanya Kupang pada Gelama.
“Tadi baru saja kau cakap...” Gelama yakinkan Kerang.
Kerang yang mendengar terus mendekati Kupang lalu merampas tali cemati dan terus memukul Kupang. Kupang menahan sakit. Kembong dan Gelama ketawa lagi.
Di luar rumah penghulu Tok Kepah asap dari dapur keluar di celah-celah dinding buluh dan atap rumbia. Rumah Tok Kepah sederhana besar, kelihatan kemas buatannya. Lamannya bersih dan terjaga ditanami pula dengan pokok bunga. Tok Kepah berjalan di perkarangan laman rumahnya menuju ke tangga. Tok Kepah berhenti di kaki tangga dan mengambil tempurung kelapa lalu menceduk air pada tempayan kecil di tepi tangga. Tok Kepah menuang air dan membasuh kakinya. Tempurung kelapa dicampak kembali ke dalam tempayan kecil. Air dalam tempayan berkocak. Tok Kepah menaiki empat anak tangga menuju ke pintu rumah. Tok Kepah duduk di muka pintu menghilangkan lelah.
“Mak Lala! kopinya mana?” tanya Tok Kepah.
Di ruang dapur Mak Lala membantu anaknya Siput meletakkan pisang rebus ke dalam bekas yang diperbuat daripada upih pinang. Mak Lala menoleh ke arah Tok Kepah, dia mengeluh bosan. Siput mengambil pisang rebus dari dalam periuk tanah dan meletakkannya ke dalam bekas upih pinang.
“Kopi, kopi... mana ada biji kopi lagi,” keluh Mak Lala.
“Apa nak disusahkan mak, tumbuk arang kayu jadilah kopi,” cadang Siput.
“Siput! mak kau dah buat kopi belum?” tanya Tok Kepah lagi.
“Air tengah jerang pak.” jawab Siput.
“Siput cepat kau pergi, sebelum bapak kau tahu,” ujar Mak Lala.
“Jangan beritahu bapak pisang rebus ini Siput beri pada Umang,” jelas Siput.
“Bapak kau itu pekak, haram tidak dengar mana dia tahu,” ujar Mak Lala lagi.
Tok Kepah duduk menyandar di muka pintu rumah sambil mengurut kakinya yang lenguh berjalan melawat kampung. “Siput mana pisang rebusnya. Kau buat dodol atau buat pengat?” Tok Kepah bertanya lagi.
“Bapak tahu mak,” bisik Siput.
“Bapak kau bau pisang rebus...” jelas Mak Lala.
“Siput rebus pisang pak.” Siput tinggikan nada suaranya.
“Sudah, kau jangan layan bapak kau itu. Ikut pintu belakang,” Mak Lala menyuruh Siput keluar melalui pintu belakang.
“Siput pergi dulu mak.” Pinta Siput. Siput bangun sambil membawa bekas upih pinang dan segera keluar melalui pintu belakang.

Laut biru luas mata memandang. Air menghempas di gigi pantai, kelihatan sampan-sampan terdampar di tepi pantai. Buritan sampan bergoyang-goyang dipukul ombak. Sampan yang terdampar di tepi pantai itu menunjukkan bahawa nelayan tidak turun ke laut. Di hujung pantai, Belitong berjalan dua rakanya iaitu Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban menarik Buntal yang ketakutan. Belitong menoleh kebelakang dan terus ketawa bila melihat Buntal ketakutan.
“Lekas! Bawa Buntal ke sampan.” Perintah Belitong pada Cencaru dan Tamban.
“Kau nak bawa aku ke mana?” tanya Buntal.
“Diam! Jangan banyak soal...” ujar Cencaru.
“Tolong lepaskan aku, kau orang nak buat apa dengan aku,” rayu Buntal.
Buntal terus diheret tanpa dihiraukan oleh Cencaru dan Tamban. Sejurus kemudian Belitong, Cencaru, Tamban dan Buntal sampai di tempat sampan. Buntal ditolak ke gigi pantai. Mukanya tersembam di pasir. Ombak menyapu muka Buntal. Buntal tertelan air laut, dia muntahkan air masin dari mulutnya. Belitong ketawa besar sambil membuli Buntal. Cencaru dan Tamban turut ketawa besar. Belitong menarik baju Buntal.
Buntal ketakutan melihat muka Belitong yang bengis dan matanya yang putih kerana terkena kencing kerengga. Cencaru dan Tamban tersenyum-senyum
“Kau tengok muka aku betul-betul, apa yang kau nampak?” tanya Belitong.
“Aku tidak nak nampak apa-apa,” ujar Buntal.
“Apa kau buta!” sergah Belitong.
“Aku tidak buta, tapi kau yang buta,” jawab Buntal.
“Kurang ajar!” marah Belitong meluap-luap. Buntal ditolak ke tepi sampan. Buntal sempat berpaut pada sampan. Dia mula merasa pening bila melihat air laut berombak-ombak. Belitong memaksa Buntal naik ke atas sampan.
“Naik dan dayung sampan ini ke tengah laut, lekas!” paksa Belitong. Buntal serba salah. Cencaru dan Tamban segera menghampiri Buntal dan terus menolak Buntal agar naik ke atas sampan. Buntal menahan dan enggan berganjak untuk naik ke atas sampan.
“Lekas naik!” paksa Tamban.
“Aku, aku tidak boleh... aku mabuk laut...” kata Buntal merayu. Belitong ketawa lagi. Kali ini ketawanya tidak henti-henti dan ketawa Belitong turut disambut ketawa Cencaru dan Tamban.
“Aku nak lihat kau mabuk laut. Lekas naik!” Belitong memaksa lagi.
“Aku rayu, jangan paksa aku... aku...” Buntal merayu-rayu.
“Aku apa!” sergah Belitong yang tidak puashati dengan sikap Buntal yang masih enggan naik ke atas sampan.
“Buntal, kau jangan salah sangka. Aku buat begini supaya kau sembuh dari mabuk laut. Aku kasihan melihat kau tidak pernah turun laut cari ikan.” pujuk Belitong.
“Aku tidak boleh Belitong, pantang datuk nenek aku turun ke laut,” jelas Buntal.
“Datuk nenek kau sudah lama mati, pantangnya pun sudah tidak ada. Apa yang kau perlu takut,” Belitong semakin desak Buntal.
“Lekas naik, tunggu apa lagi,” ujar Tamban.
Buntal memandang ke laut yang luas.
“Aku... aku...” Buntal pening lalat, matanya berpinar, kepalanya longlai dan terus pengsan. Buntal jatuh di gigi pantai kerana mabuk laut. Belitong dan rakannya ketawa lagi. Belitong menghampiri Buntal dan memegang muka Buntal lalu di tolak ke tepi. ombak laut menyimbah muka Buntal. Buntal tidak sedarkan diri lagi. Cencaru, Tamban dan Belitong ketawa lagi.
“Sudah!, jangan banyak ketawa... simpan ketawa itu untuk esok,” tegah Belitong.
Tamban dan Cencaru terdiam dari ketawa.
“Apa yang kau tercegat lagi, balik...” perintah Belitong. Belitong segera berjalan dan diikuti oleh Tamban dan Cencaru. Di gigi air Buntal masih tidak sedarkan diri. Terik matahari menyimbah bumi. Bunyi burung kedengaran di sana-sini.

Jalan kampung menuju ke rumah Umang terlalu sunyi. Kiri kanan jalan kampung itu hanya ada pokok kelapa yang tinggi menjulang. Di bawahnya lalang-lalang tumbuh meliar bersahabat dengan pokok renek tumbuh meliar. Dari jauh kelihatan Siput berjalan menuju ke rumah Umang sambil membawa pisang rebus. Siput sesekali menoleh ke belakang, kiri dan kanan bimbang kalau-kalau ada tetamu yang tidak diundang mengganggunya. Dalam perjalanan itu Siput terdengar sesuatu, bunyi seperti kayu ranting patah dipijak orang. Siput syak sesuatu. Hatinya gundah memikirkan bunyi ranting patah.
“Ah, barangkali ranting jauh dari dari dahan pokok,” bisik hati Siput.
Siput kemudiannya berhenti berjalan, dia rasa tidak sedap hati. Dia tinjau di belakangnya, di kirinya di kanannya. Siput mengamati lagi keadaan di sekelilingnya. Siput puashati lalu meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan itu, tiba-tiba Belitong muncul di hadapan Siput. Siput terperanjat dan ketakutan. Belitong segera menghalang Siput melarikan diri. Siput toleh ke belakang dilihatnya Cencaru dan Tamban sedia menunggu. Siput bertambah takut. Belitong merapatkan dirinya pada Siput. Siput undur ke belakang. Sipu berhenti dan mara ke hadapan, Belitong undur ke belakang.
“Ke tepi!. Aku jerit kalau kau sentuh aku.” Kata Siput dengan marah.
“Kau nak ke mana Siput, aku sudah lama cari kau. Aku sudah lama tunggu kau. Tapi kau tidak mahu dekat dengan aku. Kenapa Siput?” tanya Belitong.
“Peduli apa aku dengan kau, apa kau ingat kau itu bagus sangat,” ujar Siput memberanikan diri. Belitong menghampiri Siput dan menyentuh pipi Siput. Siput cuba mengelak.
“Eh, pisang rebus. Nak beri monyet makan ya...” sindir Belitong sambil mengambil sebiji pisang rebus dari bekas upih pinang lalu disumbat ke dalam mulut.
“Ada monyet yang makan pisang,” Siput membalas dengan sindiran. Belitong meludah kembali pisang dari mulutnya.
“Kau memang cantik Siput. Kampung Angin Pasang tidak ada gadis yang cantik seperti kau jika dibandingkan dengan gadis-gadis lain.” Puji Belitong. Belitong senyum menggatal.
“Pantang dapat gadis cantik, menggatal macam beruk,” kata Cencaru pada Tamban. Tamban mencebik mulut tanda meluat dengan perangai Belitong.
“Tidak sepadan dengan muka yang calar balar, mata sebelah putih, dasar buaya tembaga,” ujar Tamban. Belitong memegang tangan Siput. Siput berkeras melepaskan tangannya tetapi tidak berdaya.
“Kenapa tidak menjerit. Gebu kulit kau Siput.” ujar Belitong.
“Mak bapak aku yang jaga tentulah gebu.” jawab Siput.
“Kulit aku gebu tidak?” tanya Belitong dengan manja.
“Dibandingkan kulit kau dengan kulit bakau, kulit bakau itu lagi cantik.” Balas Siput sambil menyentap tangannya. Belitong naik angin dengan kata-kata Siput itu lalu memegang dagu Siput. Belitong ingin mencium pipi Siput. Siput dengan segera menerjah perut Belitong. Belitong menahan sakit. Siput segera lari. Cencaru dan Tamban gagal menahan Siput. Cencaru dan Tamban segera menghampiri Belitong dan membantu Belitong.
“Belitong kau tidak apa-apa?” tanya Cencaru.
“Apa kau buta!, aduh...” tengking dan marah Belitong pada Cencaru lalu menerajang dan membelasah Cencaru dan Tamban. Tamban dan Cencaru menahan sepak terajang Belitong.
“Mana Siput?” tanya Belitong.
“Sudah lari...” jawab Tamban ringkas.
“Bodoh!.. pergi kejar lekas!” marah dan perintah Belitong pada Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban segera berlari mengejar dan mencari Siput.
“Woi, kenapa tinggalkan aku!” pekik Belitong yang masih menahan sakit.
Tamban dan Cencaru berpatah kembali menemui Belitong. Sampai sahaja mereka berdua Belitong terus menampar muka Cencaru dan Tamban.
Di bawah pokok kelapa Umang menunggu pisang yang direbusnya. Umang berlegar-legar di bawah pokok kelapa. Bosannya tidak kunjung padam. Kayu api padam, kelihatan asap mula menebal. Umang tersedar, segera duduk mencangkung lalu membetulkan kayu api yang berasap itu. Umang tiup bara kayu api berkali-kali namun api tidak mahu menyala.
“Apa hal dengan kayu ini tidak mahu menyala... nak kata basah kayu ini kering.” rungut Umang kemudian meniup lagi, asap semakin menebal. Sedang Umang tiup bara api, terdengar bunyi kentut berderet-deret. Umang tersenyum sendiri.
Siput berlari-lari anak menuju ke rumah Teritip. Dia masih ketakutan dan terus meluru mendapatkan Umang. Umang terdengar Siput berlari dan menoleh ke belakang, dilihatnya Siput ketakutan. Siput.
“Abang Umang!” laung Siput sambil berlari.
Umang bangun sambil membetulkan seluarnya yang hampir terlondeh.
“Kenapa Siput?” tanya Umang.
“Belitong ganggu Siput,” jawab Siput.
“Kenapa kau tidak lawan tadi.” Umang berseloroh.
“Siput terjah perut dia, langsung tidak boleh bangun.” ujar Siput dengan bersungguh-sungguh.
“Hebatnya kau Siput, malu abang Umang tidak segagah macam kau...” puji Umang.
“Siput sekadar nak selamatkan diri, tidak sangka terkena perut dia.” ujar Siput serba salah.
“Yang penting kau selamat, jangan pulak rasa serba salah. Samseng macam dia tu sepatutnya sudah lama dihumban ke dalam laut, biar dimakan ikan paus.” Jelas Umang. Umang ke dapur kayunya, dia mencangkung sambil membetulkan kayu api yang masih berasap. Umang tiup bara api. Siput tersenyum melihat Umang kepedihan mata kerana asap.
“Abang Umang masak apa?” tanya Siput ingin tahu. Umang tersipu-sipu bila Siput bertanya apa yang sedang di masaknya.
“Rebus pisang...” ujar Umang perlahan.
“Abang Umang yang nak makan pisang itu?” Siput bertanya lagi sambil membantu Umang meniup bara api.
“Bukan abang Umang yang nak makan. Bapak Umang, sudah kebulur nak makan pisang entah berapa tahun tidak makan agaknya.” Rungut Umang. Umang dan Siput sama-sama meniup bara api. Kepala mereka berdua terhantuk.
“Aduh!...” Siput menahan sakit di kepalanya.
“Sakit?” tanya Umang. Siput geleng kepala. Umang senyum gembira.
“Tak ke laut?” tanya Siput.
“Abang Umang sakit.” Umang tunduk dan menarik nafas panjang.
“Sakit?” Siput hairan.
“Ya, sakit asyik terkentut saja...” jelas Umang
“Tak senonoh... nah!” Siput serahkan pisang rebus yang dibawanya kepada Umang.
“Apa ini? Umang segera membuka penutup bekas upih pinang.
“Pisang lagi, lain kali bawalah kambing panggang...” ujar Umang kecewa.
“Kalau kau tidak suka, beri pada bapak Umang,” Saran Siput.
“Aku setuju...” Umang senyum bangga.
Tiba-tiba sebiji kelapa tua jatuh tepat mengenai periuk tanah. Umang dan Siput terkejut dan tergamam. Periuk tanah pecah berderai dan pisang rebus jatuh bersepah.
“Aku ingatkan bulan jatuh ke riba, rupanya kelapa jatuh ke belanga,” Umang masih tergamam. Siput menarik nafas lega.
“Mujur tidak kena kepala, kalau tidak bocor...” Siput pulihkan semangatnya yang hilang tadi.
“Habislah mengamuk lagi orang tua itu.” Umang tidak sedap hati.
“Ambil pisang ini, beri saja pada Pakcik Teritip.” pinta Siput agar Umang memberikan pisang yang dibawanya kepada Teritip.
Teritip keluar dari dalam rumah sambil menggaru punggungnya. Teritip duduk anak tangga. Dia mencari-cari Umang.
“Umang, Mana pisang rebus?” tanya Teritip yang lapar.
Umang dan Siput tersedar apabila Teritip memanggil Umang.
“Sudah masak belum pisang itu?” Teritip tinggikan suaranya.
Umang serba salah dan segera ambil bekas upih pinang di tangan Siput dan bergegas menemui Teritip di tangga. Umang serahkan bekas upih pinang pada Teritip. Teritip meneliti bekas upih pinang kemudian memandang muka Umang. Umang serba salah. Teritip bangun dan berjalan menuju ke dapur kayu. Siput senyum pada Teritip. Teritip berdiri di hadapan periuk yang pecah. Umang tunduk bersalah. Teritip memandang Umang, riak mukanya ingin marah. Marah bukan kerana Umang berdua-duan dengan Siput tetapi marah kerana periuk tanah pecah berderai. Panas dan marah Teritip ditahannya kerana Siput berada di rumahnya.
“Terima kasih Siput. Nak harapkan budak bahgal ini. Kebulur aku...” ujar Teritip.
“Tak apalah pakcik, Siput saja masak lebih pisang ini, tidak sangka pulak pakcik nak makan pisang. Kebetulan...” Siput redakan keadaan, Umang terasa lega.
“Pakcik Siput minta diri nak balik.” kata Siput pada Teritip.
“Kenapa lekas sangat, sembang-sembanglah dengan Umang itu. Nasihat pada dia jangan malas turun ke laut,” sindir Teritip.
“Orang tua ini sindir aku,” bisik hati Teritip.
“Kami sudah sembang lama pakcik,” ujar Siput.
“Tak apa kalau begitu. Pergilah...” Teritip izinkan Siput balik ke rumahnya.
“Abang Umang hantarkan Siput balik.” Pinta Siput. Teritip menjeling pada Umang. Umang terasa bangga bila Siput mempelawanya.
“Boleh, sekarang juga Umang hantar... mari. Bahaya kalau Siput jalan seorang diri. Manalah tahu ada orang ganggu lagi macam Belitong.” Umang segera menarik tangan Siput dan segera meninggalkan Teritip. Teritip hanya memandang Umang dan Siput pergi sambil perlahan-lahan memuncungkan bibirnya.

Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama sampai di Kampung Angin Pasang. Apabila terlihat Kerang, Kembong dan Gelama sampai, budak-budak kampung datang mengejar dan mengerumuni Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama. Kanak-kanak kampung berlari-lari dan membuat bulatan dan menghalang pergerakan Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama.
“Hey!, ke tepi... apa kau orang buat. Nak lalu pun susah!” tengking Kerang.
Kanak-kanak kampung menjerit-jerit membuat bising. Suasana hingar bingar tercetus dengan sendirinya. Kembong dan Gelama kelam kabut menjaga barang dagangan.
Kerang dan Kupang terasa rimas dengan gangguan kanak-kanak kampung. Kanak-kanak kampung tarik-tarik barang dagangan yang dibawa oleh Kembong dan Gelama.
“Jangan tarik nanti rosak, ke tepi!” marah Kembong pada kanak-kanak kampung.
“Woi, budak hingus pergi!” Kerang panas hati melihat gelagat kanak-kanak kampung itu lalu memarahinya.
“Lari!...” kanak-kanak kampung lari bertempiaran. Kupang ketawa terbahak-bahak melihat kanak-kanak kampung melarikan diri. Kembong dan Gelama membetulkan ikatan yang terlepas.
“Kena sawan monyet agaknya,” kata Kembong pada Gelama sambil menjeling pada Kupang yang ketawa terbahak-bahak.
Kerang yang melihat Kupang ketawa terbahak-bahak semakin sakit hati lalu mengambil kayu dan membaling ke kepala Kupang. Kupang pening lalat lalu jatuh pengsan.
“Tuan, Kupang pengsan!” kata Gelama pada Kerang. Kembong dan Gelama segera mendapatkan Kupang yang pengsan.
“Biarkan dia, ketawa tidak ingat dunia,” jelas Kerang.
“Berdarah kepala dia tuan,” beritahu Kembong.
“Sudah tinggalkan dia di situ, kalau tersedar nanti pandai-pandailah dia cari kita,” kata Kerang lagi.
“Tuan kita di mana sekarang?” tanya Kembong.
“Kita sekarang di Kampung Angin Pasang, bodoh!” jerkah Kerang. Kerang meneruskan perjalanannya ke Kampung Angin Pasang.
“Lain kali jangan bertanya, kalau tidak nak kena tengking,” bisik Gelama pada Kembong.
“Cepat!, tuan dah pergi itu.” ujar Kembong sambil menarik tangan Gelama. Gelama serba salah untuk meninggalkan Kupang terbaring pengsan.
“Kau tunggu apa lagi, biarkan saja Kupang di situ,” Kembong minta agar Gelama segera meninggalkan Kupang. Kerang berhenti berjalan dan menoleh ke belakang sambil cekak pinggang. Dia naik baran bila melihat Kembong dan Gelama masih di sisi Kupang.
“Buat apa lagi di situ!” jerit Kerang dari jauh. Kembong dan Gelama terhegeh-hegeh mengemas dan memaut barang dagangan dan terus berlari mengekori Kerang.

Rumah Dukun Pari terletak jauh terpencil dan terasing dari rumah penduduk kampung Teluk Angin Pasang. Rumah Dukun Pari tersorok di dalam hutan belukar. Sunyi dan agak menggerunkan. Jarang tetamu yang datang ke rumah Dukun Pari kecuali jika ada urusan rawatan dan pertolongan. Rumah yang sederhana kelihatan muram, di kiri kanan pintu rumah Dukun Pari tergantung dua tengkorak kepala kerbau.
Pintu rumah yang berlubang-lubang dan reput di buka Dukun Pari. Dukun Pari keluar dari dalam rumah sambil ditemani dua orang isterinya yang gemuk Ketam dan Udang. Dukun Pari tersenyum lebar.
“Abang nak keluar. Jaga baik-baik rumah kita, jangan main api, jangan gaduh-gaduh. Ada orang jantan jangan bagi naik. Faham...” kata dan nasihat Dukun Pari pada kedua orang isterinya.
“Faham bang...” jawab Ketam dan Udang serentak.
“Bagus, ingat pesan abang itu,” nasihat Dukun Pari lagi.
“Abang Pari, Ketam nak sesuatu,” rengek Ketam isteri pertama Dukun Pari. Udang menjeling tidak puashati.
“Nak apa lagi, abang sudah buatkan rumah, abang sudah sediakan kawan satu lagi, abang sudah sediakan madu yang manis, abang sudah sediakan makan minum yang baik-baik. Nak apa lagi... sudah naik kurus badan abang ini. Kamu berdua makin bertambah-tambah tembunnya.” jelas panjang lebar Dukun Pari.
“Abang Pari Udang pun nak sesuatu,” rengek Udang isteri kedua Dukun Pari.
“Hah!, kau Udang nak apa lagi?” tanya Dukun Pari pada Udang.
“Abang Pari janganlah marah. Kak Ketam dan Udang nak makan.” rayu Udang lagi. Dukun Pari geleng kepala.
“Ai, tadi sudah melantak seekor kambing panggang tidak cukup lagi. Abang cuma dapat tulung rusuk, itu pun sisa-sisa kau berdua.” keluh Dukun Pari.
“Abang Pari janganlah merajuk, Ketam dan adik Udang nak makan... nak makan...” ketam tergagap-gagap.
“Nak makan apa?” gerak Dukun Pari.
“Nak makan ayam kampung golek.” Ketam terdesak dan terlepas cakap.
Dukun Pari termenung seketika. Dia memandang Ketam dan Udang dengan wajah yang tertekan. Ketam dan Udang berpandangan dan rasa serba salah.
“Bukan setakat ayam kampung golek, badak golek pun abang bawa balik!” luah Dukun Pari geram dengan perangai isterinya.
“Badak bukan boleh dimakan,” ujar Udang.
“Yalah abang Pari, carikanlah ayam kampung golek.” Pinta Ketam.
Dukun Pari menggaru perutnya, kemudian mendekati Ketam dan Udang. Ketam dan Udang resah. Dukun Pari mencubit pipi kedua isterinya yang tembam sambil tersenyum Dukun Pari meninggalkan Ketam dan Udang.
Di laut berhampiran pantai, Belacak dan empat rakannya bergegas mendayung ke darat. Mereka seperti ketakuan dan cemas. Mereka mendayung seperti lipas kudung. Masing-masing berlumba hendak sampai ke darat. Sambil mendayung mereka sempat menoleh ke belakang melihat laut luas. Seperti ada sesuatu yang mereka ingin hindari, mungkin juga mereka ingin menjauhkan diri.
“Lekas kawan-kawan!” teriak Belacak.
“Nak lekas macamana, sampan aku macam tidak bergerak!” pekik rakan Belacak.
Mereka terus menerus mendayung, ada yang keletihan dan ada yang kebingungan. Sejurus kemudian Belacak dan rakannya itu sampai di tepi pantai. Belum sempat kepala sampan mencecah ke bibir pantai, mereka semua terus melompat ke tepi pantai dan lari lintang pukang. Terlalu takut dan cemas ada yang terjatuh dan tersungkur. Langkah seribu lagi mendesak segera meninggalkan sampan masing-masing. Belacak berhenti berlari dan sempat menoleh ke laut. Nafasnya turun naik, peluh penuh di muka.
“Apa yang kau pandang ke laut itu?” tegur salah seorang rakan Belacak sambil berlari.
“Seumur hidup aku tidak pernah aku lihat, pelik benar,” bisik hati Belacak yang menoleh ke laut. Belacak dan rakannya bergerak pantas menuju ke perkampungan.
Umang dan Siput berlari-lari di tepi pantai. Mereka berdua berseronok sambil berlari kejar mengejar. Umang dan Siput berhenti berlari, mereka melihat Belacak dan rakannya berlari ketakutan menuju ke arah mereka.
“Abang Umang, kenapa nelayan itu seperti ketakutan?” tanya Siput pada Umang.
“Itu bukan ketakutan,” jawab Umang ringkas.
“Habis kalau bukan ketakutan, apa dia?” Siput ingin tahu.
“Mereka lumba lari, nak uji siapa yang paling pantas,” Umang buat andaian.
“Kalau lumba lari kenapa macam orang ketakutan kena kejar polong.” tambah Siput lagi.
“Apa yang Siput sibukkan dengan mereka itu,” Umang kurang puashati dengan Siput yang ingin tahu sangat apa yang terjadi dengan Belacak dan rakannya. Mereka yang ketakutan itu berselilisih dengan Umang dan Siput. Tanpa mengendahkan Umang dan Siput mereka terus berlari menuju ke perkampungan.
“Belacak! Apa yang berlaku?” tanya Umang pada Belacak yang berselisih dengannya. Umang hairan Belacak tidak menjawab pertanyaan. Siput turut hairan dan hanya memandang Belacak dan rakannya berlari.
“Apa mereka itu sudah pekak agaknya. Telinga sudah tersumbat dengan air garam,” keluh Umang. Siput membetulkan rambutya yang ditiup angin laut.
“Tidak baik abang Umang cakap macam itu,” tegur Siput.
“Sekurang-kurangnya mereka jawab pertanyaan kita tadi. Bukan bisu, masing-masing ada mulut.” jelas Umang yang masih tidak berpuas hati.
“Siput fikir tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka,” ujar Siput mengesyaki sesuatu.
“Agaknya apa yang tidak kena dengan mereka itu Siput?” tanya Umang.
“Barangkali mereka terjumpa harta karun!” Siput mengagak.
“Tidak mungkin jumpa harta karun, kalau jumpa harta karun mereka mesti senyum dan tidak rasa takut. Dah tentu mereka tidak akan beritahu sesiapa kalau jumpa harta karun,” ujar Umang. Siput seperti berfikir.
“Kalau bukan harta karun apa dia?” soal Siput.
“Mungkin mereka jumpa lanun Laporpo,” Umang buat andaian.
“Binatang apa lanun Laporpo itu?” tanya Siput yang tidak faham dengan kata-kata Umang. Umang dan Siput berjalan semula di bibir pantai.
“Lanun Laporpo itu maksudnya lanun belum makan lagi...” jawab Umang.
“Ada-ada saja abang Umang ini,” Siput memandang Umang. Umang buat-buat tak faham dan mereka berdua meneruskan perjalanan.

Kerang, Kembong dan Gelama sedang berjual beli barang-barang dagangan mereka dengan orang-orang Kampung Angin Pasang.
“Mari, mari... cepat-cepat kalau lambat tidak dapat!” Kerang memanggil orang kampung datang membeli. Kembong dan Gelama membetulkan barang dagangan. Orang kampung tua muda datang membeli dan memilih barangan kesukaan mereka. Cara jual beli mereka hanya dengan menukar barangan. Tidak wujud sistem mata wang. Kerang sibuk melayan pembeli yang memilih barangan. Kembung dan Gelama turut sibuk melayan.
“Laku jualan kita hari ini, beza sama sekali masa kita di Kampung Angin Surut,” kata Kembong pada Gelama.
“Yang teruk sekali masa di Kampung Tolak Bala, satu barang pun tidak laku. Penat kita pekik lolong panggil orang,” balas Gelama. Kerang terlihat Kembong dan Gelama bersembang. Kerang geram dan segera menarik telinga Kembong dan Gelama.
“Aku suruh kau tolong aku berjual beli, bukan bersembang,” marah Kerang pada Kembong dan Gelama.
“Maaf tuan, kami tidak buat lagi,” rayu Kembong.
“Mari, mari tuan-tuan, puan-puan. Jangan tertinggal satu barang, pilih-pilih...” kata Kerang pada orang kampung. Kerang bangga dengan hasil jual beli dengan penduduk kampung. Separuh daripada barang dagangan hampir habis.
Di bawah pokok kelapa tidak jauh dari tempat jual beli itu, Kupang tercari-cari Kerang, Kembong dan Gelama. Kupang meninjau di sekitar kampung. Kupang rasa kecewa dan serba salah, dia hampir putus asa kerana belum menemui Kerang, Kembong dan Gelama. Kupang duduk di bawah pokok kelapa, kelihatan dahinya lebam berwarna merah. Kupang memegang dahinya, terasa sakit.
“Binatang apa yang terbang hinggap ke dahi aku, sampai lebam macam ini?” keluh Kupang sambil matanya liar meninjau sekitar kampung kemudian Kupang tunduk berteleku.
“Sampai hati Kerang, Kembong, Gelama tinggalkan aku... mak Kupang kena tinggal... Kupang nak balik,” Hatinya mula sebak. Lama kemudian Kupang memandang ke kanan, dia tersenyum bila melihat Kerang, Kembong dan Gelama sedang berjual beli.
“Ha, puas aku mencari di situ pun mereka,” kata Kupang mula berjalan dan akhirnya berlari pantas menuju ke tempat jual beli.

Belitong sedang dipapah Cencaru dan Tamban menuju ke rumah Dukun Pari untuk mendapatkan rawatan. Belitong menahan kesakitan pada perutnya akibat terjahan Siput. Cencaru dan Tamban kepenatan memapah Belitong.
“Cepatlah aku sudah tidak tahan dengan perut aku ini!” jerit Belitong menahan sakit.
“Kalau ya pun sabarlah sikit, sudah nak sampai,” ujar Cencaru.
“Apa kau fikir dengan sabar perut aku boleh baik,” kata Belitong.
“Aku dengan Tamban sudah hilang sabar dengan berat badan kau ini. Lebih baik aku papah tapir, angkat badak,” jelas Cencaru yang letih melayan kerenah Belitong. Sejurus kemudian Belitong, Cencaru dan Tamban sampai di hadapan rumah Dukun Pari.
“Dukun Pari!... Dukun Pari...” Belitong memanggil Dukun Pari.
Cencaru dan Tamban tinjau rumah Dukun Pari, ternyata senyap dan sunyi. Belitong semakin resah kerana tidak tahan dengan saki yang ditanggungnya.
“Dukun Pari!, Dukun Pari!...” Cencaru memanggil nama Dukun Pari. Masih tiada jawapan. Belitong menahan sabar. Tamban seolah-olah berfikir ke mana Dukun Pari.
“Agaknya Dukun Pari pergi bertapa di Gua Kelabu Asap,” Tamban mencelah.
“Kepala lutut kau!, kalau dia pergi isterinya mesti ada di rumah. Setahu aku dia tidak pernah bawa isterinya keluar dari rumah ini.” jelas Belitong.
“Dukun Pari, Dukun Pari!” Cencaru memanggil lagi. Ketam dan Udang yang berada di dalam rumah sedang nyeyak tidur. Ketam dan Udang terjaga dari tidur bila mendengar teriak dan jerit Belitong memanggil Dukun Pari.
“Kak Ketam ada orang datang, bangun kak Ketam,” kata Udang sambil menguap.
“Kacau orang nak tidur. Tadi masa abang Pari ada di rumah tidak nak datang. Bila abang Pari tidak ada terpekik terlolong,” rungut Ketam. Belitong naik angin bila panggilannya tidak berjawab.
“Ketam!, Udang!...” Belitong memanggil. Terdengar suara Ketam dari dalam rumah menjawab.
“Abang Pari tidak ada... cari ayam kampung golek.” sahut Ketam dari dalam rumah. Belitong, Cencaru dan Tamban saling berpandangan bila terdengar Ketam menjawab panggilan.
“Cari ayam kampung golek...” bisik hati Belitong. Belitong tersenyum tetapi senyuman menjadi tawar bila sakit perut belum reda.
“Kalau ya pun bukak pintu!. Aku sakit ini...” ujar Belitong sambil merayu.
“Abang Pari pesan kalau orang jantan datang jangan buka pintu.” kata Ketam lagi.
“Aku sakit ini...” Belitong minta simpati.
“Siapa?” tanya Udang ingin tahu.
“Aku Belitong, Cencaru dan Tamban,” jawab Belitong.
“Tunggu sampai abang Pari balik ya,” kata Ketam.
“Aku sudah tidak tahan dengan sakit aku ini,” ujar Belitong lagi.
“Sakit macam mana pun duduk saja di tangga. Tunggu sampai abang Pari balik.” kata Ketam yang taat dengan pesan suaminya Dukun Pari.
“Melampau...” Belitong jengkel.
Cencaru dan Tamban segera membawa Belitong ke tangga rumah Dukun Pari. Belitong duduk di tangga sementara Cencaru dan Tamban berdiri di sisi Belitong.
“Belitong, kita tunggu atau kita balik saja?” tanya Cencaru.
“Kalau aku balik sakit perut aku bila nak sembuh!” Belitong tinggikan suaranya.
“Kalau Dukun Pari rawat pun belum tentu sakit perut kau akan sembuh.” ujar Cencaru. Tamban angguk setuju dengan pandangan Cencaru itu.
“Sembuh atau tidak aku nak tunggu,” tegas Belitong.
Cencaru dan Tamban semakin bosan kerana terpaksa menunggu kepulangan Dukun Pari. Belitong masih menahan sakit perutnya.
“Belitong aku sakit perut nak membuang,” kata Cencaru.
“Kau berdua jangan ke mana-mana, faham!” Belitong beri arahan.
Umang dan Siput di tepi pantai, mereka berdua berjalan menuju ke tempat sampan. Umang cuba memegang tangan Siput, Siput menarik tangan dengan sopan.
“Kenapa Siput, apa Siput tidak suka abang Umang?” tanya Umang.
“Bukan begitu, nanti ada orang nampak,” jawab Siput. Siput terlihat sesuatu di tempat sampan.
“Abang Umang... ada orang mati.” ujar Siput sambil menunjuk ke arah Buntal yang terdampar di tepi sampan.
“Di mana?” tanya Umang.
“Sana, di sampan...” Umang menoleh dan melihat dan melihat Buntal terdapar di tepi sampan.. Umang dan Siput segera berlari menghampiri Buntal yang belum sedar daripada pengsan.
“Ini Buntal!” Umang terkejut bila melihat Buntal pengsan.
“Apa yang terjadi pada Buntal? Buntal tidak berani turun ke laut,” Siput turut terkejut. Umang segera menarik Buntal ke tepi.
“Aku percaya ada orang yang cuba aniaya Buntal,” Umang meneka.
“Buntal,... Buntal...” Siput kejutkan Buntal.
“Buntal bangun Buntal,” Umang menampar perlahan pipi Buntal. Buntal belum sedar. Buntal mendengar degup jantung di dada Buntal. Kemudian memeriksa nadi pada pergelangan tangan Buntal.
“Buntal belum mati.” ujar Umang. Siput rasa lega dan segera ambil air laut lalu merenjis ke muka Buntal. Buntal menampar perlahan pipi Buntal. Buntal mula sedar dari pengsan.
“Abang Buntal, bangun...” Siput memanggil nama Buntal.
Buntal perlahan-lahan membuka matanya, Siput dan Umang berpandangan. Mereka gembira melihat Buntal sudah sedar dari pengsan.
“Aku di mana? Di laut atau di darat?” tanya Buntal perlahan-lahan membangunkan badannya. Umang dan Siput membantu Buntal membersihkan diri dari pasir-pasir yang melekat pada baju dan muka Buntal.
“Kau di darat.” Beritahu Umang.
“Kenapa dengan abang Buntal?” tanya Siput. Buntal tunduk mamun, dia masih teruja dengan kejadian yang menimpa dirinya.
“Cakap Buntal siapa yang aniaya kau? Biar aku kerjakan si keparat itu,” Umang yang tidak puashati dan simpati pada Buntal.
“Tak apalah Umang, yang penting aku selamat. Aku ingatkan aku sudah tenggelam dalam laut tadi,” Buntal cuba tenangkan perasaan Umang.
“Mana boleh Buntal, ini soal nyawa kau. Apa jadi kalau kau di bawa ke tengah laut dan dicampak ke dalam laut?” Umang mempersoalkan Buntal yang terlalu berlembut.
“Siput tahu angkara siapa!” Siput mencelah.
“Siapa?” tanya Umang.
“Belitong, Cencaru dan Tamban,” ujar Siput. Umang tunduk berfikir dan kemudian memandang Buntal.
“Apa betul Buntal mereka yang lakukan?” tanya Umang. Buntal tunduk perlahan dan mengangguk setuju. Umang memandang Siput.
“Biar siput adukan perkara ini pada Tok Kepah” jelas Siput. Umang dan Siput memapah Buntal pulang ke rumah.
Kerang, Kembong dan Gelama masih berjualan. Orang kampung semakin berkurangan dan ada yang tawar menawar. Kembong dan Gelama kepenatan lalu duduk berehat menyandar di bawah pokok kelapa.
“Aku penatlah Kembong,” kata Gelama sambil mengibas-ngibas kain ke badannya kerana kepanasan.
“Kau fikir kau saja yang penat, aku lagi penat. Barang yang aku bawa semuanya berat-berat belaka. Kau bawa yang ringan,” keluh Kembong.
Kerang menjeling ke arah Kembong dan Gelama yang duduk di bawah pokok kelapa. Hatinya panas melihat Kembong dan Gelama bersenang-senang.
“Amboi-amboi, bersenang-senang kau berdua ya. Apa kau ingat kau kerja dengan aku makan tanggung, kau boleh buat suka hati!” bentak Kerang lantas mengejutkan Kembong dan Gelama.
“Maaf tuan, tuan tengok sana ada orang berlari seperti kena kejar polong,” ujar Kembong mengalih perhatian Kerang. Kerang segera menoleh ke arah Belacak dan empat rakannya sedang berlari menuju ke rumah Tok Kepah.
“Kenapa kau sibuk hal orang lain, kerja sendiri tidak buat?” soal Kerang lagi. Gelama terlihat Kupang sedang berlari menuju ke arah mereka.
“Tuan, Kupang hidup lagi,” kata Gelama.
“Mana dia?” tanya Kerang.
“Sana tuan...” Gelama menunjuk ke arah Kupang yang sedang berlari.
Kerang menarik nafas panjang, marahnya reda bila melihat Kupang datang menemuinya. Sejurus kemudian Kupang sampai, dia tercungap-cungap kepenatan.
“Sampai hati kau semua tinggalkan aku,” kata Kupang kepenatan.
“Siapa yang tinggalkan kau?” Kerang membidas Kupang.
“Tapi...” Kata-kata Kupang dipintas oleh Kerang.
“Tapi apa?, kenapa dengan dahi kau yang lebam itu?” tanya Kerang lagi.
“Entah, aku tidak tau binatang apa yang hinggap, aku sedar-sedar sudah lebam,” Kupang beri penjelasan. Kembong dan Gelama hanya tersenyum.
“Aku fikir kau sudah mati, sebab itu aku tinggalkan kau. Sebagai menebus kesalahan kau, kemas semua barang-barang jualan ini.” perintah Kerang.
Kupang dengan hati yang kesal segera mengemas barang-barang dagangan. Kembong dan Gelama memandang Kupang sambil tersenyum.

Dukun Pari yang berada tidak jauh dari rumah Tok Kepah juga terlihat Belacak dan empat rakannya bergegas lari menuju ke rumah Tok Kepah. Dukun Pari cuba mengamati apa yang sedang berlaku pada Belacak dan rakannya itu.
“Lari tidak pandang belakang, macam kena sampuk hantu laut,” bisik hati Dukun Pari sambil menyandar diri pada batang pokok kelapa. Dukun Pari memerhati lagi lima nelayan itu.
“Kalau mereka tergesa-gesa ke rumah Tok Kepah, pasti ada sesuatu yang menarik,” Dukun Pari meneka. “Aku mesti siasat.” Dukun memulakan langkahnya berjalan menuju ke rumah Tok Kepah. Dukun Pari melalui lorong di celah-celah pokok kelapa. Lorong yang dilaluinya itu banyak pelepah dan buah kelapa yang bersepah-sepah. Dukun Pari tidak hiraukan lorong yang bersepah itu, niatnya ingin tahu apa yang terjadi pada Belacak dan empat rakannya dan khabar apa yang mereka ingin sampaikan pada Tok Kepah. Leka dan asyik memandang ke rumah Tok Kepah, Dukun Pari tersalah langkah. Kakinya terpijak buah kelapa kering lalu Dukun Pari terjatuh tersungkur ke tanah. Muka Dukun Pari tersembam ke pasir.Dukun Pari tenggelam punca dan segera duduk sambil mengibas-ngibas mukanya membuang pasir yang terlekat.
“Putus nyawa, minta nyawa...” Dukun Pari hampir kelemasan. Dukun Pari memandang ke kiri dan kanan lalu terpandang buah kelapa kering yang menyebabkan dirinya terjatuh. Dukun Pari ambil buah kelapa tersebut.
“Tidak padan dengan bulat, buta tidak ada mata!” sumpah Dukun Pari lalu membuang ke tepi buah kelapa kering itu. Dukun Pari berdiri sambil membetulkan pinggangnya yang terasa sakit. Dukun Pari memandang ke arah rumah Tok Kepah, dilihatnya lima nelayan sudah sampai di hadapan rumah Tok Kepah. Perlahan-lahan orang kampung mula berkumpul. Bilangannya mula bertambah sedikit demi sedikit kerana mereka semua ingin tahu apa yang sedang berlaku.
“Tok Kepah!, Tok Kepah!...” Belacak memanggil Tok Kepah. “Tok Kepah!, Tok Kepah!” suara nelayan berselang seli memanggil Tok Kepah. Belacak dan empat rakannya yang cemas itu merapati tangga rumah Tok Kepah. Di dalam rumah Tok Kepah mengamati suara yang memanggilnya. Tok Kepah yang kurang pendengaran itu tunduk berfikir. Tiba-tiba dia tersedar dan terkejut seperti ada orang sedang memanggilnya.
“Siapa pulak yang datang...” Tok Kepah segera berdiri dan mengambil baju yang tersangkut pada tiang rumah lalu menyarungkan baju ke badannya.
“Tok Kepah!” suara dari luar rumah di dengar oleh Tok Kepah. “Sabarlah kalau ya pun, aku tengah pakai baju...” kata Tok Kepah. Tok Kepah segera keluar dari dalam rumah dan menemui Belacak dan empat rakannya.
Sampai di muka pintu, Tok Kepah terkejut kerana ramai orang kampung dan Belacak dan rakanya sedang menunggunya.
“Ada apa semua ini? Kamu kelihatan cemas, kenapa?” tanya Tok Kepah sambil melangkah meneruni tangga. Dukun Pari muncul di celah-celah orang ramai yang datang mengerumuni Belacak dan rakannya. Dukun Pari tidak sabar untuk mendengar khabar yang dibawa oleh Belacak dan empat rakannya.
“Kami lihat sesuatu Tok Kepah. Tak pernah kami lihat sebelum ini.” kata salah seorang rakan Belacak yang masih kepenatan berlari dan yang lain angguk mengiyakan. Tok Kepah mula tertarik denga cerita nelayan itu. Dukun Pari mula pasang telinga.
“Apa yang kamu lihat, hantu laut?, singa laut?, pengiun?...” tanya Tok Kepah. Dukun Pari kehairanan bila mendengar perkataan Penguin. Dukun Pari segera keluar dari kerumunan orang kampung.
“Penguin, binatang apa itu?” sampuk Dukun Pari.
“Kenapa bengap sangat kamu ini, penguin itu binatang yang berenang di dalam air, seakan itik tapi macam burung.” terang Tok Kepah.
“Ooo barulah aku tahu...” Dukun Pari memahami penerangan Tok Kepah.
“Bukan hantu laut bukan singa laut bukan penguin Tok Kepah.” ujar Belacak sambil diakui rakan-rakan yang lain.
“Kalau bukan semua binatang itu apa bendanya?” soal Tok Kepah menggaru kepalanya. Orang kampung yang ada turut tertanya-tanya dan berbisik antara satu sama lain.
“Susah nak cakap tok, nak kata manusia bukan manusia. Nak kata ikan bukan ikan. Separuh manusia separuh ikan.” jelas Belacak. Dukun Pari bertambah hairan bila mendengar penjelasan Belacak itu. Tok Kepah menuju ke tangga rumahnya. Dia mula bingung dan terus duduk di anak tangga. Tok Kepah tunduk berfikir.
“Apa binatang itu ya?” bisik hati Tok Kepah. Tok Kepah memikirkan dan mencari jawapannya. Tok Kepah mengangkat kepalanya dan terpandang Dukun Pari. Tok Kepah tersenyum lalu berdiri dan segera menghampiri Dukun Pari.
“Kenapa pulak orang tua ini?” Dukun Pari musykil.
“Dukun Pari, kamu tahu apa binatang yang dimaksudkan Belacak tadi?” tanya Tok Kepah pada Dukun Pari.
“Aku pernah bermimpi tapi aku belum melihat lagi binatang itu,” jawab Dukun Pari. Dukun Pari menghampiri Belacak. Tok Kepah tidak sabar menanti jawapan.
“Selain itu bagaimana rupanya?” tanya Dukun Pari.
“Mukanya cantik bak bidadari.” Jawab Belacak.
“Hey! Apa kau pernah lihat bidadari?” tanya Dukun Pari lagi.
“Tidak pernah tapi pernah dengar orang cakap,” ujar Belacak serba salah.
“Selain itu?” Dukun Pari berjalan mengelilingi Belacak. Belacak semakin terdesak dan bingung kenapa Dukun Pari terus menerus bertanya.
“Rambutnya panjang mengurai, seperti seorang perempuan. Dia berenang, bersisik dan berekor,” jelas Belacak lagi. Dukun Pari tersenyum dan berhenti berjalan mengelilingi Belacak dan memandang tepat ke muka Belacak.
“Cukup. Aku sudah tahu apa binatang itu...” dengan bangganya Dukun Pari berkata. Kemudian Tok Kepah menghampiri Dukun Pari.
“Dukun Pari, apa binatang itu?” tanya Tok Kepah ingin tahu. Dukun Pari dengan megah dan sombongnya hanya tersenyum sinis pada orang kampung, nelayan dan Tok Kepah.
“Kau tahu apa binatang itu, kalau tahu beritahu kami semua apa binatang itu!” Tok Kepah desak Dukun Pari. Dukun Pari menghampiri Tok Kepah.
“Duyung...” kata Dukun Pari pada Tok Kepah. Belacak dan orang kampung seperti tidak percaya dan tidak memahami apa itu yang dikatakan duyung. Masing-masing berbisik antara satu sama lain.
“Binatang itu adalah duyung!” tegas Dukun Pari lagi.
“Apa?” Tok Kepah kurang jelas pendengarannya.
“Pekak orang tua ini, duyung atau ikan duyung.” Dukun Pari tinggikan suaranya.
“Duyung...” Tok Kepah geleng kepala antara percaya dengan tidak percaya. Belacak dan orang ramai sibuk memperkatakan apa itu duyung. Dukun Pari segera beredar dengan senang hati. Tok Kepah kembali ke tangga rumahya dan duduk di anak tangga. Dia masih bingung.

Kupang selesai mengemas barang dagangan, Kerang, Kembung dan Gelama masing-masing meneguk air kelapa hilangkan dahaga. Kupang terliur bila melihat Kerang, Kembong dan Gelama meneguk air kelapa.
“Alangkah bahagianya kalau aku dapat minum air kelapa,” bisik hati Kupang.
“Apa yang kamu tercegat di situ, nah! Ambil air kelapa ini.” ujar Kerang pada Kupang. Kupang teragak-agak untuk mengambil air kelapa yang dihulurkan oleh Kerang.
“Ambil, aku tahu kau dahaga...” kata Kerang lagi.
Perlahan-lahan Kupang mengambil air kelapa yang diberikan Kerang lalu diteguk sepuas-puasnya oleh Kupang. Sejurus kemudian muncul Dukun Pari menghampiri Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama yang duduk berehat di bawah pokok kelapa.
“Apa kecoh sangat di rumah Tok Kepah itu?” tanya Kerang pada Dukun Pari.
“Duyung...” dengan selamba Dukun Pari menjawab pertanyaan Kerang.
“Binatang apa itu?” tanya Kerang yang kurang tahu apa itu duyung.
“Tidak perlu ambil tahu... buat pening kepala.” jelas Dukun Pari. Kerang berdiri dan memandang wajah Dukun Pari yang masih bangga dan sombong.
“Duyung belum pernah aku dengar, kalau dayung selalu aku nampak.” Kerang masih ragu-ragu dengan kata-kata Dukun Pari.
“Satu hari nanti kau akan tahu apa itu duyung. Buat masa ini jangan kau sibuk memikirkannya. Biar aku saja yang memikirkannya.” Jelas Dukun Pari.
“Aku berhak ingin tahu,” kata Kerang lagi. Kembong, Gelama dan Kupang berpandangan. Kerang termanggu seketika. Dukun Pari dengan senyum sinis segera beredar.

Teruskan, Anda Tidak Akan Rugi Apa-Apa..

SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 03

BAB. 3

Pondok kayu diterangi nyalaan dua batang obor. Pondok kayu itu terletak tidak jauh dari rumah Teritip, Umang dan Buntal duduk bersembang mengenai duyung yang heboh diperkatakan oleh orang kampung. Di muka pintu Teritip menghisab rokok daun, tangannya tidak sudah menggaru punggung.
“Bunyinya agak pelik. Mana ada binatang separuh manusia separuh ikan.” kata Buntal pada Umang. Umang membetulkan duduknya, dia merenung bulan yang mengambang. Buntal menepuk nyamuk yang hingap di pipinya.
“Kalaulah Duyung itu depan mata kau. Apa kau buat?” tanya Umang. Buntal tersentak dan perlahan-lahan mendekati Umang. Umang serba salah.
“Aku cium, aku peluk dia...” ujar Buntal.
“Gila kau... entah binatang itu adik beradik hantu laut kau peluk kau cium!” kata Umang yang kurang setuju dengan cadangan Buntal itu. Buntal duduk semula ke tempatnya.
“Mana lukisan duyung yang kau bayangkan itu?” tanya Buntal.
“Kau tunjuk dulu.” Umang mencari lakaran yang disembunyikan di belakang tempat dia bersandar. Teritip menoleh ke arah Umang dan Buntal.
“Duyung... sudah lama aku tidak mendengarnya” hati kecil Teritip berkata-kata. Teritip berdiri dan perlahan-lahan meneruni tangga dan berjalan menghampiri Umang dan Buntal di pondok kayu.
“Kau ketawakan lakaran aku. Jangan sampai aku humbankan kau dalam laut.” Buntal terasa hati bila Umang ketawakan lakaran yang dilakar oleh Buntal. Umang ketawa gelihati tidak terhenti-henti.
“Kau nak humban aku dalam laut. Jangan mimpi, kau sendiri disumpah dengan laut. Mabuk laut!” Umang perlekehkan Buntal. Buntal mengambil lakaran duyungnya begitu juga Umang mengambil lakaran duyungnya. terlihat lakaran yang dilakar di atas upih pinang. Lakaran yang dibuat oleh Umang seperti lakaran manusia zaman paleolitik. Lakarannya tidak menyerupai duyung sebenar. Teritip segera ambil lakaran dari tangan Umang. Umang kehairanan dengan sikap Teritip.
“Mari aku lihat apa yang kau lakar,” kata Teritip yang hanya senyum bila melihat lakaran Umang.
“Tidak ada ilmu melakar,” Tegur Teritip pada Umang kemudian Teritip memandang Buntal. Buntal serba salah.
“Mari aku lihat lakaran kau pulak.” Teritip hulur tangan minta lakaran yang dilakar oleh Buntal.
“Pakcik lakaran saya tidak cantik,” Buntal segera serahkan upih pinang kepada Teritip. Teritip melihat lakaran yang dilakar oleh Buntal. Teritip mengamati lakaran tersebut. Teritip agak teruja dengan lakaran yang dibuat oleh Buntal. Buntal dan Umang berpandangan.
“Ia hampir menyerupai duyung sebenar.” kata Teritip memuji lakaran Buntal.
“Apa pakcik, lakaran saya ini menyerupai duyung sebenar?” Buntal inginkan pengesahan.
“Ya, benar. Macam mana kau boleh membayangkan duyung dalam lakaran ini,” kata Teritip ingin tahu.
“Saya main agak pakcik,” jelas Buntal.
Teritip termenung dan teringatkan bagaimana dia menemui duyung buat kali pertama.
“Macam mana bapak tahu yang duyung itu macam lakaran ini?” Umang mempersoalkan Teritip.
“Itu rahsia aku, kau berdua tidak perlu tahu,” ujar Teritip yang kemudiannya beredar dari pondok kayu menuju ke rumah. Teritip naik dan masuk ke dalam rumah.
“Umang, apa rahsia yang bapak kau simpan?”
“Aku tidak tahu Buntal,” Umang memandang Teritip masuk ke dalam rumah. Buntal tunduk berfikir.

Belitong duduk menahan sakit perutnya, di sebelahnya Cencaru dan Tamban memerhatikan Dukun Pari membakar kemenyan sambil menjampi serapah. Asap kemenyam memenuhi ruang dalam rumah. Dukun Pari kemudianya memotong sebiji limau nipis dan memasukkan potongan limau itu ke dalam mangkuk tembikar.
“Putus urat bertemu urat. Putus kulit bertemu kulit. Putus daging bertemu daging. Patah tulang bertemu tulang. Hitam gagak hitam manis. Engkau yang punya tawar aku menawar. Tawar tok nek punya tawar. Bukan aku punya tawar. Tawarkan sakit si cucuku.” Dukun Pari membaca jampi serapahnya. Belitong yang mendengar jampi serapah Dukun Pari semakin rimas. Kesakitan perut yang dialaminya tidak dapat ditahan dan dibendung lagi.
“Apa yang Dukun Pari buat itu. Aku sudah tidak tahan dengan sakit. Dari tadi tidak sudah-sudah dengan jampi serapahnya. Dari siang sampai ke malam sakit perut aku ini tidak juga hilang. Tolonglah... mana ubatnya.” rungut dan keluh Belitong. Dukun Pari menjeling ke arah Belitong. Riak mukanya seperti tidak berpuashati.
“Kau ini apa hal?” tegur Dukun Pari
Dukun Pari menjampi serapah lagi. Belitong menahan sabar. Cencaru dan Tamban menenangkan Belitong yang mengelupur kesakitan. Asalnya duduk lama kelamaan Belitong berbaring.
“Sabar tuan, bawa bertenang,” kata Cencaru memujuk Belitong.
“Kepala lutut kau, aku sudah tidak tahan ini!” jerkah Belitong. Cencaru tersentak dan terkedu bila dimarahi.
“Hey, diamlah!, aku nak jampi pun kau bising. Kalau aku tersalah baca, macamana sakit kau nak baik.” Dukun Pari menegaskan.
“Hiss, pekak ke buta orang tua ini!. Aku nak kencing pun susah dia buat tidak faham pulak!” bidas Belitong semakin marah lalu menepuk lantai dengan kuatnya. Bekas bara kemenyan tergolek. Dukun Pari latah terkejut. Kelam kabut Dukun Pari membetulkan bekas bara kemenyan. Dukun Pari menjeling ke arah Belitong.
“Kau ini apa hal?” marah Dukun Pari.
“Apa hal, apa hal... Dukun tidak nampak aku ini sakit.” ujar Belitong.
“Sakit apa?” tanya Dukun Pari.
“Sakit perut.” Belitong mengulangi kata.
“Kenapa tidak cakap awal tadi. Aku sudah tersalah jampi,” Dukun Pari mengakui kesilapannya.
“Lain kali tanya dulu baru jampi. Sudah jangan jampi-jampi lagi!” Belitong naik geram mukanya merah padam menahan sakit dan marah kerana kebengapan Dukun Pari.
“Kau ini apa hal, perut kau itu kenapa?” Dukun Pari ingin tahu. Belitong memberi isyarat supaya dekat padanya. Dukun Pari segera mendekati Belitong. Belitong segera membisikkan sesuatu ke telinga Dukun Pari. Dukun Pari tergelak besar, begitu juga Cencaru dan Tamban turut tergelak besar. Belitong sakit hati bila melihat Dukun Pari, Cencaru dan Tamban tergelak besar. Belitong hilang sabar lalu menampar Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban terdiam menahan sakit.

Di dalam rumah Teritip berbaring di lantai, fikirannya terganggu gara-gara melihat lakaran duyung yang dilakar oleh Buntal.
“Aku sudah lama lupakan duyung, tapi kenapa dia muncul semula,” bisik hati Teritip sambil menggaru punggungnya yang terasa gatal. Teritip tidak senang dengan baringnya. Dia duduk berteleku berfikir lagi. Kemudian Teritip mendongak ke atas terlihat Teritip pada bungkusan kain yang tergantung pada kuda-kuda atap rumahnya.
“Barangkali ada kaitan dengan bungkusan yang aku simpan sekian lama.” hatinya berkata lagi. Teritip memandang bungkusan kain yang tergantung itu lama-lama. Kalau boleh dia tidak mahu mengambilnya. Banyak kenangan lama yang akan mengganggu kehidupannya nanti.
“Mungkin masanya sudah tiba aku perlu...” Teritip berdiri lalu mengambil bungkusan kain yang tergantung di kuda-kuda atap rumahnya. Perlahan-lahan Teritip membuka ikatan yang tersimpul pada kayu. Setelah sudah Teritip meletakkan bungkusan kain di lantai dan membukanya perlahan-lahan. Simpulan kain terbuka maka terlihatlah sisir emas. Kilauan emas terpancar pada sisir emas tersebut. Sisir emas yang diperolehi di atas batu yang ditinggalkan oleh Puteri Duyung.
“Masih tidak berubah, seperti dulu lagi.” kata Teritip hairan. Teritip mengambil dan menatap sisir emas, bagaikan ada sesuatu yang dia dapat rasai apabila dia memegang sisir emas itu. Bagaikan ada suara yang membisik ke telinganya.
“Tidak mungkin, benda ini dah lama...” Teritip was-was dengan keganjilan yang dirasainya apabila memegang sisir emas itu. Teritip teringatkan bagaimana dia memperolehi sisir emas itu. Fikirannya melayang jauh.
Sedang Teritip berjalan di tepi pantai di Pulau Duyung, dia berhenti dan terlihat sesuatu. Teritip tergamam.
“Binatang apakah di depan mata aku ini.” kata Teritip dalam kehairanan. Teritip perlahan-lahan menghampiri batu dan bersembunyi di celah batu. Matanya terpaku dan masih tergamam.
“Separuh ikan separuh manusia, seumur hidup aku tak pernah aku lihat.” Teritip bertambah musykil.
Sementara itu, Puteri Duyung duduk di atas batu sedang menyisir rambut menggunakan sisir emas. Sambil menyanyi, perlahan-lahan Puteri Duyung menyisir rambut yang ikal mayang mengurai itu dari atas kepala hingga ke hujung rambut. Suara dan nyanyian Puteri Duyung itu menambat hati Teritip.
“Merdu sungguh suara nyanyiannya,” Teritip memuji kemerduan suara Puteri Duyung. Puteri Duyung masih leka menyisir dan menyanyi tanpa menyedari Teritip sedang memerhatikannya.
“Bayangkan kalau orang lain yang mendengarnya sudah tentu terpukau, bukan saja suara tapi paras rupa cantik bak purnama,” Teritip kagum dan terus memuja dan memuji Puteri Duyung.
“Kalaulah dia menjadi isteri aku, alangkah indahnya dunia ini. Tidak mungkin... Anehnya kenapa kaki seperti seekor ikan” fikiran Teritip jauh melayang. Sedang Teritip memerhatikan Puteri Duyung seekor lalat hinggap di hidungnya.
Hinggapan lalat itu menyebabkan Teritip terbersin. Puteri Duyung tersedar dan segera menoleh ke kiri dan kanan meninjau di sekelilingnya. Puteri Duyung cuak dengan keadaan tersebut. Puteri Duyung meletakkan sisir emasnya di atas batu.
“Dia sudah tahu aku ada di sini,” bisik hati Teritip. Perlahan-lahan Teritip bergerak menghampiri ke tempat di mana Puteri Duyung berada. Puteri Duyung menoleh ke belakang, alangkah terkejutnya Puteri Duyung melihat Teritip sedang menghampirinya. Oleh kerana ketakutan Puteri Duyung terjun ke dalam laut dan terus berenang menyelamatkan diri ke tengah laut.
“Nanti!” teriak Teritip. Teritip segera berlari ke tepi pantai. Teritip hampa, dia terlalu sedih kerana Puteri Duyung melarikan diri. Dari jauh kelihatan Puteri Duyung berhenti berenang, dia menoleh dan memandang Teritip. Teritip tergamam dan ingin memanggil Puteri Duyung tetapi lidahnya menjadi kelu. Puteri Duyung kemudian berenang kembali Teritip terpaku memandang Puteri Duyung berenang ke tengah laut, perlahan-lahan Puteri Duyung hilang dari pandangan hanya ekor Puteri Duyung yang terlihat dan akhirnya lenyap ditelan ombak. Teritip tunduk sayu kemudian memandang ke laut, dia geleng kepala. Teritip berjalan mengundur ke belakang hingga ke bongkah batu di mana Puteri Duyung duduk menyisir rambut. Teritip duduk di atas batu, matanya masih terpaku memandang ke laut. Teritip membetulkan duduknya, tangannya terpegang sisir emas yang ditinggalkan oleh Puteri Duyung. Teritip terkejut apa yang dipegangnya.
“Sisir emas?” kata teritip gementar memegang sisir emas milik Puteri Duyung. Dia tidak menyangka sisir emas itu berada di tanganya. Dia mengamati sisir emas itu. “Pasti milik makhluk separuh manusia separuh ikan itu. Apa harus aku buat dengan sisir emas ini?” bisik hati Teritip yang tidak tahu nama makhluk yang ditemuinya.
Di langit bulan mengambang, bunyi cengkerik memecah hening malam. Di dalam rumah Dukun Pari sedang merawat Belitong. Belitong berbaring di lantai, sambil Dukun Pari menepuk dan mengibas-ngibas dengan menggunakan mayang pinang muda.
“Berapa lama nak jampi ini, naik gatal badan aku kena miang mayang pinang,” tegur Belitong yang rimas dengan cara perubatan dan rawatan Dukun Pari.
Cencaru dan Tamban duduk menyandar di tepi dinding melihat Dukun Pari memberi rawatan. Habis mengibas mayang pinang muda, Dukun Pari terpaku seketika matanya terkebil-kebil seoalah-olah khadam atau jin suruhannya meresap dan masuk ke dalam tubuh Dukun Pari. Tubuh Dukun Pari menggeletar, Belitong yang melihat terasa aneh dan pelik.
“Dukun ini nak merawat aku atau dia yang kena sampuk?” kata Belitong pada Cencaru.
“Syyy... Dukun Pari tengah menurun,” ujar Cencaru.
“Kenapa lama sangat, aku sudah lama menderita,” balas Belitong.
“Diamlah!” kata Dukun Pari.
“Ai, dalam keadaan menurun pun dia tegur aku?” ujar Belitong.
“Tuan jangan ganggu, Dukun Pari tengah bercakap dengan jin,” Cencaru minta Belitong hormati apa yang Dukun Pari sedang lakukan.
“Apa susah sangat suruh jin itu jadi dukun. Dah tiga hari tiga malam sakit aku tidak hilang juga,” rungut Belitong.
“Boleh tidak kau diam!, nak aku sumbat mulut kau dengan mayang pinang!” Dukun Pari marahkan Belitong.
“Aku dah penat tanggung sakit perut aku ini,” ujar Belitong lagi.
“Kalau ya pun sabar, aku tengah cakap dengan jin,” balas Dukun Pari.
“Jin suruhan dukun itu cakap apa?” tanya Belitong yang masih tidak puashati.
“Lain kali jangan kacau aku tengah bercakap dengan jin. Apa yang jin cakap aku kena ingat apa ubatnya,” jelas Dukun Pari.
“Punya lama dukun bercakap dengan jin tiga hari tiga malam tidak jumpa ubat lagi?” Belitong mempersoalkan khidmat Dukun Pari.
“Tentulah, aku kena pastikan ubat yang macamana nak pulihkan penyakit,” kata Dukun Pari mempertahankan pendapatnya.
“Kalau macam sakit perut aku macamana nak pulih?” tanya Belitong ingin tahu.
“Nak pulih, kau kena cari air mata duyung. Selain itu air mata duyung boleh mengubat mata kau yang berselaput putih itu. Satu lagi boleh dijadikan ubat pengasih,” jelas Dukun Pari.
“Apa binatang duyung itu?” Belitong bertanya.
“Tanyalah nenek kau,” sindir Dukun Pari.
“Mana aku nak cari air mata duyung?” tanya Belitong.
“Itu aku tidak tahu, kalau kau nak baik cepat carilah di mana saja. Di atas gunung, di tengah laut, di hutan rimba atau di lubang cacing,” ujar Dukun Pari. Cencaru dan Tamban tersenyum sinis.
“Binatang duyung itu pun aku tidak pernah nampak, aku tidak pernah dengar macamana aku nak cari,” Belitong patah semangat.
“Nak seribu daya, tidak nak seribu dalih,” kata Dukun Pari lagi.
“Tidak ada ubat lain selain air mata duyung?. Kalau air mata air, air mata kucing itu bolehlah aku cari,” Belitong masih tidak puashati.
“Pokok pangkalnya tepuk dada tanya selera,” Dukun Pari mengakhiri kata-kata.

Ombak laut menghempas pantai, suasana tenang dan berangin. Teritip berdiri di tepi pantai mengadap ke laut. Matanya tertumpu pada pulau-pulau yang berada di tengah laut. Pulau Air, Pulau Mata dan Pulau Duyung banyak membawa kenangan pada Teritip Kenangan yang tidak mungkin dia dapat lupakan. Kenangan dia bertemu dengan Puteri Duyung dan kenangan dia menemui sisir emas milik Puteri Duyung. Sudah lama Teritip tidak pergi ke pulau-pulau itu, dia tahu pulau-pulau itu punya rahsia yang tersimpan di lubuk hatinya. Belum ada orang yang tahu rahsia yang dia simpan selama ini, rahsia sisir emas dan Puteri Duyung.
“Apakah kemunculan duyung itu petanda... barangkali sisir emas,” bisik hati Teritip yang mula terfikir dengan kehadiran duyung yang sedang heboh diperkatakan oleh orang kampung.
“Kenapa baru sekarang, kenapa tidak dulu lagi...?” Teritip bertanya sambil matanya terpaku memandang pulau-pulau. Setelah puas memandang Teritip perlahan-lahan meninggalkan pantai.

Di perkampungan Teluk Angin Pasang seperti biasa orang-orang kampung sibuk dengan tugas masing-masing. Di bawah pokok kelapa Kupang, Kembong dan Gelama masih berjual beli. Kembong dan Gelama melayan beberapa orang kampung sedang memilih barang. Ada orang kampung yang datang hanya melihat-lihat.
“Mari-mari habiskan cepat!, siapa lambat tidak dapat. Balik rumah kena perambat!” teriak Kupang memanggil pelanggan. Sementara Kerang tertidur di bawah pokok kelapa tidak jauh dari tempat berjual beli. Belitong yang ditemani Cencaru dan Tamban berjalan terhincut-hincut menahan sakit perutnya menghampiri Kerang yang masih tertidur.
“Aku harap Kerang dapat membantu aku,” bisik hati Belitong. Sejurus kemudian Belitong berada di sebelah Kerang. Belitong mengejutkan Kerang dengan menepuk dahi Kerang. Kerang terkejut dan tersedar daripada tidur, Kerang mamun dan terus memeluk Belitong. Belitong segera menolak Kerang ke tepi.
“Hey, kau ingat aku ini siapa?” gertak Belitong.
“Aku ingatkan seorang gadis cantik menghampiri aku. Rupanya gagak tua lagi hodoh yang datang,” ujar Kerang yang membetulkan duduknya.
“Kau jangan hina aku!” ugut Belitong.
“Aku bukan hina tapi kenyataan,” balas Kerang.
“Aku ada hal nak cakap dengan kau,” kata Belitong dengan semangat.
“Apa yang aku boleh tolong?” tanya Kerang lagi.
“Beginilah kita pendekkan cerita, aku nak kau cari atau tangkap hidup-hidup duyung. Berapa kau nak upahnya aku bayar. Kau setuju?” jelas Belitong.
“Kau buta!” Kerang meninggikan suara.
“Memang pun sebelah mata aku buta!” jawab Belitong.
“Aku sendiri pun tidak tahu apa binatang duyung tu dan aku tidak pernah lihat atau pun dengar. Itu bukan kerja aku, aku berniaga. Kau carilah orang lain,” kata Kerang.
“Aku fikir kau orang niaga yang bijak, sebaliknya kau orang yang dungu!” Belitong naik angin.
“Aku tidak tahu, terpulang pada kau nak cakap apa. Kau cari jembalang mana yang boleh tolong kau cari duyung itu,” tegas Kerang lagi. Belitong dengan panas hati terus beredar. Kerang menyambung semula tidurnya. Belitong menoleh ke belakang ke arah Kerang. Belitong segera ambil pelepah kelapa kering dan terus baling ke arah Kerang.
Pelepah kelapa yang dibaling oleh Belitong itu mengena kepala Kerang. Kerang tersedar tetapi kemudiannya jatuh pengsan.
“Eh, tuan pengsan!” teriak Gelama lalu mengejutkan Kupang dan Kembong.
“Mana?” tanya Kembong.
“Sana, bawah pokok,” ujar Gelama sambil menunjuk ke arah Kerang.
“Kau nak tolong?” tanya Kembong pada Kupang.
“Biarkan, sekali-sekala kita kenakan dia,” Kupang seperti berdendam.
“Tidak baik, dia tuan kita,” pujuk Kembong.
“Bukan selalu... sekejap lagi dia sedarlah. Sudah tolong aku kemas barang-barang,” Kupang menukar pokok cerita. Kembong dan Gelama tidak dapat berbuat apa-apa dan segera membantu Kupang mengemas barang dagangan.

Umang, Buntal dan Siput duduk di bawah pokok kayu tidak jauh daripada pantai. Masing-masing diam membisu. Siput terasa bosan bila melihat Buntal dan Umang mendiamkan diri. Siput berdiri dan ingin pulang ke rumah.
“Siput, kau nak ke mana?” Buntal bertanyakan Siput yang memulakan langkah. Mendengar Buntal menegurnya Siput membatalkan niatnya untuk pulang ke rumah.
“Aku sebenarnya nak pulang ke rumah,” kata Siput.
“Kenapa?” Buntal bertanya lagi.
“Aku bosan, penat mencari merata-rata tempat, ada yang orang membatu,” sindir Siput yang menjuihkan mulutnya.
“Siapa yang membatu itu?” tanya Buntal ingin kepastian.
“Siapa lagi yang duduk di sebelah kau itu...” ujar Siput seakan merajuk.
“Dia ini, kalau termenung mesti ada sesuatu yang tidak kena. Siput, apa yang berdiri tercegat di situ, pujuk buah hati kau itu,” Buntal usik Umang.
“Kenapa pulak aku yang pujuk,” kata Siput menolak.
“Tidak ada kena-mengena dengan pujuk-memujuk, kau sengaja Buntal melaga-lagakan aku ya,” ujar Umang.
“Mana ada melaga-lagakan kau,” Buntal menafikan.
“Siput mari duduk sebelah abang Umang,” pelawa Umang pada Siput. Siput yang serba salah itu mendekati Umang duduk di sebelah Umang. Siput memegang tangan Umang dan Umang menoleh ke arah Siput. Siput memberikan senyuman manis dan Umang membalas senyuman tersebut.
“Ceritalah apa masalahnya abang Umang,” Siput bertanya.
“Yalah Umang ceritakan pada kami, apa yang mengganggu fikiran kau,” ujar Buntal.sambil meluruskan kakinya.
“Buntal, kamu tahu kenapa bapak aku sejak melihat lakaran duyung yang kau buat itu, dia menjadi moyok. Bapak aku setiap hari berjalan-jalan di tepi pantai. Sebelum ini dia tak mahu ke pantai atau ke laut mencari ikan. Dia duduk rumah mengasingkan diri,” Umang membuka cerita.
“Manalah aku tahu, perangai bapak kau memang macam itu,” balas Buntal.
“Apa bapak abang Umang itu tidak betul,” kata Siput
“Betul kata kau Siput, bapak aku macam orang tak betul,”
“Tak baik kau cakap macam itu. Barangkali ada sebab yang kita tak tahu dan ada rahsia yang disembunyikannya,” ujar Buntal
“Kenapa tidak tanya sendiri dengan pakcik Teritip,” kata Siput.
“Bapak aku kalau angin pasangnya datang tidak berani aku, macam puting beliung,” ujar Umang.
“Marah bapak kau tidak sampai kau dimakannya,” balas Buntal.
“Sejak sepuluh tahun bapak aku tidak turun laut perangai dia banyak berubah. Aku tidak tahu kenapa dia jadi macam itu,” ujar Umang.
“Barangkali bapak kau itu nak kahwin lagi agaknya,” balas Buntal.
“Mengarutlah kau, sudah tua bangka macam kubur kata mari rumah kata pergi ada hati nak kahwin,” tegas Umang.
“Aku andaikan,” kata Buntal.
“Barangkali pakcik Teritip pernah jumpa duyung sebelum nelayan kampung ni jumpa,” Siput meneka.
“Tidak mungkin Siput,” kata Umang.
“Kalau dia lihat lakaran duyung yang dibuat Buntal itu betul, dah tentu dia pernah melihat duyung,” jelas Siput.
“Betul kata Siput itu, mungkin itu rahsianya,” Buntal memandang Umang. Umang menjeling pada Buntal kemudian Umang memandang ke laut luas. Seribu pertanyaan menghantui fikiran Umang. Apakah benar bapanya Teritip itu pernah bertemu dengan duyung.

Lanjutkan Minat Anda Ke Bab Berikutnya...

SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 04

BAB. 4

Sekumpulan duyung jantan dan duyung betina berenang-renang di pinggir pantai Pulau Air. Duyung-duyung itu bermain-main ombak dan berkejaran antara satu sama lain. Berenang, menyelam, timbul dan tenggelam di permukaan air adalah rutin harian kehidupan duyung-duyung itu. Setelah penat berenang dan bermain duyung-duyung itu akan berehat dan bersantai di tepi pantai Pulau Air. Duyung-duyung itu duduk di atas bongkah-bongkah batu sambil menyisir rambut. Duduk berpasangan antara satu sama lain.
“Aku dengar Puteri Duyung diminta Raja Duyung mencari sisir emas, betulkah?” tanya Duyung Jantan.
“Ya, betul kasihan aku lihat Puteri Duyung, saban hari bersedih mengenangkan sisir emas yang hilang itu. Puteri Duyung tidak tahu bagaimana untuk mencari semula sisir emasnya,” jawab Duyung Betina.
“Bagaimana sisir emas itu boleh hilang?” Duyung Jantan bertanya lagi.
“Puteri Duyung kata sisir emas itu diambil manusia darat,” beritahu Duyung Betina.
“Manusia darat yang selalu tangkap ikan di sekitar laut ini,” tambah Duyung Jantan.
“Ya, manusia darat selalu ganggu kawasan kita ini,” balas Duyung Betina. Duyung Jantan turun ke dalam air dan berenang-renang tidak jauh daripada Duyung Betina. Duyung Betina menyisir rambutnya sambil memandang Duyung Jantan berenang. Duyung Jantan terlihat Putera Duyung duduk termenung di atas bongkah batu tidak jauh daripada mereka.
“Kasihan aku melihat Putera Duyung itu duduk berseorangan, dia tungga siapa,” tanya Duyung Jantan.
“Sudah tentu dia tunggu Puteri Duyung, dia berkelana membawa diri dari kampung halamannya hingga sampai di sini. Lama dia menanti jawapan, namun Puteri Duyung tidak memberi kata putus samada dia suka atau tidak,” jawab Duyung Betina.
“Kenapa jadi macam itu?” Duyung Jantan bertanya lagi.
“Selagi sisi emas tidak dijumpai, Puteri Duyung tidak boleh berkawan atau berkahwin dengan duyung lain. Tapi ada satu perkara yang Puteri Duyung tidak berkenan dengan Putera Duyung itu,” jelas Duyung Betina.
“Apa dia yang kau maksudkan?” Duyung Jantan ingin tahu.
“Kalau nak tahu Putera Duyung itu, duyung lembut,” ujar Duyung Betina.
“Apa duyung lembut!” Duyung Jantan terkejut mendengar penjelasan Duyung Betina. Duyung Betina tersenyum sambil memandang ke arah Putera Duyung yang duduk bersimpuh sambil ekornya bermain air. Kelembutan Putera Duyung begitu menyerlah, dia seperti berduka dan rawan hatinya pada Puteri Duyung tiada terbendung lagi.
“Ya tuhan kenapalah nasib aku begini... jauh sudah aku berkelana mencari buah hati idaman pengarang jantung. Sembilan gunung sembilan lautan aku meredah, onak dan duri aku lalui, jauh aku tinggalkan kampung halaman hingga aku tersadai di sini. Ayahanda aku menghalau aku kerana malu dengan tingkah laku yang ditakdir lembut begini. Bukan aku pinta jadi begini, aku lelah dan tidak berdaya lagi. Aku temui puteri idaman tapi sayangnya dia tidak ingin pada aku,” rintih Putera Duyung menyesali nasib yang menimpa dirinya yang terbuang dan tidak diterima di mana dia pergi.
Pondok kopi yang sedikit senget diperbuat daripada batang kayu hutan dan beratapkan daun rumbia itu agak lengang. Dua orang penduduk kampung duduk di kerusi panjang yang diperbuat daripada batang-batang kayu sedang menikmati minuman kopi tumbuk yang disediakan oleh tuan punya pondok kopi. Di lain sudut pondok kopi, Dukun Pari bersama Kerang sedang berbual-bual sambil minum kopi menggunakan gelas yang diperbuat daripada buluh. Tuan punya pondok kopi menggantung setandan pisang emas yang sudah masak pada tiang pondok.
“Berapa hari aku boleh dapatkan ayam golek yang cantik-cantik?” tanya Dukun Pari pada Kerang.
“Kalau ayam golek susah sedikit. Memakan masa untuk mendapatkannya,” jawab Kerang sambil meneguk air kopi dari gelas buluh.
“Berapa upahnya kalau aku nak cepat,” balas Dukun Pari yang ingin tahu. Kerang tunduk berfikir. Akalnya sedang berkira-kira bagaimana untuk mendapat keuntungan dengan menjual ayam golek.
“Fikir apa lagi. Berapa upah yang kau mahu. Aku sanggup membayarnya,” jelas Dukun Pari yang berharap pada Kerang.
“Aku cuba sepekan lagi,” Kerang menggaru dagunya.
“Kenapa lama sangat?” Dukun Pari ragu-ragu.
“Ini ayam golek hidup-hidup, bukan ayam golek mati digolek. Kau harus ingat aku terpaksa pesan ayam golek dari negeri Gajah Putih,” tegas Kerang lalu berdiri menuju ke tiang pondok kopi dan mengambil sebiji pisang emas yang tergantung itu. Kulit pisang emas dikupas tiga lalu disumbat ke dalam mulutnya. Kulit pisang dicampak ke tepi. Dukun Pari hanya menunggu dan melihat Kerang mengunyah pisang.
“Upahnya emas seuncang tapi bukan pisang emas,” ujar Kerang yang masih mengunyah pisang emas. Dukun Pari terkejut bila mendengar upah yang dimaksudkan oleh Kerang itu. Dukun Pari berdiri dan menghadap Kerang.
“Kenapa mahal sangat?” tanya Dukun Pari.
“Tentulah mahal sebab susah nak mendapatkannya,” Kerang memusingkan badannya dan membelakangkan Dukun Pari. Dia memandang ke laut.
“Takkan ayam golek dua ekor seuncang emas harganya,” ujar Dukun Pari yang masih tidak berpuashati. Kerang segera menoleh ke arah Dukun Pari. Mukanya kedut seribu. Kerang kembali duduk di kerusi panjang.
“Aku ingatkan tadi ayam golek lain sebab itulah aku minta bayarannya lebih,” jelas Kerang yang masih keliru.
“Aku nak ayam golek yang boleh dimakan!” nada suara Dukun Pari meninggi.
` “Dukun nak buat apa dengan Ayam Golek itu?” Kerang ingin tahu.
“Itu rahsia aku. Kau tidak perlu tahu,” ujar Dukun Pari.
“Dengan aku pun dukun nak berahsia,” usik Kerang.
“Bini aku yang gemuk gedempul itu yang teringin nak makan ayam golek,” jelas Dukun Pari.
“Oooo aku fikirkan jin dukun yang nak makan ayam golek itu,” Kerang duduk semula di sebelah Dukun Pari.
“Jin aku makan darah ayam dara bulu terbalik, bukan ayam golek,” kata Dukun Pari sambil meneguk air kopi.
“Dukun nak ayam jantan atau ayam betina?” tanya Kerang lagi.
“Apa pun boleh, jantan atau betina. Asalkan jangan ayam khunsa!”
Di permukaan air dan tidak kejauhan dari pantai Pulau Air, berenang-renang Putera Duyung membawa diri tanpa haluan. Rajuk hatinya tiada siapa yang tahu. Keletihan berenang-renang ke hulu ke hilir, akhirnya Putera Duyung berhenti. Dia terlihat sesuatu di hadapannya. Dilihatnya Puteri Duyung sedang menyisir rambut di atas bongkah batu. Sambil menyisir rambut Puteri Duyung menyanyi menghiburkan hatinya. Putera Duyung tersenyum gembira melihat Puteri Duyung tidak jauh darinya.
“Gerangan apakah Puteri Duyung duduk di atas batu bersendirian?” bisik hati Putera Duyung. Putera Duyung menoleh ke kiri dan kanan.
“Layakkah aku mendampingi Puteri Duyung,” hatinya semakin bertanya. Putera Duyung serba salah walaupun di sudut hatinya ingin menemui Puteri Duyung. Dia tahu Puteri Duyung tidak akan menyukainya lagi. Dia tahu Puteri Duyung tidak mahu diganggu lagi dan dia tahu Puteri Duyung pasti membencinya jika dia terus memaksa Puteri Duyung agar memilihnya menjadi teman hidupnya. Putera Duyung tunduk berfikir.
“Ahh, aku mesti jumpa Puteri Duyung, suka atau tidak aku mesti cuba ambil hatinya. Aku tidak mahu lepaskan peluang keemasan ini,” kata Putera Duyung akan tekadnya untuk menemui Puteri Duyung. Putera Duyung memulakan renangnya perlahan-lahan menuju ke tempat Puteri Duyung berada. Putera Duyung bertambah yakin dan bersemangat, renangannya semakin melaju. Dia tidak hiraukan apa yang bakal dihadapi dan diterimanya sewaktu berada di hadapan Puteri Duyung kelak. Fikirannya dipusatkan hanya satu sahaja iaitu ingin mendapatkan Puteri Duyung sebagai teman hidupnya.
“Walau seribu halangan menimpa aku tetap memburu Puteri Duyung,”
Kata-kata itulah yang menjadi perangsang kepada Putera Duyung untuk mencapai maksudnya. Semakin hampir dengan Puteri Duyung, semakin bertambah laju renang Putera Duyung. Hati dan perasaannya bergelora bagaikan pasang surut air laut.
Di atas bongkah batu Puteri Duyung leka menyisir rambut tanpa menyedari Putera Duyung berenang menghampirinya. Putera Duyung membenamkan dirinya ke dalam air bertujuan untuk membuat kejutan pada Puteri Duyung. Seketika kemudian muncul Putera Duyung di permukaan air di hadapan Puteri Duyung. Puteri Duyung terkejut dengan kehadiran Putera Duyung itu.
“Cilaka ke atas kau Putera! Muncul dengan tiba-tiba. Kau nak aku sumpah kau menjadi katak di bawah tempurung!” marah Puteri Duyung.
“Maafkan aku Puteri, jangan sumpah aku seperti itu,” pujuk Putera Duyung sambil memberi senyuman. Senyuman Putera Duyung itu tidak diendahkan oleh Puteri Duyung. Putera Duyung kecewa dengan tingkah laku Puteri Duyung. Putera Duyung perlahan-lahan menghampiri Puteri Duyung dan duduk di atas bongkah batu di sisi Puteri Duyung.
“Puteri...” pujuk Putera Duyung dengan suara yang lembut dan manja.
“Aku tidak mahu kau lakukan perkara seperti itu lagi,” ujar Puteri Duyung.
“Baiklah aku berjanji,” Putera Duyung membuat pengakuan.
“Hajat apa Putera datang menemui aku?” tanya Puteri Duyung
“Puteri, apa kurangnya aku. Tidak cantikkah aku?. Tidak menawankah aku. Aku sama juga dengan duyung-duyung jantan yang lain. Aku ada hati dan perasaan seperti kau Puteri,” kata Putera Duyung meluahkan isi hatinya.
“Bukan aku tidak sukakan kau Putera, cuma kau tu kurang...”
“Kurang apa Puteri, kurang siumankah?” celah Putera Duyung.
“Kurang sikit...” jawab Puteri Duyung.
“Sikit yang bagaimana?” tanya Putera Duyung lagi.
“Maafkan aku Putera kalau kata-kata aku ini kurang enak didengar,” jawab Puteri Duyung yang berhenti menyisir rambutnya.
“Katakanlah, aku sedia mendengarnya dan aku tidak akan marah,” ujar Putera Duyung yang ingin tahu.
“Putera, di mata aku kau kurang gagah,” Puteri Duyung berterus terang. Putera Duyung tunduk sedih bila mendengar kata-kata daripada Puteri Duyung. Hati kecilnya tersinggung bagaikan dihiris sembilu. Namun Putera Duyung cekalkan diri kerana dia sudah berjanji dengan Puteri Duyung.
“Kau harus terima hakikat itu, maafkan aku. Aku terpaksa pergi,” perlahan-lahan Puteri Duyung meninggalkan Putera Duyung dan berenang ke dalam laut. Putera Duyung kecewa sambil melihat Puteri Duyung pergi.
“Mengapalah nasib aku begini, kemana sahaja aku pergi semua tidak menyukai,” rintih Putera Duyung. Putera Duyung yang duduk termenung di atas bongkah batu tanpa membuang masa segera terjun dan berenang mengejar Puteri Duyung. Semakin menjauh Puteri Duyung berenang semakin laju Putera Duyung mengejar. Masih belum terlambat untuk Putera Duyung mencari dan mengejar Puteri Duyung. Semangat yang ada dan sisa-sisa tenaga yang tinggal Putera Duyung berenang dan terus berenang melawan dan meredah ombak. Sekali-sekala Putera Duyung menjengah ke permukaan air untuk mengambil udara dan kemudian membenamkan dirinya ke dasar laut memburu dan mengejar Puteri Duyung yang semakin hampir dengannya.
Melihat dengan jelas Puteri Duyung di hadapannya, Putera Duyung terasa senang hati dan semangat semakin memuncak untuk mencuba sekali lagi meluahkan hati dan perasaannya pada Puteri Duyung. Beberapa detik kemudian Putera Duyung berada di sisi Puteri Duyung. Putera Duyung segera memegang tangan Puteri Duyung dan menarik ke atas permukaan air. Di atas permukaan air Puteri Duyung tidak berpuashati dan cuba melepaskan tangannya. Puteri Duyung segera menolak Putera Duyung ke tepi.
“Apa lagi yang Putera inginkan, aku tidak mahu diganggu, pergi dari sini!” marah Puteri Duyung pada Putera Duyung.
“Hina sangatkah aku ini Puteri?” tanya Putera Duyung.
“Aku tidak pernah berkata begitu, kenapa Putera harus terasa,” jawab Puteri Duyung sambil menarik muka memandang ke arah lain. Marah dan geramnya pada Putera Duyung belum berakhir.
“Apa salah aku Puteri, kenapa kau buat aku macam ni. Sampai hati... Kalau aku tidak gagah sekurang-kurangnya aku ada harta di dasar laut dan gua-gua di pulau. Apa sahaja Puteri inginkan aku boleh adakan seadanya. Puteri mahu laut ambillah. Puteri mahu pulau ambillah. Puteri mahu kapal-kapal ambillah. Tetapi jangan lupa ambil sekali hati dan perasaan aku,” Putera Duyung beri penjelasan yang panjang lebar.
Puteri Duyung hanya tunduk membisu. Putera Duyung memegang bahu dan memadang tepat ke muka Puteri Duyung.
“Apakah Puteri sudah ada duyung idaman di hati?” tanya Putera Duyung ingin tahu.
“Ya, maafkan aku...” jawab ringkas Puteri Duyung. Putera Duyung melepaskan tanganya dari bahu Puteri Duyung.
Puteri Duyung memandang Putera Duyung yang tampak sedih. Timbul rasa serba salah di hati Puteri Duyung. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Perlahan-lahan Puteri Duyung berenang meninggalkan Putera Duyung yang lara itu. Seketika kemudian Puteri Duyung membenamkan dirinya ke dasar laut. Putera Duyung kecewa lagi, dia meraung sekuat hatinya. Gema raungan Putera Duyung itu hingga menyebabkan air laut berkocak dan bergetar.

Belitong bersama Cencaru dan Tamban menunggu Dukun Pari di tepi pantai berhampiran sampan-sampan nelayan. Cencaru dan Tamban duduk di atas sampan. Sementara Belitong resah berdiri kerana menunggu lama Dukun Pari yang tidak kunjung tiba. Belitong berlegar-legar sambil meninjau ke laluan menuju pantai. Belitong menoleh ke arah Cencaru dan Tamban yang leka memandang laut luas. Belitong menghampiri Cencaru dan Tamban.
“Hey! apa betul Dukun Pari jumpa kita di sini?” tanya Belitong yang meninggikan suaranya pada Cencaru dan Tamban.
“Betul tuan di sini tempatnya,” jawab Cencaru yang agak cuak.
“Kalau tunggu di sini, kenapa hingga sekarang batang hidungnya pun tidak nampak,” balas Belitong.
“Mungkin sebentar lagi datanglah Dukun Pari itu,” ujar Tamban meredakan baran Belitong. Belitong melangkah berjalan ke tebing pasir lalu duduk. Belitong memandang laut luas. Fikirannya melayang memikirkan apakah tujuan sebenar Dukun Pari ingin berjumpa dengannya. Sejurus kemudian Dukun Pari muncul, dia terlihat Belitong duduk menunggu di tebing pasir. Dukun Pari hanya terseyum dan segera mendapatkan Belitong. Cencaru dan Tamban yang terlihat Dukun Pari datang segera turun dan melompat dari atas sampan. Belitong menyedari kehadiran Dukun Pari bergegas berdiri.
“Maafkan aku terlambat,” kata Dukun Pari.
“Perkara penting apa yang Dukun nak katakan?” tanya Belitong ingin tahu.
“Begini...” Dukun Pari segera menarik telinga Belitong. Belitong menahan sakit telinganya ditarik Dukun Pari. Dukun Pari membisik sesuatu ke telinga Belitong tetapi menolak ke tepi kerana terlihat sesuatu pada telinga Belitong.
“Eeeii, berkepal-kepal tahi telinga!” kata Dukun Pari yang geli melihat telinga Belitong.
“Aku belum sempat korek telinga aku,” ujar Belitong tersipu-sipu.
“Pengotor!” sindir Dukun Pari.
“Betul dukun, dia memang pengotor,” tambah Cencaru.
“Diam kau, berani kau kata aku pengotor!” marah Belitong pada Cencaru. Belitong hilang sabar lalu menampar muka Cencaru.
Cencaru menahan sakit, Tamban tersenyum gelihati.
“Sudah, aku datang sini bukan nak tahu berapa banyak tahi telinga. Belitong, sebenarnya aku mahu menangkap duyung,” ujar Dukun Pari bersungguh-sungguh.
“Dukun nak tangkap duyung?” Belitong ragu-ragu mendengar kata-kata Dukun Pari. Dukun Pari tersenyum dan angguk setuju.
“Ya aku mahu tangkap duyung hidup-hidup,” jelas Dukun Pari lagi.
“Dukun nak buat apa dengan duyung itu?” tanya Belitong.
“Banyak gunanya, kalau kau setuju bantu aku menangkap duyung, faedahnya kau dapat juga,” Dukun Pari menepuk bahu Belitong.
Belitong seolah-olah memahami apa yang diperkatakan oleh Dukun Pari.
“Apa benarkah begitu dukun?” Belitong inginkan kepastian.
“Ya, apa yang selama ini kau inginkan sudah tentu kau akan gembira,” Dukun Pari meyakinkan Belitong.
“Tapi bagaimana caranya, bukan mudah untuk menangkap duyung-duyung tu,” ujar Belitong yang masih kabur fikirannya.
“Jangan bimbang, ada seribu cara untuk menangkapnya. Bagaimana setuju?” kata Dukun Pari.
“Kalau begitu aku setuju,” Belitong memberi persetujuan. Cencaru dan Tamban berpandangan yang kurang setuju dengan cadangan Dukun Pari itu. Dukun Pari berbisik dengan gaya bersungguh-sungguh dan tangannya menunjuk isyarat seperti menangkap sesuatu. Belitong puashati dengan cadangan dan padangan Dukun Pari. Dukun Pari ketawa bangga dan kemudian diikuti oleh Belitong, Cencaru dan Tamban. Ketawa berdekah-dekah mereka itu melenyapkan deruan ombak menghempas pantai.


Pilihan Tepat Jika Anda Memilih Bab Seterusnya...

SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 05

BAB 5.

Malam itu bulan tidak mengambang, tidak ada cahaya yang menyimbah di perkampungan Angin Pasang. Kelip-kelip bintang di langit sudah lama tidak muncul barangkali belum masanya. Rumah Teritip sunyi sepi, hanya diterangi cahaya obor yang terletak di tiang berhampiran tangga rumah.
Di dalam rumah Teritip tidur dengan nyenyak sekali dibuai mimpi. Adakala kenyenyakkan tidurnya terganggu dengan rasa gatal di punggungnya. Tangannyakerap menggaru dan menggaru. Tidak selesa dengan kedudukkan tidurnya Teritip berkalih tidur mengiring ke kanan. Di sudut penjuru rumah Umang tidur berselimut. Malam itu mungkin terlalu dingin baginya. Malam itu Teritip dibuai mimpi di mana dia menemui Puteri Duyung di tepi pantai untuk memulangkan sisir emas yang pernah diambilnya. Di tangan Teritip tergenggam sisir emas. Kilauan emas terpancar dan bersinar apabila dipanah cahaya mentari. Teritip menghampiri Puteri Duyung yang duduk di atas bongkah batu. Melihat kehadiran Teritip membawa sisir emas Puteri Duyung tersenyum gembira. Teritip berdiri di hadapan Puteri Duyung, matanya terpaku melihat kejeliatan dan keayuan Puteri Duyung. Sinar mata Puteri Duyung itu seolah-olah memanah kalbu Teritip. Rambut yang panjang mengurai bak mayang pinang di buai-buai oleh hembusan pawana. Puteri Duyung memandang manja ke arah Teritip.
“Maafkan aku kerana mengambil sisir emas milik Puteri tanpa izin,” kata Teritip pada Puteri Duyung. Teritip menyerahkan semula dan menghulurkan sisir emas kepada Puteri Duyung. Puteri Duyung mengambil sisir emas lalu mengamatinya. Puteri Duyung begitu gembira kerana memperolehi sisir emas kembali. Teritip ingin beredar, Belum sempat Teritip meneruskan langkahnya, Puteri Duyung berkata;
“Terima kasih kerana memulangkan sisir emas ini. Kamu seorang yang jujur dan baik,” ujar Puteri Duyung. Teritip tunduk serba salah.
“Marilah dekat padaku, aku ingin memberi sesuatu,” Teritip menoleh ke belakang dan perlahan menghampiri Puteri Duyung. Puteri Duyung mengeluarkan cengkerang siput sedut yang panjang dan sederhana besar itu lalu diberikan kepada Teritip.
“Gerangan apakah benda ini?” tanya Teritip ingin tahu sambil menerima cengkerang siput sedut pemberian Puteri Duyung
“Di atas kejujuran kamu ambillah air mata duyung ini. Gunakan sebaik mungkin untuk mengubati sebarang penyakit yang ada di dunia ini,” jelas Puteri Duyung.
“Air mata duyung?” Teritip terkejut mendengar penjelasan Puteri Duyung itu. Teritip memerhati dan mengamati cengkerang siput sedut yang mengandungi air mata duyung. Teritip teruja kerana air mata duyung ada di tangannya.
“Itu adalah air mata yang terkumpul sepanjang aku menangisi kehilangan sisir emas,” ujar Puteri Duyung lagi.
Teritip terkejut bila mendengar kata-kata Puteri Duyung itu, terbeliak biji matanya. Terasa simpati di hatinya dengan penderitaan Puteri Duyung akibat kehilangan sisir emas.
“Maafkan aku Puteri kerana sisir emas itu Puteri menderita,” kata Teritip penuh simpati.
“Tidak mengapa, kamu tidak bersalah. Aku yang bersalah kerana cuai dan aku menerima hukuman sebegini,” jelas Puteri Duyung. Puteri perlahan-lahan turun ke dalam air. “Selamat tinggal dan jumpa kembali,” Puteri Duyung melemparkan senyuman kepada Teritip dan terus berenang meninggalkan Teritip. Teritip masih terpaku di situ.
Teritip terjaga daripada tidurnya, mimpi dia menemui Puteri Duyung membuatkan Teritip serba salah. Fikirannya terganggu, Teritip duduk berteleku. Dia mengingatkan kembali mimpinya.
“Apakah benar mimpi aku tadi. Apakah Puteri Duyung itu mahukan sisir emasnya kembali?” kata Teritip yang mula ragu. Tangannya menggaru punggung.
“Bagaimana kalau Puteri Duyung itu benar-benar mahukan sisir emasnya,” tambah Teritip lagi sambil menongkat kepalanya.
“Haruskah aku memulangkan sisir emas itu?” Bisik hatinya yang bercelaru antara percaya dengan tidak. Teritip merebahkan badannya dan berbaring. Matanya pejam celik fikiranya merawang. Persoalan demi persoalan datang menusuk ke dalam fikirannya. Sekali sekala tangannya menggaru punggung, gatal kulitnya berkunjung.
“Kalau aku pulangkan sisir emas, di mana harus aku bertemu dengan Puteri Duyung itu?” kata Teritip sambil berfikir. Matanya tertumpu pada atap rumah yang penuh dengan sarang labah-labah. Bola matanya bertukar ke tempat lain. Kini tumpuannya pada bungkusan kain yang tergantung pada alang kayu atap rumahnya.
“Sisir emas Puteri Duyung...” Teritip segera bangun dan mencapai bungkusan kain berisi sisir emas yang tersimpan lama di situ. Bungkusan kain itu diletakkan di lantai dan perlahan-lahan Teritip membuka bungkusan kain itu. Apabila lipatan terakhir bungkusan kain itu terbuka maka terlihatlah pancaran kilauan sisir emas.
“Cantik sungguh sisir emas ini. Kehilangannya membuatkan Puteri Duyung menderita. Perlukah aku memulangkan sisir emas ini pada Puteri Duyung?. Sisir emas ini berharga pada aku dan berharga pada Puteri Duyung. Aku tidak mahu pulangkan sisir emas ini pada Puteri Duyung!” bisik hati Teritip yang mula tamak.
Malam semakin dingin, di dalam rumah Tok Kepah tidak dapat melelapkan matanya kerana memikirkan tentang duyung. Tidurnya terganggu, Tok Kepah cuba lelapkan mata namun semakin dipejamkan mata semakin segar rasanya.
“Kenapalah mata aku ini tidak dapat lelap? Duyung...” bisik hati Tok Kepah. Di sebelahnya Mak Lala yang berpura-pura tidur. Mak Lala juga tidak dapat melelapkan matanya. Entah mengapa malam itu Mak Lala sukar melelapkan mata tidak seperti malam-malam terdahulu bagai orang mengantuk disorongkan bantal. Malam itu lain pula jadinya.
“Aku fikir aku yang tidak dapat lelapkan mata, rupanya orang tua ini pun sama. Apa agaknya sedang difikirkan?” Mak lala meneka.
Tok kepah mengiring menghadap Mak Lala, Tok Kepah memandang Mak Lala.
“Orang tua pekak ini pandang aku kenapa, bernafsu lagikah?” bisik hati Mak Lala. Tok Kepah bosan memandang wajah Mak Lala.
“Daripada aku pandang orang tua ganyut ini, lebih baik aku bayangkan duyung. Manalah tahu satu hari nanti aku bertemu dengan duyung itu,” bisik hati Tok Kepah sambil beralih baring melentang.
“Apa yang tidak kena dengan orang tua pekak ni? Meniarap, melentang, mengiring serba tidak kena,” Mak Lala semakin hairan.
“Macamana rupanya duyung?. Sepanjang aku hidup belum pernah aku dengar duyung, lihat pun tidak pernah. Mungkin cantik rupa parasnya, kulitnya gebu, halus lagi mulus bak bidadari. Tidak macam si tua ganyut sebelah aku ni,” kata Tok Kepah memuji dan membayangkan duyung yang belum pernah dia lihat. Mak Lala sedih bila mendengar Tok Kepah menghinanya. Mak Lala segera bangun membawa bantal dan selimutnya pindah tidur di sebelah Siput yang tidur tidak jauh dari mereka. Tok Kepah serba salah.
“Mak Lala, nak ke mana?” panggil Tok Kepah yang kehairanan.
“Tidurlah dengan duyung idaman awak itu. Buat apa tidur dengan si tua ganyut ini,” rajuk Mak Lala. Mak Lala meletakkan bantal dan selimut di sebelah Siput menahan sedih. Siput terjaga dan hairan bila melihat Mak Lala ada di sisinya.
“Kenapa mak?” tanya Siput yang terjaga dari tidurnya.
“Orang tua ubi ganyut itu, tidak sedar diri ada hati dengan duyung,” ujar Mak Lala. Siput geleng kepala dengan kerenah Mak Lala dan Tok Kepah.
“Bapak bergurau mak,” kata Siput memujuk Mak Lala.
“Gurau apa bendanya, kalau bercakap macam orang ketagih perempuan,” Mak Lala luahkan perasaannya.
“Bapak itu sudah nyanyuk agaknya mak.Mari tidur mak...” ujar Siput. Mak Lala dan Siput menyambung tidur. Tok Kepah serba salah dan menyambung tidurnya.
“Apa yang aku cakap tadi...” bisik hati Tok Kepah. Tok Kepah menarik selimutnya hingga ke paras dada. Dia tersenyum sendirian mengingatkan Mak Lala yang cemburukannya.
“Cemburu juga orang tua ganyut itu. Aku cakap duyung dia cemburu buta...” Tok Kepah menepuk-nepuk dadanya.
“Belum aku bercakap ayam golek lagi, boleh jadi gila babi orang tua gayut itu,” Tok Kepah memejamkan matanya.
“Moga-moga tidur aku malam ini mimpi yang indah, mimpi aku dengan duyung. Duyung yang cantik...” Tok Kepah mengharapkan sesuatu daripada mimpinya.
Malam itu juga Belitong, Kerang, Kupang, Cencaru, Tamban, Kembong dan Gelama berehat sambil membakar ayam panggang di bawah pokok kayu yang rendang. Sambil melantak dan meratah ayam panggang mereka semua berbual-bual dan gelak ketawa. Kupang, Kembong dan Gelama membetulkan ayam yang sedang dipanggang. Ada tiga ekor ayam yang masih dipanggang.
“Kupang, ada apa Belitong jumpa Kerang?” tanya Kembong pada Kupang.
“Sudah tentu ada hajat besar yang Belitong mahukan,” sampuk Gelama.
“Biarlah mereka, buat apa kita ambil tahu. Kita kuli sahaja...” jawab Kupang sambil membetulkan ayam panggang.
Belitong, Kerang, Cencaru dan Tamban duduk berkumpul meratah ayam panggang.
“Terima kasihlah Kerang, belanja kami makan ayam panggang ini,” kata Belitong pada Kerang.
“Aku pun sudah lama tidak makan ayam panggang,” Kerang meratah peha ayam. Tamban dan Cencaru menyiat daging ayam lalu disumbat ke dalam mulut masing-masing dengan lahab sekali.
“Eh, kau hari-hari bawa ayam, jual ayam. Tidak pernah makan ayam?” Belitong hairan. Kerang tersenyum sambil mengunyah daging dan membuang sisa dan tulang ayam ke tepi.
“Aku jual ayam sahaja, mana sempat aku nak panggang. Ini pun ayam lebihan aku berniaga.,” ujar Kerang. Belitong angguk faham.
“Kenapa ayam ini rasa semacam sahaja?” kata Cencaru yang terasa loya. Tamban pula makan dengan begitu berselera sekali. Belitong mula syak sesuatu.
“Kalau kau nak tahu ayam yang kau makan itu, ayam yang sudah mati...” ujar Kerang dengan selamba.
“Ceh!, ayam mati?” Belitong segera campak daging ayam yang diratahnya ke tepi. Dia terasa mual dan hampir muntah. Kupang termuntah di situ juga.
Kerang ketawa gelihati. Kupang, Kembong dan Gelama turut ketawa gelihati.
“Padan dengan muka dia orang itu, kena tipu hidup-hidup,” Kupang ketawa lagi.
“Kenapa pulak?” tanya Kembong.
“Kalau kau berdua nak tahu ayam yang dimakan Kerang itu ayam yang sudah mati...” jawab Kupang menahan perut kerana tidak tahan dengan ketawanya.
“Habis ayam yang kita makan ini, ayam matikah?” Gelama bertambah cuak.
“Jangan takut, ayam yang kita makan di sini ayam yang disembelih. Ayam hidup...” Kupang meyakinkan Kembong dan Gelama.
“Aku tak percaya!” ujar Gelama lagi.
“Gelama, kalau kau nak tahu aku dah tukar ayam dengan ayam yang di sana. Ayam yang dimakan Kerang, Belitong, Cencaru dan Tamban,” jelas Kupang.
“Baguslah kalau begitu...” Gelama kembali tenang dan makan daging ayam.
“Kenapa berhenti makan?” tanya Kerang pada Belitong.
“Geli aku nak makan ayam mati!” Belitong tarik muka.
“Sebenarnya ayam yang kita makan ini ayam yang masih hidup dan disembelih. Ayam yang mati dimakan tiga ekor monyet sana itu...” Kerang menunjuk ke arah Kupang Kembung dan Gelama. Belitong percaya dengan penjelasan Kerang. Mereka semua ketawa gembira.
“Kau ini betul-betul menakutkan aku...” Belitong kembali makan ayam panggang.
“Sudah makanlah, banyak lagi ayam, makan-makan...” pelawa Kerang.
“Cecaru, Tamban makanlah apa nak takut. Tuan Kerang belanja kita semua,” kata Belitong.
“Kenapa kau tidak makan sekali?” tanya Cencaru. Belitong masih ragu-ragu. Kerang leka meratah ayam panggang.
Di tengah laut Umang memukat ikan, pukat ditarik perlahan-lahan. Pukat dipenuhi ikan-ikan kecil dan besar. Umang gembira dengan tangkapan pada hari itu.
“Wah!, lumayan sungguh... jarang aku dapat ikan sebanyak ini,” kata Umang yang terlalu seronok. Semakin pukat ditarik ke atas sampan semakin banyak ikan yang diperolehinya.
“Kalau begini hari-hari sudah tentu aku akan kaya, sudah tentu Siput menjadi milik aku. Tok Kepah bangga dengan aku...” angan-angan Umang mengimpikan kebahgiaan.
“Siput, kalau kau menjadi milik aku kelak, akan aku bina istana dan mahligai yang indah. Akan aku hamparkan permaidani yang cantik-cantik...” Umang memandang laut luas. Pukat di tarik lagi ke atas sampan, sedang Umang leka menarik pukat tiba-tiba muncul Siput di permukaan air menyerupai duyung. Siput memberikan senyuman manis pada Umang. Umang tergamam denga kehadiran Siput itu. Pukat yang ditarik terhenti.
“Siput?... kau jadi duyung!” kata Umang yang masih terkejut dengan perubahan yang berlaku pada Siput.
“Abang Umang janganlah balik ke darat. Siput tidak ada kawan di tengah laut ini. Kalau boleh abang Umang tinggal dengan Siput,” rayu Siput menyebabkan Umang serba salah.
“Macam mana Siput boleh jadi begini?” Umang masih tidak percaya kenapa Siput menjadi duyung.
“Siput terlanggar sumpah, sebab itu Siput jadi begini... tidak ada penawar melainkan Siput berkahwin dengan manusia darat,” jelas Siput.
“Siput terlanggar sumpah, sumpah yang bagaimana?” tanya Umang ingin tahu.
“Siput termakan buah Kulang Kaling...” Siput tunduk sedih.
“Buah Kulang Kaling! Buah apa itu?” tanya Umang lagi.
“Siapa yang makan buah Kulang Kaling pasti menerima padah menjadi duyung. Siput tidak tahu buah yang Siput makan, buah yang Siput jumpa di tepi pantai itu buah Kulang Kaling...” jelas Siput.
“Apa yang abang Umang boleh tolong selamatkan Siput dari sumpahan itu?” tanya Umang.
“Abang Umang mesti kahwin dengan Siput untuk hilangkan sumpahan. Kalau tidak selama-lamanya Siput akan menjadi duyung,” kata Siput. Umang terdiam memikirkan kenyataan Siput.
“Abang Umang marilah turun ke dalam laut,” pelawa Siput sambil tersenyum menghulurkan tangan kepada Umang supaya mengikutnya berenang. Umang teragak-agak untuk mengikut Siput berenang.
“Marilah abang Umang tolonglah Siput. Abang perlukan abang Umang untuk hilangkan sumpahan...” Siput mendesak Umang.
“Kerana Siput abang Umang sanggup lakukan apa saja,” akhirnya Umang terjun ke dalam laut berenang bersama Siput.
“Siput!” Umang tersedar daripada mimpikan Siput. Jeritan Umang itu menyebabkan Buntal yang ada di sebelahnya terjaga.
“Umang, kau ini buat aku lemah semangatlah. Kacau saja mimpi aku...” marah Buntal pada Umang. Umang duduk mamai, mulutnya menyebut-nyebut nama Siput dan duyung. Buntal bertambah hairan dengan sikap Umang itu.
“Duyung... Siput... Siput jadi duyung. Buntal, Siput jadi duyung. Duyung jadi Siput eh.... Buntal jadi Siput... duyung jadi Buntal... Siput jadi Siput...” Umang merapu.
“Apa bendanya, Siput duyung, duyung Siput ini,” tegur Buntal sambil menepuk dahi Umang . Umang tersedar dan menahan sakit dahinya.
“Kenapa kau tepuk dahi aku, sakit kau tahu!” Umang marahkan Buntal.
“Kau mengigau, merapu meraban aku tepuklah dahi kau,” jelas Buntal menerangkan apa yang terjadi pada Umang.
“Mengigau!, mana ada aku mengigau...” Umang mempertahankan kenyataannya.
“Orang mengigau mana nak sedar, aku yang mendengarnya naik seram bulu ketiak aku...” ujar Buntal.
“Apa yang aku mengigaukan?” tanya Umang ingin tahu.
“Apa yang kau mimpi masa kau tidur tadi?” tanya Buntal ingin tahu.
“Apa yang aku ingat duyung jadi Siput... bukan Siput jadi duyung...” kata Umang.
“Betullah...” ujar Buntal.
“Apa yang betul?” tanya Umang.
“Kau mimpi dan mengigau Siput jadi duyung,” jawab Buntal.
“Siput jadi duyung?” Umang seperti tidak percaya.
“Eh, kalau betul Siput jadi duyung, punah harapan kau Umang,” Buntal menakutkan Umang. Umang serba salah dia tidak mahu kehilangan Siput.
“Buntal, aku fikir apa kata kita pergi tengok Siput,” ajak Umag.
“Nak buat apa malam-malam buta pergi tengok Siput. Kau nak kena hambat dengan Tok Kepah,” jelas Buntal.
“Aku tidak mahu dia jadi duyung...” ujar Umang.
“Kepala otak kau ini sudah sakit agaknya... sudah pergi tidur. Kau tidur di rumah aku pun sudah untung,” kata Buntal yang melabuhkan kepalanya di bantal. Umang menarik nafas . Dia masih keliru samada dia berada di dunia nyata atau pun tidak nyata.
Setelah selesai meratah ayam panggang, Belitong dan Kerang menyandar di bawah pokok kerana kekenyangan. Cenceru, Kupang, Tamban, Gelama dan Kembong masing-masing baring di bawah pokok yang lain. Mereka juga kekenyangan meratah ayam panggang. Cencaru dan Tamban sudah terlelap manakala Kupang, Kembong dan Gelama mereka berbual-bual.
“Apa yang kau fikirkan Belitong?” tanya Kerang sambil membetulkan unggun api di hadapannya.
“Ada dua perkara yang menyakitkan kepala otak aku sekarang,” jawab Belitong.
“Dua perkara yang mudah kau tidak boleh selesaikan, kenapalah bengap sangat kepala otak kau itu,” sindir Kerang.
“Kalau kau ada buah fikiran, tolonglah aku...” pinta Belitong sambil mengurut perutnya yang terasa sakit gara-gara terjahan kaki Siput.
“Apa dua perkara itu?” tanya Kerang lagi.
“Pertama aku sukakan Siput, gadis kampung ini yang cantik gebu kulitnya. Gara-gara Siputlah perut aku sakit diterjahnya. Sehingga sekarang perut aku belum sembuh lagi. Dukun Pari sudah rawat aku tapi sakitnya masih ada lagi,” jelas Belitong.
“Perkara yang kedua?” Kerang ingin tahu lagi.
“Kedua, bagaimana caranya untuk menangkap duyung...” kata Belitong membetulkan duduk sandarnya pada batang pokok. Kerang memandang Belitong lalu tertawa gelihati kerana kecetekan akal Belitong.
“Kenapa kau ketawa?” tanya Belitong yang hairan dengan Kerang.
“Siput!, siapa budak Siput itu?” Kerang bersenda.
“Siput itu anak Tok Kepah, penghulu kampung ini...” jelas Belitong.
“Kenapa bengong sangat kau ini. Kalau kau geram sangat dengan Siput... kalau kau sukakan Siput kau kahwinlah dengannya,” kata Kerang menyambung ketawanya.
“Kau ingat Tok Kepah, Mak Lala, Siput sukakan aku. Sungguh pun aku ini nampak bengis, tapi hati aku baik,” ujar Belitong.
“Harap muka bengis, tapi otak kau lembab. Ada satu cara macamana nak lembutkan Siput supaya dia suka dengan kau,” Kerang beri cadangan.
“Apa dia?” tanya Belitong. Kerang membisikkan sesuatu ke telinga Belitong. Belitong angguk faham dengan cadangan Kerang itu.
“Arrh cadangan kau itu sudah lama aku fikirkan. Cuma menunggu masa yang sesuai saja. Dari dulu lagi aku boleh culik Siput kalau aku mahu. Tapi aku tidak mahu kerana aku masih hormatkan Tok Kepah dan Mak Lala,” jelas Belitong yang tidak bersetuju dengan cadangan Kerang untuk menculik Siput.
“Aku tidak mahu masuk campur dalam hal ini, kalau kau tidak setuju,” kata Kerang.
“Baiklah apa buah fikiran kau yang kedua itu,” kata Belitong.
“Aku tidak percaya wujudnya duyung, aku sendiri belum pernah melihat duyung. Kalau mata kepala aku sudah melihat duyung barulah aku percaya. Mana ada duyung... dayung sampan adalah,” Kerang bertegas dengan pendiriannya.
“Kau memang bangang, sekarang ini semua orang kampung heboh dengan munculnya duyung. Dukun Pari percaya duyung memang ada di laut luas sana. Betul, kau kata tidak pernah lihat duyung, aku sendiri pun belum pernah melihat duyung tapi aku dapat gambarkan duyung itu cantik bak bidadari,” jelas Belitong.
“Kau nak buat apa dengan duyung kalau kau dapat?” tanya Kerang.
“Menurut Dukun Pari air mata duyung boleh mengubati pelbagai penyakit,” Belitong cuba yakinkan Kerang.
“Mustahil dengan air mata duyung penyakit boleh diubati, bagaimana caranya nak memerah air mata duyung itu? Sedangkan air mata kita sendiri pun tidak boleh dikumpulkan,” Kerang menegakkan pendapatnya.
“Sudah aku tidak mahu cakap dengan kau lagi. Kau tidak akan percaya... kau akan tahu satu hari nanti aku akan dapat duyung. Waktu itu kau akan mati terlopong...” Belitong bingkas bangun dan terus beredar meninggalkan Kerang. Kerang hanya tersenyum dengan angan-angan dan cita-cita Belitong itu.
“Tidak masuk akal...” bisik hati Kerang.

Malam hari di rumah Dukun Pari, dia diurut oleh kedua-dua isterinya Ketam dan Udang. Ketam mengurut di bahagian badan manakala Udang mengurut di bahagian kaki. Dukun Pari menahan sakit, mukanya berkerut-kerut. Ketam menenyeh badan Dukun Pari yang kurus kering itu dengan sekuat hatinya.
“Adik Ketam, kau mengurut atau nak bunuh aku!” kata Dukun Pari menahan sakit. Udang tersenyum.
“Abang butakah, adik Ketam tengah mengurutlah ini,” jawab Udang.
“Kau picit terlalu kuat, abang tidak segemuk kau, sakit...” ujar Dukun Pari. Udang pula mengurut dengan lemah lembut.
“Adik Udang kenapa uru kaki tidak rasa apa-apa?” tanya Dukun Pari.
“Adik Udang sayang dekat abang sebab itulah adik Udang urut dengan lemah lembut,” jawab Udang. Ketam dengar kata-kata Udang terus mencebikkan mulutnya. Ketam geram dan terus mengurut dengan kasar. Dukun Pari menjerit kesakitan.
“Lain kali jangan jadi dukun, semua saka dan penyakit orang masuk dalam badan abang. Dah jadi kurus kering macam ini pun tidak sedar diri lagi,” kata Ketam marah.
“Aku kurus sebab kau berdua gemuk. Aku makan pun tidak cukup. Semua makanan kau bedal. Aku dapat tulang,” ujar Dukun Pari.
“Bukankah abang suka yang gemuk-gemuk, yang besar-besar macam kami berdua ini,” sampuk Udang.
“Betul itu. Abang memang suka yang besar-besar yang gemuk-gemuk Tapi ada satu lagi yang paling abang suka.
“Apa yang abang suka?” tanya Ketam ingin tahu.
“Abang suka madu...” jawab Dukun Pari ringkas.
“Apa abang nak bermadu!” Ketam marah.
“Bukan bermadulah, abang suka makan madu lebah,” kata Dukun Pari yang serba salah. Ketam yang bengis itu terus mencekik leher Dukun Pari.
“Kalau abang kahwin satu lagi, abang akan terima padah. Jangan sampai muka abang kami sagat dengan kukur kelapa...! Ingat itu!” Ketam beri amaran.
“Ya abang akan ingat, lepaskan... leher abang...” Dukun menahan sakit dicekik Ketam. Ketam melepaskan tangannya yang mencekik leher Dukun Pari.
“Putus nyawa aku...” Dukun Pari menarik nafas lega.


Bab Seterusnya Semakin Menarik...