BAB 2.
Rumah Teritip kelihatan senget sebelah kiri. Bapa Umang, Teritip membawa setandan pisang berjalan menuju ke perkarangan rumahnya. Sekali sekala tangannya menggaru punggung yang gatal entah berkurap entah berkayap. Sampai sahaja di tangga pisang setandan tadi diletak di tepi tangga. Teritip kepenatan dan terus duduk di tangga. Menggaru punggung lagi, kali ini garunya semakin laju dan Teritip terasa seronok dan terus menggaru.
“Sudah macam-macam ubat aku letak aku tenyeh, daun sireh bertemu uratlah, daun sekentut yang kuat baulah, daun cemumak yang bergetahlah. Satu benda pun tidak kurangkan gatal aku ini.” keluh Teritip.
Teritip mengibas-ngibas badannya dengan menggunakan kain seperti karung guni. Penatnya belum hilang. Sakit pinggangnya belum reda.
“Umang!… Umang!” jerit Teritip pada anaknya yang masih tidur di dalam rumah.
“Mana pulak budak baghal ini?” bisik hatinya yang semakin panas.
“Umang!” pekik Teritip lagi.
Teritip bangun dan berlegar-legar meninjau di muka pintu melihat-lihat kalau-kalau Umang sudah bangun.
“Dasar pemalas!” ujar Teritip sambil menggaru.
Di sudut rumah, Umang tidur berdengkur. Tidur Umang terganggu, badannya dikalih ke kiri kemudian dikalih ke kanan. Umang bingkas duduk dan tergaru-garu sambil mengibas-ngibas badannya dengan kain karung guni.
“Apa pulak yang gigit badan aku ini,” keluh Umang yang masih mengantuk lagi.
Kelihatan semut berkeliaran di badan Umang dan juga di lantai.
“Ehh binatang kecil ini rupanya yang gigit. Hai lah semut boleh tak kau gigit selain dari badan aku, kau gigit batu ke, kayu ke, rumah ini ke atau kau gigit bapak aku yang tengah mengamuk itu,” ujar Umang pada semut.
“Umang!, Umang!” pekik Teritip.
Terdengar suara Teritip dari luar rumah memanggil Umang. Umang terkejut, kali ini suara Teritip semakin tinggi nadanya. Umang masih mengibas-ngibas semut di badannya.
“Bapak nak apa?. Nak makan semut!” ujar Umang yang tidak puashati dengan Teritip. Umang bangun dan terus menggeliat sepuasnya. Terdengar letup tulang pinggang. Umang menguap panjang. Berjalannya agak malas menuju ke pintu rumah. Umang turun tangga selang dua anak tangga Umang duduk di sebelah bapanya. Bapanya menjeling pada Umang.
“Yang kau tergaru-garu ini kenapa, sudah terkena penyakit aku?” tanya Teritip.
“Bapak tolong garukan badan Umang,” Umang meminta Teritip menggarukan badan Umang yang gatal digigit semut.
“Bapak bela semut banyak sangat bukan boleh dimakan,” keluh Umang.
“Merah badan kau Umang, semut apa yang gigit kau ini?” tanya Teritip pada Umang.
“Semut gunung berapi agaknya pak,” jawab Umang ringkas.
“Ini bukan semut gunung berapi, ini semut fisiotrapi,” balas Teritip.
“Apa binatang fisiotrapi itu pak?” Umang kurang jelas.
“Alah adik beradik kutu babi.” jawab Teritip.
Teritip ambil penyapu di tepi tangga dan terus garu badan Umang dengan penyapu lidi. Umang menahan sakit akibat garuan penyapu lidi.
“Semut itu suruh kau bangun. Sebab kau itu pemalas. Orang lain turun ke laut kau turunkan air liur, membuta,” sindir Teritip.
“Hari ini saja Umang tidak ke laut pak, esok lusa Umang turunlah,” ujar Umang malas. Teritip berdiri dan mencampakkan penyapu lidi ke tepi sambil menggaru punggung lalu memarahi Umang.
“Kalau kau tidak ke laut kita nak makan apa?” jerkah Teritip nada keras.
“Hari-hari makan ikan, jemulah pak. Kalau makan buah Gedabu lagi sedap,” kata Umang dengan sopan.
“Ooo jemu, kau ambil pisang itu, rebus. Bapak nak makan. Cepat!” perintah Teritip pada Umang. Umang pun segera mengambil pisang yang terletak di tepi tangga dengan muka bosan ke dapur masak di bawah pokok kelapa.
“Keturunan monyet agaknya...” rungut Umang.
“Apa kau cakap!” pekik Teritip. Teritip serius sambil garu punggung lagi
“Bukan pak, pisang ini benyek tidak boleh di rebus. Kena buat cekodok benyek,” jawab Umang ketakutan.
“Aku tidak peduli kau nak buat cekodok ke, buat kuih pau pisang ke yang penting benda itu siap aku lapar,” Teritip segera naik ke rumah.. Umang letakkan pisang di sebelah dapur kayunya. Umang ambil periuk tanah dan diisi dengan air buyung lalu diletakkannya di atas tungku dapur. Kayu api disusun lalu dinyalakan dengan puntung bara kayu. Asap mula kelihatan keluar dari celah-celah kayu api. Kemudian Umang mengambil pisang lalu disiat-siat buah pisang dari tangkai sisir dan di sumbat ke dalam kuali.
“Menyesal aku tidak turun laut,” bisik hati Umang.
Langit membiru, matahari panas terik memancar. Di pinggir Kampung Angin Pasang Kerang bersama Kupang dan dua orang suruhannya iaitu Kembong dan Gelama melalui jalan kampung menuju ke Kampung Angin Pasang. Kembong dan Gelama membawa barang-barang dagangan seperti ayam, itik, bakul rotan, tembikar dan beberapa karung guni berisi beras dan sebagainya untuk dijual kepada penduduk Kampung Angin Pasang.
“Tuan, jauh lagi Kampung Angin Pasang?” tanya Kembong pada tuannya Kerang. Kerang memalingkan muka pada Kembong. Kerang menarik muka masam. Kembong rasa kecut.
“Kenapa kau tanya soalan itu bodoh!” bisik Gelama pada Kembong.
“Memang patut kita tanya, sejak tadi tak sampai-sampai lagi. Bahu dan kaki aku sudah naik kematu,” ujar Kembong. Kupang yang berada di belakang menolak badan Kembong dan Gelama.
“Woi! Kembong, Gelama apa yang kau bisik?” tegur Kupang sambil menolak badan Kembong dan Gelama. Kembong dan Gelama hampir terhumban dan menimbulkan kemarahan.
“Dasar kaki tinggi sebelah. Aku rasa kita tersalah jalan lagi,” ujar Kembong lagi.
Kerang yang berjalan tinggi sebelah itu segera membuatkan Kembong dan Gelama ketawa gelihati.
“Gelama kau tengok kaki tinggi sebelah itu, dah lama hidup jalan masih tak sama,” bisik Kembong menyindir Kerang. Kupang memasang telinga.
“Kau tidak sayang mulut ya, tidak serik kena bantai cemati,” Gelama mengingatkan Kembong, Kerang menoleh ke belakang bila mendengar Kembong dan Gelama ketawa.
“Lekas jalan... pemalas!” jerkah Kerang yang panas hati.
“Aku dah cakap, kau degil,” Gelama tegur Kembong.
Tiba-tiba tali cemati yang dipegang Kupang mengenai badan Kembong dan Gelama. Kembong dan Gelama terkejut dan menahan kesakitan.
“Kau hina tuan aku. Kurang ajar!” jerit Kupang.
“Apa!, dia hina aku. Kupang batai lagi!. perintah Kerang pada Kupang.
Kupang dengan pantas terus membantai Kembong dan Gelama dengan tali cemati. Kembong dan Gelama kesakitan, badannya berbalar-balar kesan pukulan tali cemati.
“Ampun tuan!. Sumpah kami tidak hina lagi...” rayu Kembong.
“ Sumpah, berbakul-bakul sumpah, sudah macam sampah!.
“Benar tuan kami tidak hina pun,” ujar Gelama.
“Kupang, kau dengar mereka hina aku?” tanya Kerang pada Kupang.
“Kembong cakap tuan kaki tinggi sebelah, sudah lama hidup jalan masih tidak sama,” terang Kupang. Kembong dan Gelama serba salah.
“Kurang ajar!, berani kau hina aku.” Kerang naik marah.
“Kita ajar mereka tuan,” Kupang terus memukul dengan tali cemati ke arah Kembong dan Gelama.
“Aduh sakitnya... nanti tuan, ini tidak adil Kupang pun hina tuan tadi,” ujar Kembong.
“Benar tuan, Kupang hina tuan,” sampuk Gelama.
“Bila aku hina tuan?” tanya Kupang pada Gelama.
“Tadi baru saja kau cakap...” Gelama yakinkan Kerang.
Kerang yang mendengar terus mendekati Kupang lalu merampas tali cemati dan terus memukul Kupang. Kupang menahan sakit. Kembong dan Gelama ketawa lagi.
Di luar rumah penghulu Tok Kepah asap dari dapur keluar di celah-celah dinding buluh dan atap rumbia. Rumah Tok Kepah sederhana besar, kelihatan kemas buatannya. Lamannya bersih dan terjaga ditanami pula dengan pokok bunga. Tok Kepah berjalan di perkarangan laman rumahnya menuju ke tangga. Tok Kepah berhenti di kaki tangga dan mengambil tempurung kelapa lalu menceduk air pada tempayan kecil di tepi tangga. Tok Kepah menuang air dan membasuh kakinya. Tempurung kelapa dicampak kembali ke dalam tempayan kecil. Air dalam tempayan berkocak. Tok Kepah menaiki empat anak tangga menuju ke pintu rumah. Tok Kepah duduk di muka pintu menghilangkan lelah.
“Mak Lala! kopinya mana?” tanya Tok Kepah.
Di ruang dapur Mak Lala membantu anaknya Siput meletakkan pisang rebus ke dalam bekas yang diperbuat daripada upih pinang. Mak Lala menoleh ke arah Tok Kepah, dia mengeluh bosan. Siput mengambil pisang rebus dari dalam periuk tanah dan meletakkannya ke dalam bekas upih pinang.
“Kopi, kopi... mana ada biji kopi lagi,” keluh Mak Lala.
“Apa nak disusahkan mak, tumbuk arang kayu jadilah kopi,” cadang Siput.
“Siput! mak kau dah buat kopi belum?” tanya Tok Kepah lagi.
“Air tengah jerang pak.” jawab Siput.
“Siput cepat kau pergi, sebelum bapak kau tahu,” ujar Mak Lala.
“Jangan beritahu bapak pisang rebus ini Siput beri pada Umang,” jelas Siput.
“Bapak kau itu pekak, haram tidak dengar mana dia tahu,” ujar Mak Lala lagi.
Tok Kepah duduk menyandar di muka pintu rumah sambil mengurut kakinya yang lenguh berjalan melawat kampung. “Siput mana pisang rebusnya. Kau buat dodol atau buat pengat?” Tok Kepah bertanya lagi.
“Bapak tahu mak,” bisik Siput.
“Bapak kau bau pisang rebus...” jelas Mak Lala.
“Siput rebus pisang pak.” Siput tinggikan nada suaranya.
“Sudah, kau jangan layan bapak kau itu. Ikut pintu belakang,” Mak Lala menyuruh Siput keluar melalui pintu belakang.
“Siput pergi dulu mak.” Pinta Siput. Siput bangun sambil membawa bekas upih pinang dan segera keluar melalui pintu belakang.
Laut biru luas mata memandang. Air menghempas di gigi pantai, kelihatan sampan-sampan terdampar di tepi pantai. Buritan sampan bergoyang-goyang dipukul ombak. Sampan yang terdampar di tepi pantai itu menunjukkan bahawa nelayan tidak turun ke laut. Di hujung pantai, Belitong berjalan dua rakanya iaitu Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban menarik Buntal yang ketakutan. Belitong menoleh kebelakang dan terus ketawa bila melihat Buntal ketakutan.
“Lekas! Bawa Buntal ke sampan.” Perintah Belitong pada Cencaru dan Tamban.
“Kau nak bawa aku ke mana?” tanya Buntal.
“Diam! Jangan banyak soal...” ujar Cencaru.
“Tolong lepaskan aku, kau orang nak buat apa dengan aku,” rayu Buntal.
Buntal terus diheret tanpa dihiraukan oleh Cencaru dan Tamban. Sejurus kemudian Belitong, Cencaru, Tamban dan Buntal sampai di tempat sampan. Buntal ditolak ke gigi pantai. Mukanya tersembam di pasir. Ombak menyapu muka Buntal. Buntal tertelan air laut, dia muntahkan air masin dari mulutnya. Belitong ketawa besar sambil membuli Buntal. Cencaru dan Tamban turut ketawa besar. Belitong menarik baju Buntal.
Buntal ketakutan melihat muka Belitong yang bengis dan matanya yang putih kerana terkena kencing kerengga. Cencaru dan Tamban tersenyum-senyum
“Kau tengok muka aku betul-betul, apa yang kau nampak?” tanya Belitong.
“Aku tidak nak nampak apa-apa,” ujar Buntal.
“Apa kau buta!” sergah Belitong.
“Aku tidak buta, tapi kau yang buta,” jawab Buntal.
“Kurang ajar!” marah Belitong meluap-luap. Buntal ditolak ke tepi sampan. Buntal sempat berpaut pada sampan. Dia mula merasa pening bila melihat air laut berombak-ombak. Belitong memaksa Buntal naik ke atas sampan.
“Naik dan dayung sampan ini ke tengah laut, lekas!” paksa Belitong. Buntal serba salah. Cencaru dan Tamban segera menghampiri Buntal dan terus menolak Buntal agar naik ke atas sampan. Buntal menahan dan enggan berganjak untuk naik ke atas sampan.
“Lekas naik!” paksa Tamban.
“Aku, aku tidak boleh... aku mabuk laut...” kata Buntal merayu. Belitong ketawa lagi. Kali ini ketawanya tidak henti-henti dan ketawa Belitong turut disambut ketawa Cencaru dan Tamban.
“Aku nak lihat kau mabuk laut. Lekas naik!” Belitong memaksa lagi.
“Aku rayu, jangan paksa aku... aku...” Buntal merayu-rayu.
“Aku apa!” sergah Belitong yang tidak puashati dengan sikap Buntal yang masih enggan naik ke atas sampan.
“Buntal, kau jangan salah sangka. Aku buat begini supaya kau sembuh dari mabuk laut. Aku kasihan melihat kau tidak pernah turun laut cari ikan.” pujuk Belitong.
“Aku tidak boleh Belitong, pantang datuk nenek aku turun ke laut,” jelas Buntal.
“Datuk nenek kau sudah lama mati, pantangnya pun sudah tidak ada. Apa yang kau perlu takut,” Belitong semakin desak Buntal.
“Lekas naik, tunggu apa lagi,” ujar Tamban.
Buntal memandang ke laut yang luas.
“Aku... aku...” Buntal pening lalat, matanya berpinar, kepalanya longlai dan terus pengsan. Buntal jatuh di gigi pantai kerana mabuk laut. Belitong dan rakannya ketawa lagi. Belitong menghampiri Buntal dan memegang muka Buntal lalu di tolak ke tepi. ombak laut menyimbah muka Buntal. Buntal tidak sedarkan diri lagi. Cencaru, Tamban dan Belitong ketawa lagi.
“Sudah!, jangan banyak ketawa... simpan ketawa itu untuk esok,” tegah Belitong.
Tamban dan Cencaru terdiam dari ketawa.
“Apa yang kau tercegat lagi, balik...” perintah Belitong. Belitong segera berjalan dan diikuti oleh Tamban dan Cencaru. Di gigi air Buntal masih tidak sedarkan diri. Terik matahari menyimbah bumi. Bunyi burung kedengaran di sana-sini.
Jalan kampung menuju ke rumah Umang terlalu sunyi. Kiri kanan jalan kampung itu hanya ada pokok kelapa yang tinggi menjulang. Di bawahnya lalang-lalang tumbuh meliar bersahabat dengan pokok renek tumbuh meliar. Dari jauh kelihatan Siput berjalan menuju ke rumah Umang sambil membawa pisang rebus. Siput sesekali menoleh ke belakang, kiri dan kanan bimbang kalau-kalau ada tetamu yang tidak diundang mengganggunya. Dalam perjalanan itu Siput terdengar sesuatu, bunyi seperti kayu ranting patah dipijak orang. Siput syak sesuatu. Hatinya gundah memikirkan bunyi ranting patah.
“Ah, barangkali ranting jauh dari dari dahan pokok,” bisik hati Siput.
Siput kemudiannya berhenti berjalan, dia rasa tidak sedap hati. Dia tinjau di belakangnya, di kirinya di kanannya. Siput mengamati lagi keadaan di sekelilingnya. Siput puashati lalu meneruskan perjalanan. Dalam perjalanan itu, tiba-tiba Belitong muncul di hadapan Siput. Siput terperanjat dan ketakutan. Belitong segera menghalang Siput melarikan diri. Siput toleh ke belakang dilihatnya Cencaru dan Tamban sedia menunggu. Siput bertambah takut. Belitong merapatkan dirinya pada Siput. Siput undur ke belakang. Sipu berhenti dan mara ke hadapan, Belitong undur ke belakang.
“Ke tepi!. Aku jerit kalau kau sentuh aku.” Kata Siput dengan marah.
“Kau nak ke mana Siput, aku sudah lama cari kau. Aku sudah lama tunggu kau. Tapi kau tidak mahu dekat dengan aku. Kenapa Siput?” tanya Belitong.
“Peduli apa aku dengan kau, apa kau ingat kau itu bagus sangat,” ujar Siput memberanikan diri. Belitong menghampiri Siput dan menyentuh pipi Siput. Siput cuba mengelak.
“Eh, pisang rebus. Nak beri monyet makan ya...” sindir Belitong sambil mengambil sebiji pisang rebus dari bekas upih pinang lalu disumbat ke dalam mulut.
“Ada monyet yang makan pisang,” Siput membalas dengan sindiran. Belitong meludah kembali pisang dari mulutnya.
“Kau memang cantik Siput. Kampung Angin Pasang tidak ada gadis yang cantik seperti kau jika dibandingkan dengan gadis-gadis lain.” Puji Belitong. Belitong senyum menggatal.
“Pantang dapat gadis cantik, menggatal macam beruk,” kata Cencaru pada Tamban. Tamban mencebik mulut tanda meluat dengan perangai Belitong.
“Tidak sepadan dengan muka yang calar balar, mata sebelah putih, dasar buaya tembaga,” ujar Tamban. Belitong memegang tangan Siput. Siput berkeras melepaskan tangannya tetapi tidak berdaya.
“Kenapa tidak menjerit. Gebu kulit kau Siput.” ujar Belitong.
“Mak bapak aku yang jaga tentulah gebu.” jawab Siput.
“Kulit aku gebu tidak?” tanya Belitong dengan manja.
“Dibandingkan kulit kau dengan kulit bakau, kulit bakau itu lagi cantik.” Balas Siput sambil menyentap tangannya. Belitong naik angin dengan kata-kata Siput itu lalu memegang dagu Siput. Belitong ingin mencium pipi Siput. Siput dengan segera menerjah perut Belitong. Belitong menahan sakit. Siput segera lari. Cencaru dan Tamban gagal menahan Siput. Cencaru dan Tamban segera menghampiri Belitong dan membantu Belitong.
“Belitong kau tidak apa-apa?” tanya Cencaru.
“Apa kau buta!, aduh...” tengking dan marah Belitong pada Cencaru lalu menerajang dan membelasah Cencaru dan Tamban. Tamban dan Cencaru menahan sepak terajang Belitong.
“Mana Siput?” tanya Belitong.
“Sudah lari...” jawab Tamban ringkas.
“Bodoh!.. pergi kejar lekas!” marah dan perintah Belitong pada Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban segera berlari mengejar dan mencari Siput.
“Woi, kenapa tinggalkan aku!” pekik Belitong yang masih menahan sakit.
Tamban dan Cencaru berpatah kembali menemui Belitong. Sampai sahaja mereka berdua Belitong terus menampar muka Cencaru dan Tamban.
Di bawah pokok kelapa Umang menunggu pisang yang direbusnya. Umang berlegar-legar di bawah pokok kelapa. Bosannya tidak kunjung padam. Kayu api padam, kelihatan asap mula menebal. Umang tersedar, segera duduk mencangkung lalu membetulkan kayu api yang berasap itu. Umang tiup bara kayu api berkali-kali namun api tidak mahu menyala.
“Apa hal dengan kayu ini tidak mahu menyala... nak kata basah kayu ini kering.” rungut Umang kemudian meniup lagi, asap semakin menebal. Sedang Umang tiup bara api, terdengar bunyi kentut berderet-deret. Umang tersenyum sendiri.
Siput berlari-lari anak menuju ke rumah Teritip. Dia masih ketakutan dan terus meluru mendapatkan Umang. Umang terdengar Siput berlari dan menoleh ke belakang, dilihatnya Siput ketakutan. Siput.
“Abang Umang!” laung Siput sambil berlari.
Umang bangun sambil membetulkan seluarnya yang hampir terlondeh.
“Kenapa Siput?” tanya Umang.
“Belitong ganggu Siput,” jawab Siput.
“Kenapa kau tidak lawan tadi.” Umang berseloroh.
“Siput terjah perut dia, langsung tidak boleh bangun.” ujar Siput dengan bersungguh-sungguh.
“Hebatnya kau Siput, malu abang Umang tidak segagah macam kau...” puji Umang.
“Siput sekadar nak selamatkan diri, tidak sangka terkena perut dia.” ujar Siput serba salah.
“Yang penting kau selamat, jangan pulak rasa serba salah. Samseng macam dia tu sepatutnya sudah lama dihumban ke dalam laut, biar dimakan ikan paus.” Jelas Umang. Umang ke dapur kayunya, dia mencangkung sambil membetulkan kayu api yang masih berasap. Umang tiup bara api. Siput tersenyum melihat Umang kepedihan mata kerana asap.
“Abang Umang masak apa?” tanya Siput ingin tahu. Umang tersipu-sipu bila Siput bertanya apa yang sedang di masaknya.
“Rebus pisang...” ujar Umang perlahan.
“Abang Umang yang nak makan pisang itu?” Siput bertanya lagi sambil membantu Umang meniup bara api.
“Bukan abang Umang yang nak makan. Bapak Umang, sudah kebulur nak makan pisang entah berapa tahun tidak makan agaknya.” Rungut Umang. Umang dan Siput sama-sama meniup bara api. Kepala mereka berdua terhantuk.
“Aduh!...” Siput menahan sakit di kepalanya.
“Sakit?” tanya Umang. Siput geleng kepala. Umang senyum gembira.
“Tak ke laut?” tanya Siput.
“Abang Umang sakit.” Umang tunduk dan menarik nafas panjang.
“Sakit?” Siput hairan.
“Ya, sakit asyik terkentut saja...” jelas Umang
“Tak senonoh... nah!” Siput serahkan pisang rebus yang dibawanya kepada Umang.
“Apa ini? Umang segera membuka penutup bekas upih pinang.
“Pisang lagi, lain kali bawalah kambing panggang...” ujar Umang kecewa.
“Kalau kau tidak suka, beri pada bapak Umang,” Saran Siput.
“Aku setuju...” Umang senyum bangga.
Tiba-tiba sebiji kelapa tua jatuh tepat mengenai periuk tanah. Umang dan Siput terkejut dan tergamam. Periuk tanah pecah berderai dan pisang rebus jatuh bersepah.
“Aku ingatkan bulan jatuh ke riba, rupanya kelapa jatuh ke belanga,” Umang masih tergamam. Siput menarik nafas lega.
“Mujur tidak kena kepala, kalau tidak bocor...” Siput pulihkan semangatnya yang hilang tadi.
“Habislah mengamuk lagi orang tua itu.” Umang tidak sedap hati.
“Ambil pisang ini, beri saja pada Pakcik Teritip.” pinta Siput agar Umang memberikan pisang yang dibawanya kepada Teritip.
Teritip keluar dari dalam rumah sambil menggaru punggungnya. Teritip duduk anak tangga. Dia mencari-cari Umang.
“Umang, Mana pisang rebus?” tanya Teritip yang lapar.
Umang dan Siput tersedar apabila Teritip memanggil Umang.
“Sudah masak belum pisang itu?” Teritip tinggikan suaranya.
Umang serba salah dan segera ambil bekas upih pinang di tangan Siput dan bergegas menemui Teritip di tangga. Umang serahkan bekas upih pinang pada Teritip. Teritip meneliti bekas upih pinang kemudian memandang muka Umang. Umang serba salah. Teritip bangun dan berjalan menuju ke dapur kayu. Siput senyum pada Teritip. Teritip berdiri di hadapan periuk yang pecah. Umang tunduk bersalah. Teritip memandang Umang, riak mukanya ingin marah. Marah bukan kerana Umang berdua-duan dengan Siput tetapi marah kerana periuk tanah pecah berderai. Panas dan marah Teritip ditahannya kerana Siput berada di rumahnya.
“Terima kasih Siput. Nak harapkan budak bahgal ini. Kebulur aku...” ujar Teritip.
“Tak apalah pakcik, Siput saja masak lebih pisang ini, tidak sangka pulak pakcik nak makan pisang. Kebetulan...” Siput redakan keadaan, Umang terasa lega.
“Pakcik Siput minta diri nak balik.” kata Siput pada Teritip.
“Kenapa lekas sangat, sembang-sembanglah dengan Umang itu. Nasihat pada dia jangan malas turun ke laut,” sindir Teritip.
“Orang tua ini sindir aku,” bisik hati Teritip.
“Kami sudah sembang lama pakcik,” ujar Siput.
“Tak apa kalau begitu. Pergilah...” Teritip izinkan Siput balik ke rumahnya.
“Abang Umang hantarkan Siput balik.” Pinta Siput. Teritip menjeling pada Umang. Umang terasa bangga bila Siput mempelawanya.
“Boleh, sekarang juga Umang hantar... mari. Bahaya kalau Siput jalan seorang diri. Manalah tahu ada orang ganggu lagi macam Belitong.” Umang segera menarik tangan Siput dan segera meninggalkan Teritip. Teritip hanya memandang Umang dan Siput pergi sambil perlahan-lahan memuncungkan bibirnya.
Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama sampai di Kampung Angin Pasang. Apabila terlihat Kerang, Kembong dan Gelama sampai, budak-budak kampung datang mengejar dan mengerumuni Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama. Kanak-kanak kampung berlari-lari dan membuat bulatan dan menghalang pergerakan Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama.
“Hey!, ke tepi... apa kau orang buat. Nak lalu pun susah!” tengking Kerang.
Kanak-kanak kampung menjerit-jerit membuat bising. Suasana hingar bingar tercetus dengan sendirinya. Kembong dan Gelama kelam kabut menjaga barang dagangan.
Kerang dan Kupang terasa rimas dengan gangguan kanak-kanak kampung. Kanak-kanak kampung tarik-tarik barang dagangan yang dibawa oleh Kembong dan Gelama.
“Jangan tarik nanti rosak, ke tepi!” marah Kembong pada kanak-kanak kampung.
“Woi, budak hingus pergi!” Kerang panas hati melihat gelagat kanak-kanak kampung itu lalu memarahinya.
“Lari!...” kanak-kanak kampung lari bertempiaran. Kupang ketawa terbahak-bahak melihat kanak-kanak kampung melarikan diri. Kembong dan Gelama membetulkan ikatan yang terlepas.
“Kena sawan monyet agaknya,” kata Kembong pada Gelama sambil menjeling pada Kupang yang ketawa terbahak-bahak.
Kerang yang melihat Kupang ketawa terbahak-bahak semakin sakit hati lalu mengambil kayu dan membaling ke kepala Kupang. Kupang pening lalat lalu jatuh pengsan.
“Tuan, Kupang pengsan!” kata Gelama pada Kerang. Kembong dan Gelama segera mendapatkan Kupang yang pengsan.
“Biarkan dia, ketawa tidak ingat dunia,” jelas Kerang.
“Berdarah kepala dia tuan,” beritahu Kembong.
“Sudah tinggalkan dia di situ, kalau tersedar nanti pandai-pandailah dia cari kita,” kata Kerang lagi.
“Tuan kita di mana sekarang?” tanya Kembong.
“Kita sekarang di Kampung Angin Pasang, bodoh!” jerkah Kerang. Kerang meneruskan perjalanannya ke Kampung Angin Pasang.
“Lain kali jangan bertanya, kalau tidak nak kena tengking,” bisik Gelama pada Kembong.
“Cepat!, tuan dah pergi itu.” ujar Kembong sambil menarik tangan Gelama. Gelama serba salah untuk meninggalkan Kupang terbaring pengsan.
“Kau tunggu apa lagi, biarkan saja Kupang di situ,” Kembong minta agar Gelama segera meninggalkan Kupang. Kerang berhenti berjalan dan menoleh ke belakang sambil cekak pinggang. Dia naik baran bila melihat Kembong dan Gelama masih di sisi Kupang.
“Buat apa lagi di situ!” jerit Kerang dari jauh. Kembong dan Gelama terhegeh-hegeh mengemas dan memaut barang dagangan dan terus berlari mengekori Kerang.
Rumah Dukun Pari terletak jauh terpencil dan terasing dari rumah penduduk kampung Teluk Angin Pasang. Rumah Dukun Pari tersorok di dalam hutan belukar. Sunyi dan agak menggerunkan. Jarang tetamu yang datang ke rumah Dukun Pari kecuali jika ada urusan rawatan dan pertolongan. Rumah yang sederhana kelihatan muram, di kiri kanan pintu rumah Dukun Pari tergantung dua tengkorak kepala kerbau.
Pintu rumah yang berlubang-lubang dan reput di buka Dukun Pari. Dukun Pari keluar dari dalam rumah sambil ditemani dua orang isterinya yang gemuk Ketam dan Udang. Dukun Pari tersenyum lebar.
“Abang nak keluar. Jaga baik-baik rumah kita, jangan main api, jangan gaduh-gaduh. Ada orang jantan jangan bagi naik. Faham...” kata dan nasihat Dukun Pari pada kedua orang isterinya.
“Faham bang...” jawab Ketam dan Udang serentak.
“Bagus, ingat pesan abang itu,” nasihat Dukun Pari lagi.
“Abang Pari, Ketam nak sesuatu,” rengek Ketam isteri pertama Dukun Pari. Udang menjeling tidak puashati.
“Nak apa lagi, abang sudah buatkan rumah, abang sudah sediakan kawan satu lagi, abang sudah sediakan madu yang manis, abang sudah sediakan makan minum yang baik-baik. Nak apa lagi... sudah naik kurus badan abang ini. Kamu berdua makin bertambah-tambah tembunnya.” jelas panjang lebar Dukun Pari.
“Abang Pari Udang pun nak sesuatu,” rengek Udang isteri kedua Dukun Pari.
“Hah!, kau Udang nak apa lagi?” tanya Dukun Pari pada Udang.
“Abang Pari janganlah marah. Kak Ketam dan Udang nak makan.” rayu Udang lagi. Dukun Pari geleng kepala.
“Ai, tadi sudah melantak seekor kambing panggang tidak cukup lagi. Abang cuma dapat tulung rusuk, itu pun sisa-sisa kau berdua.” keluh Dukun Pari.
“Abang Pari janganlah merajuk, Ketam dan adik Udang nak makan... nak makan...” ketam tergagap-gagap.
“Nak makan apa?” gerak Dukun Pari.
“Nak makan ayam kampung golek.” Ketam terdesak dan terlepas cakap.
Dukun Pari termenung seketika. Dia memandang Ketam dan Udang dengan wajah yang tertekan. Ketam dan Udang berpandangan dan rasa serba salah.
“Bukan setakat ayam kampung golek, badak golek pun abang bawa balik!” luah Dukun Pari geram dengan perangai isterinya.
“Badak bukan boleh dimakan,” ujar Udang.
“Yalah abang Pari, carikanlah ayam kampung golek.” Pinta Ketam.
Dukun Pari menggaru perutnya, kemudian mendekati Ketam dan Udang. Ketam dan Udang resah. Dukun Pari mencubit pipi kedua isterinya yang tembam sambil tersenyum Dukun Pari meninggalkan Ketam dan Udang.
Di laut berhampiran pantai, Belacak dan empat rakannya bergegas mendayung ke darat. Mereka seperti ketakuan dan cemas. Mereka mendayung seperti lipas kudung. Masing-masing berlumba hendak sampai ke darat. Sambil mendayung mereka sempat menoleh ke belakang melihat laut luas. Seperti ada sesuatu yang mereka ingin hindari, mungkin juga mereka ingin menjauhkan diri.
“Lekas kawan-kawan!” teriak Belacak.
“Nak lekas macamana, sampan aku macam tidak bergerak!” pekik rakan Belacak.
Mereka terus menerus mendayung, ada yang keletihan dan ada yang kebingungan. Sejurus kemudian Belacak dan rakannya itu sampai di tepi pantai. Belum sempat kepala sampan mencecah ke bibir pantai, mereka semua terus melompat ke tepi pantai dan lari lintang pukang. Terlalu takut dan cemas ada yang terjatuh dan tersungkur. Langkah seribu lagi mendesak segera meninggalkan sampan masing-masing. Belacak berhenti berlari dan sempat menoleh ke laut. Nafasnya turun naik, peluh penuh di muka.
“Apa yang kau pandang ke laut itu?” tegur salah seorang rakan Belacak sambil berlari.
“Seumur hidup aku tidak pernah aku lihat, pelik benar,” bisik hati Belacak yang menoleh ke laut. Belacak dan rakannya bergerak pantas menuju ke perkampungan.
Umang dan Siput berlari-lari di tepi pantai. Mereka berdua berseronok sambil berlari kejar mengejar. Umang dan Siput berhenti berlari, mereka melihat Belacak dan rakannya berlari ketakutan menuju ke arah mereka.
“Abang Umang, kenapa nelayan itu seperti ketakutan?” tanya Siput pada Umang.
“Itu bukan ketakutan,” jawab Umang ringkas.
“Habis kalau bukan ketakutan, apa dia?” Siput ingin tahu.
“Mereka lumba lari, nak uji siapa yang paling pantas,” Umang buat andaian.
“Kalau lumba lari kenapa macam orang ketakutan kena kejar polong.” tambah Siput lagi.
“Apa yang Siput sibukkan dengan mereka itu,” Umang kurang puashati dengan Siput yang ingin tahu sangat apa yang terjadi dengan Belacak dan rakannya. Mereka yang ketakutan itu berselilisih dengan Umang dan Siput. Tanpa mengendahkan Umang dan Siput mereka terus berlari menuju ke perkampungan.
“Belacak! Apa yang berlaku?” tanya Umang pada Belacak yang berselisih dengannya. Umang hairan Belacak tidak menjawab pertanyaan. Siput turut hairan dan hanya memandang Belacak dan rakannya berlari.
“Apa mereka itu sudah pekak agaknya. Telinga sudah tersumbat dengan air garam,” keluh Umang. Siput membetulkan rambutya yang ditiup angin laut.
“Tidak baik abang Umang cakap macam itu,” tegur Siput.
“Sekurang-kurangnya mereka jawab pertanyaan kita tadi. Bukan bisu, masing-masing ada mulut.” jelas Umang yang masih tidak berpuas hati.
“Siput fikir tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka,” ujar Siput mengesyaki sesuatu.
“Agaknya apa yang tidak kena dengan mereka itu Siput?” tanya Umang.
“Barangkali mereka terjumpa harta karun!” Siput mengagak.
“Tidak mungkin jumpa harta karun, kalau jumpa harta karun mereka mesti senyum dan tidak rasa takut. Dah tentu mereka tidak akan beritahu sesiapa kalau jumpa harta karun,” ujar Umang. Siput seperti berfikir.
“Kalau bukan harta karun apa dia?” soal Siput.
“Mungkin mereka jumpa lanun Laporpo,” Umang buat andaian.
“Binatang apa lanun Laporpo itu?” tanya Siput yang tidak faham dengan kata-kata Umang. Umang dan Siput berjalan semula di bibir pantai.
“Lanun Laporpo itu maksudnya lanun belum makan lagi...” jawab Umang.
“Ada-ada saja abang Umang ini,” Siput memandang Umang. Umang buat-buat tak faham dan mereka berdua meneruskan perjalanan.
Kerang, Kembong dan Gelama sedang berjual beli barang-barang dagangan mereka dengan orang-orang Kampung Angin Pasang.
“Mari, mari... cepat-cepat kalau lambat tidak dapat!” Kerang memanggil orang kampung datang membeli. Kembong dan Gelama membetulkan barang dagangan. Orang kampung tua muda datang membeli dan memilih barangan kesukaan mereka. Cara jual beli mereka hanya dengan menukar barangan. Tidak wujud sistem mata wang. Kerang sibuk melayan pembeli yang memilih barangan. Kembung dan Gelama turut sibuk melayan.
“Laku jualan kita hari ini, beza sama sekali masa kita di Kampung Angin Surut,” kata Kembong pada Gelama.
“Yang teruk sekali masa di Kampung Tolak Bala, satu barang pun tidak laku. Penat kita pekik lolong panggil orang,” balas Gelama. Kerang terlihat Kembong dan Gelama bersembang. Kerang geram dan segera menarik telinga Kembong dan Gelama.
“Aku suruh kau tolong aku berjual beli, bukan bersembang,” marah Kerang pada Kembong dan Gelama.
“Maaf tuan, kami tidak buat lagi,” rayu Kembong.
“Mari, mari tuan-tuan, puan-puan. Jangan tertinggal satu barang, pilih-pilih...” kata Kerang pada orang kampung. Kerang bangga dengan hasil jual beli dengan penduduk kampung. Separuh daripada barang dagangan hampir habis.
Di bawah pokok kelapa tidak jauh dari tempat jual beli itu, Kupang tercari-cari Kerang, Kembong dan Gelama. Kupang meninjau di sekitar kampung. Kupang rasa kecewa dan serba salah, dia hampir putus asa kerana belum menemui Kerang, Kembong dan Gelama. Kupang duduk di bawah pokok kelapa, kelihatan dahinya lebam berwarna merah. Kupang memegang dahinya, terasa sakit.
“Binatang apa yang terbang hinggap ke dahi aku, sampai lebam macam ini?” keluh Kupang sambil matanya liar meninjau sekitar kampung kemudian Kupang tunduk berteleku.
“Sampai hati Kerang, Kembong, Gelama tinggalkan aku... mak Kupang kena tinggal... Kupang nak balik,” Hatinya mula sebak. Lama kemudian Kupang memandang ke kanan, dia tersenyum bila melihat Kerang, Kembong dan Gelama sedang berjual beli.
“Ha, puas aku mencari di situ pun mereka,” kata Kupang mula berjalan dan akhirnya berlari pantas menuju ke tempat jual beli.
Belitong sedang dipapah Cencaru dan Tamban menuju ke rumah Dukun Pari untuk mendapatkan rawatan. Belitong menahan kesakitan pada perutnya akibat terjahan Siput. Cencaru dan Tamban kepenatan memapah Belitong.
“Cepatlah aku sudah tidak tahan dengan perut aku ini!” jerit Belitong menahan sakit.
“Kalau ya pun sabarlah sikit, sudah nak sampai,” ujar Cencaru.
“Apa kau fikir dengan sabar perut aku boleh baik,” kata Belitong.
“Aku dengan Tamban sudah hilang sabar dengan berat badan kau ini. Lebih baik aku papah tapir, angkat badak,” jelas Cencaru yang letih melayan kerenah Belitong. Sejurus kemudian Belitong, Cencaru dan Tamban sampai di hadapan rumah Dukun Pari.
“Dukun Pari!... Dukun Pari...” Belitong memanggil Dukun Pari.
Cencaru dan Tamban tinjau rumah Dukun Pari, ternyata senyap dan sunyi. Belitong semakin resah kerana tidak tahan dengan saki yang ditanggungnya.
“Dukun Pari!, Dukun Pari!...” Cencaru memanggil nama Dukun Pari. Masih tiada jawapan. Belitong menahan sabar. Tamban seolah-olah berfikir ke mana Dukun Pari.
“Agaknya Dukun Pari pergi bertapa di Gua Kelabu Asap,” Tamban mencelah.
“Kepala lutut kau!, kalau dia pergi isterinya mesti ada di rumah. Setahu aku dia tidak pernah bawa isterinya keluar dari rumah ini.” jelas Belitong.
“Dukun Pari, Dukun Pari!” Cencaru memanggil lagi. Ketam dan Udang yang berada di dalam rumah sedang nyeyak tidur. Ketam dan Udang terjaga dari tidur bila mendengar teriak dan jerit Belitong memanggil Dukun Pari.
“Kak Ketam ada orang datang, bangun kak Ketam,” kata Udang sambil menguap.
“Kacau orang nak tidur. Tadi masa abang Pari ada di rumah tidak nak datang. Bila abang Pari tidak ada terpekik terlolong,” rungut Ketam. Belitong naik angin bila panggilannya tidak berjawab.
“Ketam!, Udang!...” Belitong memanggil. Terdengar suara Ketam dari dalam rumah menjawab.
“Abang Pari tidak ada... cari ayam kampung golek.” sahut Ketam dari dalam rumah. Belitong, Cencaru dan Tamban saling berpandangan bila terdengar Ketam menjawab panggilan.
“Cari ayam kampung golek...” bisik hati Belitong. Belitong tersenyum tetapi senyuman menjadi tawar bila sakit perut belum reda.
“Kalau ya pun bukak pintu!. Aku sakit ini...” ujar Belitong sambil merayu.
“Abang Pari pesan kalau orang jantan datang jangan buka pintu.” kata Ketam lagi.
“Aku sakit ini...” Belitong minta simpati.
“Siapa?” tanya Udang ingin tahu.
“Aku Belitong, Cencaru dan Tamban,” jawab Belitong.
“Tunggu sampai abang Pari balik ya,” kata Ketam.
“Aku sudah tidak tahan dengan sakit aku ini,” ujar Belitong lagi.
“Sakit macam mana pun duduk saja di tangga. Tunggu sampai abang Pari balik.” kata Ketam yang taat dengan pesan suaminya Dukun Pari.
“Melampau...” Belitong jengkel.
Cencaru dan Tamban segera membawa Belitong ke tangga rumah Dukun Pari. Belitong duduk di tangga sementara Cencaru dan Tamban berdiri di sisi Belitong.
“Belitong, kita tunggu atau kita balik saja?” tanya Cencaru.
“Kalau aku balik sakit perut aku bila nak sembuh!” Belitong tinggikan suaranya.
“Kalau Dukun Pari rawat pun belum tentu sakit perut kau akan sembuh.” ujar Cencaru. Tamban angguk setuju dengan pandangan Cencaru itu.
“Sembuh atau tidak aku nak tunggu,” tegas Belitong.
Cencaru dan Tamban semakin bosan kerana terpaksa menunggu kepulangan Dukun Pari. Belitong masih menahan sakit perutnya.
“Belitong aku sakit perut nak membuang,” kata Cencaru.
“Kau berdua jangan ke mana-mana, faham!” Belitong beri arahan.
Umang dan Siput di tepi pantai, mereka berdua berjalan menuju ke tempat sampan. Umang cuba memegang tangan Siput, Siput menarik tangan dengan sopan.
“Kenapa Siput, apa Siput tidak suka abang Umang?” tanya Umang.
“Bukan begitu, nanti ada orang nampak,” jawab Siput. Siput terlihat sesuatu di tempat sampan.
“Abang Umang... ada orang mati.” ujar Siput sambil menunjuk ke arah Buntal yang terdampar di tepi sampan.
“Di mana?” tanya Umang.
“Sana, di sampan...” Umang menoleh dan melihat dan melihat Buntal terdapar di tepi sampan.. Umang dan Siput segera berlari menghampiri Buntal yang belum sedar daripada pengsan.
“Ini Buntal!” Umang terkejut bila melihat Buntal pengsan.
“Apa yang terjadi pada Buntal? Buntal tidak berani turun ke laut,” Siput turut terkejut. Umang segera menarik Buntal ke tepi.
“Aku percaya ada orang yang cuba aniaya Buntal,” Umang meneka.
“Buntal,... Buntal...” Siput kejutkan Buntal.
“Buntal bangun Buntal,” Umang menampar perlahan pipi Buntal. Buntal belum sedar. Buntal mendengar degup jantung di dada Buntal. Kemudian memeriksa nadi pada pergelangan tangan Buntal.
“Buntal belum mati.” ujar Umang. Siput rasa lega dan segera ambil air laut lalu merenjis ke muka Buntal. Buntal menampar perlahan pipi Buntal. Buntal mula sedar dari pengsan.
“Abang Buntal, bangun...” Siput memanggil nama Buntal.
Buntal perlahan-lahan membuka matanya, Siput dan Umang berpandangan. Mereka gembira melihat Buntal sudah sedar dari pengsan.
“Aku di mana? Di laut atau di darat?” tanya Buntal perlahan-lahan membangunkan badannya. Umang dan Siput membantu Buntal membersihkan diri dari pasir-pasir yang melekat pada baju dan muka Buntal.
“Kau di darat.” Beritahu Umang.
“Kenapa dengan abang Buntal?” tanya Siput. Buntal tunduk mamun, dia masih teruja dengan kejadian yang menimpa dirinya.
“Cakap Buntal siapa yang aniaya kau? Biar aku kerjakan si keparat itu,” Umang yang tidak puashati dan simpati pada Buntal.
“Tak apalah Umang, yang penting aku selamat. Aku ingatkan aku sudah tenggelam dalam laut tadi,” Buntal cuba tenangkan perasaan Umang.
“Mana boleh Buntal, ini soal nyawa kau. Apa jadi kalau kau di bawa ke tengah laut dan dicampak ke dalam laut?” Umang mempersoalkan Buntal yang terlalu berlembut.
“Siput tahu angkara siapa!” Siput mencelah.
“Siapa?” tanya Umang.
“Belitong, Cencaru dan Tamban,” ujar Siput. Umang tunduk berfikir dan kemudian memandang Buntal.
“Apa betul Buntal mereka yang lakukan?” tanya Umang. Buntal tunduk perlahan dan mengangguk setuju. Umang memandang Siput.
“Biar siput adukan perkara ini pada Tok Kepah” jelas Siput. Umang dan Siput memapah Buntal pulang ke rumah.
Kerang, Kembong dan Gelama masih berjualan. Orang kampung semakin berkurangan dan ada yang tawar menawar. Kembong dan Gelama kepenatan lalu duduk berehat menyandar di bawah pokok kelapa.
“Aku penatlah Kembong,” kata Gelama sambil mengibas-ngibas kain ke badannya kerana kepanasan.
“Kau fikir kau saja yang penat, aku lagi penat. Barang yang aku bawa semuanya berat-berat belaka. Kau bawa yang ringan,” keluh Kembong.
Kerang menjeling ke arah Kembong dan Gelama yang duduk di bawah pokok kelapa. Hatinya panas melihat Kembong dan Gelama bersenang-senang.
“Amboi-amboi, bersenang-senang kau berdua ya. Apa kau ingat kau kerja dengan aku makan tanggung, kau boleh buat suka hati!” bentak Kerang lantas mengejutkan Kembong dan Gelama.
“Maaf tuan, tuan tengok sana ada orang berlari seperti kena kejar polong,” ujar Kembong mengalih perhatian Kerang. Kerang segera menoleh ke arah Belacak dan empat rakannya sedang berlari menuju ke rumah Tok Kepah.
“Kenapa kau sibuk hal orang lain, kerja sendiri tidak buat?” soal Kerang lagi. Gelama terlihat Kupang sedang berlari menuju ke arah mereka.
“Tuan, Kupang hidup lagi,” kata Gelama.
“Mana dia?” tanya Kerang.
“Sana tuan...” Gelama menunjuk ke arah Kupang yang sedang berlari.
Kerang menarik nafas panjang, marahnya reda bila melihat Kupang datang menemuinya. Sejurus kemudian Kupang sampai, dia tercungap-cungap kepenatan.
“Sampai hati kau semua tinggalkan aku,” kata Kupang kepenatan.
“Siapa yang tinggalkan kau?” Kerang membidas Kupang.
“Tapi...” Kata-kata Kupang dipintas oleh Kerang.
“Tapi apa?, kenapa dengan dahi kau yang lebam itu?” tanya Kerang lagi.
“Entah, aku tidak tau binatang apa yang hinggap, aku sedar-sedar sudah lebam,” Kupang beri penjelasan. Kembong dan Gelama hanya tersenyum.
“Aku fikir kau sudah mati, sebab itu aku tinggalkan kau. Sebagai menebus kesalahan kau, kemas semua barang-barang jualan ini.” perintah Kerang.
Kupang dengan hati yang kesal segera mengemas barang-barang dagangan. Kembong dan Gelama memandang Kupang sambil tersenyum.
Dukun Pari yang berada tidak jauh dari rumah Tok Kepah juga terlihat Belacak dan empat rakannya bergegas lari menuju ke rumah Tok Kepah. Dukun Pari cuba mengamati apa yang sedang berlaku pada Belacak dan rakannya itu.
“Lari tidak pandang belakang, macam kena sampuk hantu laut,” bisik hati Dukun Pari sambil menyandar diri pada batang pokok kelapa. Dukun Pari memerhati lagi lima nelayan itu.
“Kalau mereka tergesa-gesa ke rumah Tok Kepah, pasti ada sesuatu yang menarik,” Dukun Pari meneka. “Aku mesti siasat.” Dukun memulakan langkahnya berjalan menuju ke rumah Tok Kepah. Dukun Pari melalui lorong di celah-celah pokok kelapa. Lorong yang dilaluinya itu banyak pelepah dan buah kelapa yang bersepah-sepah. Dukun Pari tidak hiraukan lorong yang bersepah itu, niatnya ingin tahu apa yang terjadi pada Belacak dan empat rakannya dan khabar apa yang mereka ingin sampaikan pada Tok Kepah. Leka dan asyik memandang ke rumah Tok Kepah, Dukun Pari tersalah langkah. Kakinya terpijak buah kelapa kering lalu Dukun Pari terjatuh tersungkur ke tanah. Muka Dukun Pari tersembam ke pasir.Dukun Pari tenggelam punca dan segera duduk sambil mengibas-ngibas mukanya membuang pasir yang terlekat.
“Putus nyawa, minta nyawa...” Dukun Pari hampir kelemasan. Dukun Pari memandang ke kiri dan kanan lalu terpandang buah kelapa kering yang menyebabkan dirinya terjatuh. Dukun Pari ambil buah kelapa tersebut.
“Tidak padan dengan bulat, buta tidak ada mata!” sumpah Dukun Pari lalu membuang ke tepi buah kelapa kering itu. Dukun Pari berdiri sambil membetulkan pinggangnya yang terasa sakit. Dukun Pari memandang ke arah rumah Tok Kepah, dilihatnya lima nelayan sudah sampai di hadapan rumah Tok Kepah. Perlahan-lahan orang kampung mula berkumpul. Bilangannya mula bertambah sedikit demi sedikit kerana mereka semua ingin tahu apa yang sedang berlaku.
“Tok Kepah!, Tok Kepah!...” Belacak memanggil Tok Kepah. “Tok Kepah!, Tok Kepah!” suara nelayan berselang seli memanggil Tok Kepah. Belacak dan empat rakannya yang cemas itu merapati tangga rumah Tok Kepah. Di dalam rumah Tok Kepah mengamati suara yang memanggilnya. Tok Kepah yang kurang pendengaran itu tunduk berfikir. Tiba-tiba dia tersedar dan terkejut seperti ada orang sedang memanggilnya.
“Siapa pulak yang datang...” Tok Kepah segera berdiri dan mengambil baju yang tersangkut pada tiang rumah lalu menyarungkan baju ke badannya.
“Tok Kepah!” suara dari luar rumah di dengar oleh Tok Kepah. “Sabarlah kalau ya pun, aku tengah pakai baju...” kata Tok Kepah. Tok Kepah segera keluar dari dalam rumah dan menemui Belacak dan empat rakannya.
Sampai di muka pintu, Tok Kepah terkejut kerana ramai orang kampung dan Belacak dan rakanya sedang menunggunya.
“Ada apa semua ini? Kamu kelihatan cemas, kenapa?” tanya Tok Kepah sambil melangkah meneruni tangga. Dukun Pari muncul di celah-celah orang ramai yang datang mengerumuni Belacak dan rakannya. Dukun Pari tidak sabar untuk mendengar khabar yang dibawa oleh Belacak dan empat rakannya.
“Kami lihat sesuatu Tok Kepah. Tak pernah kami lihat sebelum ini.” kata salah seorang rakan Belacak yang masih kepenatan berlari dan yang lain angguk mengiyakan. Tok Kepah mula tertarik denga cerita nelayan itu. Dukun Pari mula pasang telinga.
“Apa yang kamu lihat, hantu laut?, singa laut?, pengiun?...” tanya Tok Kepah. Dukun Pari kehairanan bila mendengar perkataan Penguin. Dukun Pari segera keluar dari kerumunan orang kampung.
“Penguin, binatang apa itu?” sampuk Dukun Pari.
“Kenapa bengap sangat kamu ini, penguin itu binatang yang berenang di dalam air, seakan itik tapi macam burung.” terang Tok Kepah.
“Ooo barulah aku tahu...” Dukun Pari memahami penerangan Tok Kepah.
“Bukan hantu laut bukan singa laut bukan penguin Tok Kepah.” ujar Belacak sambil diakui rakan-rakan yang lain.
“Kalau bukan semua binatang itu apa bendanya?” soal Tok Kepah menggaru kepalanya. Orang kampung yang ada turut tertanya-tanya dan berbisik antara satu sama lain.
“Susah nak cakap tok, nak kata manusia bukan manusia. Nak kata ikan bukan ikan. Separuh manusia separuh ikan.” jelas Belacak. Dukun Pari bertambah hairan bila mendengar penjelasan Belacak itu. Tok Kepah menuju ke tangga rumahnya. Dia mula bingung dan terus duduk di anak tangga. Tok Kepah tunduk berfikir.
“Apa binatang itu ya?” bisik hati Tok Kepah. Tok Kepah memikirkan dan mencari jawapannya. Tok Kepah mengangkat kepalanya dan terpandang Dukun Pari. Tok Kepah tersenyum lalu berdiri dan segera menghampiri Dukun Pari.
“Kenapa pulak orang tua ini?” Dukun Pari musykil.
“Dukun Pari, kamu tahu apa binatang yang dimaksudkan Belacak tadi?” tanya Tok Kepah pada Dukun Pari.
“Aku pernah bermimpi tapi aku belum melihat lagi binatang itu,” jawab Dukun Pari. Dukun Pari menghampiri Belacak. Tok Kepah tidak sabar menanti jawapan.
“Selain itu bagaimana rupanya?” tanya Dukun Pari.
“Mukanya cantik bak bidadari.” Jawab Belacak.
“Hey! Apa kau pernah lihat bidadari?” tanya Dukun Pari lagi.
“Tidak pernah tapi pernah dengar orang cakap,” ujar Belacak serba salah.
“Selain itu?” Dukun Pari berjalan mengelilingi Belacak. Belacak semakin terdesak dan bingung kenapa Dukun Pari terus menerus bertanya.
“Rambutnya panjang mengurai, seperti seorang perempuan. Dia berenang, bersisik dan berekor,” jelas Belacak lagi. Dukun Pari tersenyum dan berhenti berjalan mengelilingi Belacak dan memandang tepat ke muka Belacak.
“Cukup. Aku sudah tahu apa binatang itu...” dengan bangganya Dukun Pari berkata. Kemudian Tok Kepah menghampiri Dukun Pari.
“Dukun Pari, apa binatang itu?” tanya Tok Kepah ingin tahu. Dukun Pari dengan megah dan sombongnya hanya tersenyum sinis pada orang kampung, nelayan dan Tok Kepah.
“Kau tahu apa binatang itu, kalau tahu beritahu kami semua apa binatang itu!” Tok Kepah desak Dukun Pari. Dukun Pari menghampiri Tok Kepah.
“Duyung...” kata Dukun Pari pada Tok Kepah. Belacak dan orang kampung seperti tidak percaya dan tidak memahami apa itu yang dikatakan duyung. Masing-masing berbisik antara satu sama lain.
“Binatang itu adalah duyung!” tegas Dukun Pari lagi.
“Apa?” Tok Kepah kurang jelas pendengarannya.
“Pekak orang tua ini, duyung atau ikan duyung.” Dukun Pari tinggikan suaranya.
“Duyung...” Tok Kepah geleng kepala antara percaya dengan tidak percaya. Belacak dan orang ramai sibuk memperkatakan apa itu duyung. Dukun Pari segera beredar dengan senang hati. Tok Kepah kembali ke tangga rumahya dan duduk di anak tangga. Dia masih bingung.
Kupang selesai mengemas barang dagangan, Kerang, Kembung dan Gelama masing-masing meneguk air kelapa hilangkan dahaga. Kupang terliur bila melihat Kerang, Kembong dan Gelama meneguk air kelapa.
“Alangkah bahagianya kalau aku dapat minum air kelapa,” bisik hati Kupang.
“Apa yang kamu tercegat di situ, nah! Ambil air kelapa ini.” ujar Kerang pada Kupang. Kupang teragak-agak untuk mengambil air kelapa yang dihulurkan oleh Kerang.
“Ambil, aku tahu kau dahaga...” kata Kerang lagi.
Perlahan-lahan Kupang mengambil air kelapa yang diberikan Kerang lalu diteguk sepuas-puasnya oleh Kupang. Sejurus kemudian muncul Dukun Pari menghampiri Kerang, Kupang, Kembong dan Gelama yang duduk berehat di bawah pokok kelapa.
“Apa kecoh sangat di rumah Tok Kepah itu?” tanya Kerang pada Dukun Pari.
“Duyung...” dengan selamba Dukun Pari menjawab pertanyaan Kerang.
“Binatang apa itu?” tanya Kerang yang kurang tahu apa itu duyung.
“Tidak perlu ambil tahu... buat pening kepala.” jelas Dukun Pari. Kerang berdiri dan memandang wajah Dukun Pari yang masih bangga dan sombong.
“Duyung belum pernah aku dengar, kalau dayung selalu aku nampak.” Kerang masih ragu-ragu dengan kata-kata Dukun Pari.
“Satu hari nanti kau akan tahu apa itu duyung. Buat masa ini jangan kau sibuk memikirkannya. Biar aku saja yang memikirkannya.” Jelas Dukun Pari.
“Aku berhak ingin tahu,” kata Kerang lagi. Kembong, Gelama dan Kupang berpandangan. Kerang termanggu seketika. Dukun Pari dengan senyum sinis segera beredar.
Teruskan, Anda Tidak Akan Rugi Apa-Apa..