SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 04

BAB. 4

Sekumpulan duyung jantan dan duyung betina berenang-renang di pinggir pantai Pulau Air. Duyung-duyung itu bermain-main ombak dan berkejaran antara satu sama lain. Berenang, menyelam, timbul dan tenggelam di permukaan air adalah rutin harian kehidupan duyung-duyung itu. Setelah penat berenang dan bermain duyung-duyung itu akan berehat dan bersantai di tepi pantai Pulau Air. Duyung-duyung itu duduk di atas bongkah-bongkah batu sambil menyisir rambut. Duduk berpasangan antara satu sama lain.
“Aku dengar Puteri Duyung diminta Raja Duyung mencari sisir emas, betulkah?” tanya Duyung Jantan.
“Ya, betul kasihan aku lihat Puteri Duyung, saban hari bersedih mengenangkan sisir emas yang hilang itu. Puteri Duyung tidak tahu bagaimana untuk mencari semula sisir emasnya,” jawab Duyung Betina.
“Bagaimana sisir emas itu boleh hilang?” Duyung Jantan bertanya lagi.
“Puteri Duyung kata sisir emas itu diambil manusia darat,” beritahu Duyung Betina.
“Manusia darat yang selalu tangkap ikan di sekitar laut ini,” tambah Duyung Jantan.
“Ya, manusia darat selalu ganggu kawasan kita ini,” balas Duyung Betina. Duyung Jantan turun ke dalam air dan berenang-renang tidak jauh daripada Duyung Betina. Duyung Betina menyisir rambutnya sambil memandang Duyung Jantan berenang. Duyung Jantan terlihat Putera Duyung duduk termenung di atas bongkah batu tidak jauh daripada mereka.
“Kasihan aku melihat Putera Duyung itu duduk berseorangan, dia tungga siapa,” tanya Duyung Jantan.
“Sudah tentu dia tunggu Puteri Duyung, dia berkelana membawa diri dari kampung halamannya hingga sampai di sini. Lama dia menanti jawapan, namun Puteri Duyung tidak memberi kata putus samada dia suka atau tidak,” jawab Duyung Betina.
“Kenapa jadi macam itu?” Duyung Jantan bertanya lagi.
“Selagi sisi emas tidak dijumpai, Puteri Duyung tidak boleh berkawan atau berkahwin dengan duyung lain. Tapi ada satu perkara yang Puteri Duyung tidak berkenan dengan Putera Duyung itu,” jelas Duyung Betina.
“Apa dia yang kau maksudkan?” Duyung Jantan ingin tahu.
“Kalau nak tahu Putera Duyung itu, duyung lembut,” ujar Duyung Betina.
“Apa duyung lembut!” Duyung Jantan terkejut mendengar penjelasan Duyung Betina. Duyung Betina tersenyum sambil memandang ke arah Putera Duyung yang duduk bersimpuh sambil ekornya bermain air. Kelembutan Putera Duyung begitu menyerlah, dia seperti berduka dan rawan hatinya pada Puteri Duyung tiada terbendung lagi.
“Ya tuhan kenapalah nasib aku begini... jauh sudah aku berkelana mencari buah hati idaman pengarang jantung. Sembilan gunung sembilan lautan aku meredah, onak dan duri aku lalui, jauh aku tinggalkan kampung halaman hingga aku tersadai di sini. Ayahanda aku menghalau aku kerana malu dengan tingkah laku yang ditakdir lembut begini. Bukan aku pinta jadi begini, aku lelah dan tidak berdaya lagi. Aku temui puteri idaman tapi sayangnya dia tidak ingin pada aku,” rintih Putera Duyung menyesali nasib yang menimpa dirinya yang terbuang dan tidak diterima di mana dia pergi.
Pondok kopi yang sedikit senget diperbuat daripada batang kayu hutan dan beratapkan daun rumbia itu agak lengang. Dua orang penduduk kampung duduk di kerusi panjang yang diperbuat daripada batang-batang kayu sedang menikmati minuman kopi tumbuk yang disediakan oleh tuan punya pondok kopi. Di lain sudut pondok kopi, Dukun Pari bersama Kerang sedang berbual-bual sambil minum kopi menggunakan gelas yang diperbuat daripada buluh. Tuan punya pondok kopi menggantung setandan pisang emas yang sudah masak pada tiang pondok.
“Berapa hari aku boleh dapatkan ayam golek yang cantik-cantik?” tanya Dukun Pari pada Kerang.
“Kalau ayam golek susah sedikit. Memakan masa untuk mendapatkannya,” jawab Kerang sambil meneguk air kopi dari gelas buluh.
“Berapa upahnya kalau aku nak cepat,” balas Dukun Pari yang ingin tahu. Kerang tunduk berfikir. Akalnya sedang berkira-kira bagaimana untuk mendapat keuntungan dengan menjual ayam golek.
“Fikir apa lagi. Berapa upah yang kau mahu. Aku sanggup membayarnya,” jelas Dukun Pari yang berharap pada Kerang.
“Aku cuba sepekan lagi,” Kerang menggaru dagunya.
“Kenapa lama sangat?” Dukun Pari ragu-ragu.
“Ini ayam golek hidup-hidup, bukan ayam golek mati digolek. Kau harus ingat aku terpaksa pesan ayam golek dari negeri Gajah Putih,” tegas Kerang lalu berdiri menuju ke tiang pondok kopi dan mengambil sebiji pisang emas yang tergantung itu. Kulit pisang emas dikupas tiga lalu disumbat ke dalam mulutnya. Kulit pisang dicampak ke tepi. Dukun Pari hanya menunggu dan melihat Kerang mengunyah pisang.
“Upahnya emas seuncang tapi bukan pisang emas,” ujar Kerang yang masih mengunyah pisang emas. Dukun Pari terkejut bila mendengar upah yang dimaksudkan oleh Kerang itu. Dukun Pari berdiri dan menghadap Kerang.
“Kenapa mahal sangat?” tanya Dukun Pari.
“Tentulah mahal sebab susah nak mendapatkannya,” Kerang memusingkan badannya dan membelakangkan Dukun Pari. Dia memandang ke laut.
“Takkan ayam golek dua ekor seuncang emas harganya,” ujar Dukun Pari yang masih tidak berpuashati. Kerang segera menoleh ke arah Dukun Pari. Mukanya kedut seribu. Kerang kembali duduk di kerusi panjang.
“Aku ingatkan tadi ayam golek lain sebab itulah aku minta bayarannya lebih,” jelas Kerang yang masih keliru.
“Aku nak ayam golek yang boleh dimakan!” nada suara Dukun Pari meninggi.
` “Dukun nak buat apa dengan Ayam Golek itu?” Kerang ingin tahu.
“Itu rahsia aku. Kau tidak perlu tahu,” ujar Dukun Pari.
“Dengan aku pun dukun nak berahsia,” usik Kerang.
“Bini aku yang gemuk gedempul itu yang teringin nak makan ayam golek,” jelas Dukun Pari.
“Oooo aku fikirkan jin dukun yang nak makan ayam golek itu,” Kerang duduk semula di sebelah Dukun Pari.
“Jin aku makan darah ayam dara bulu terbalik, bukan ayam golek,” kata Dukun Pari sambil meneguk air kopi.
“Dukun nak ayam jantan atau ayam betina?” tanya Kerang lagi.
“Apa pun boleh, jantan atau betina. Asalkan jangan ayam khunsa!”
Di permukaan air dan tidak kejauhan dari pantai Pulau Air, berenang-renang Putera Duyung membawa diri tanpa haluan. Rajuk hatinya tiada siapa yang tahu. Keletihan berenang-renang ke hulu ke hilir, akhirnya Putera Duyung berhenti. Dia terlihat sesuatu di hadapannya. Dilihatnya Puteri Duyung sedang menyisir rambut di atas bongkah batu. Sambil menyisir rambut Puteri Duyung menyanyi menghiburkan hatinya. Putera Duyung tersenyum gembira melihat Puteri Duyung tidak jauh darinya.
“Gerangan apakah Puteri Duyung duduk di atas batu bersendirian?” bisik hati Putera Duyung. Putera Duyung menoleh ke kiri dan kanan.
“Layakkah aku mendampingi Puteri Duyung,” hatinya semakin bertanya. Putera Duyung serba salah walaupun di sudut hatinya ingin menemui Puteri Duyung. Dia tahu Puteri Duyung tidak akan menyukainya lagi. Dia tahu Puteri Duyung tidak mahu diganggu lagi dan dia tahu Puteri Duyung pasti membencinya jika dia terus memaksa Puteri Duyung agar memilihnya menjadi teman hidupnya. Putera Duyung tunduk berfikir.
“Ahh, aku mesti jumpa Puteri Duyung, suka atau tidak aku mesti cuba ambil hatinya. Aku tidak mahu lepaskan peluang keemasan ini,” kata Putera Duyung akan tekadnya untuk menemui Puteri Duyung. Putera Duyung memulakan renangnya perlahan-lahan menuju ke tempat Puteri Duyung berada. Putera Duyung bertambah yakin dan bersemangat, renangannya semakin melaju. Dia tidak hiraukan apa yang bakal dihadapi dan diterimanya sewaktu berada di hadapan Puteri Duyung kelak. Fikirannya dipusatkan hanya satu sahaja iaitu ingin mendapatkan Puteri Duyung sebagai teman hidupnya.
“Walau seribu halangan menimpa aku tetap memburu Puteri Duyung,”
Kata-kata itulah yang menjadi perangsang kepada Putera Duyung untuk mencapai maksudnya. Semakin hampir dengan Puteri Duyung, semakin bertambah laju renang Putera Duyung. Hati dan perasaannya bergelora bagaikan pasang surut air laut.
Di atas bongkah batu Puteri Duyung leka menyisir rambut tanpa menyedari Putera Duyung berenang menghampirinya. Putera Duyung membenamkan dirinya ke dalam air bertujuan untuk membuat kejutan pada Puteri Duyung. Seketika kemudian muncul Putera Duyung di permukaan air di hadapan Puteri Duyung. Puteri Duyung terkejut dengan kehadiran Putera Duyung itu.
“Cilaka ke atas kau Putera! Muncul dengan tiba-tiba. Kau nak aku sumpah kau menjadi katak di bawah tempurung!” marah Puteri Duyung.
“Maafkan aku Puteri, jangan sumpah aku seperti itu,” pujuk Putera Duyung sambil memberi senyuman. Senyuman Putera Duyung itu tidak diendahkan oleh Puteri Duyung. Putera Duyung kecewa dengan tingkah laku Puteri Duyung. Putera Duyung perlahan-lahan menghampiri Puteri Duyung dan duduk di atas bongkah batu di sisi Puteri Duyung.
“Puteri...” pujuk Putera Duyung dengan suara yang lembut dan manja.
“Aku tidak mahu kau lakukan perkara seperti itu lagi,” ujar Puteri Duyung.
“Baiklah aku berjanji,” Putera Duyung membuat pengakuan.
“Hajat apa Putera datang menemui aku?” tanya Puteri Duyung
“Puteri, apa kurangnya aku. Tidak cantikkah aku?. Tidak menawankah aku. Aku sama juga dengan duyung-duyung jantan yang lain. Aku ada hati dan perasaan seperti kau Puteri,” kata Putera Duyung meluahkan isi hatinya.
“Bukan aku tidak sukakan kau Putera, cuma kau tu kurang...”
“Kurang apa Puteri, kurang siumankah?” celah Putera Duyung.
“Kurang sikit...” jawab Puteri Duyung.
“Sikit yang bagaimana?” tanya Putera Duyung lagi.
“Maafkan aku Putera kalau kata-kata aku ini kurang enak didengar,” jawab Puteri Duyung yang berhenti menyisir rambutnya.
“Katakanlah, aku sedia mendengarnya dan aku tidak akan marah,” ujar Putera Duyung yang ingin tahu.
“Putera, di mata aku kau kurang gagah,” Puteri Duyung berterus terang. Putera Duyung tunduk sedih bila mendengar kata-kata daripada Puteri Duyung. Hati kecilnya tersinggung bagaikan dihiris sembilu. Namun Putera Duyung cekalkan diri kerana dia sudah berjanji dengan Puteri Duyung.
“Kau harus terima hakikat itu, maafkan aku. Aku terpaksa pergi,” perlahan-lahan Puteri Duyung meninggalkan Putera Duyung dan berenang ke dalam laut. Putera Duyung kecewa sambil melihat Puteri Duyung pergi.
“Mengapalah nasib aku begini, kemana sahaja aku pergi semua tidak menyukai,” rintih Putera Duyung. Putera Duyung yang duduk termenung di atas bongkah batu tanpa membuang masa segera terjun dan berenang mengejar Puteri Duyung. Semakin menjauh Puteri Duyung berenang semakin laju Putera Duyung mengejar. Masih belum terlambat untuk Putera Duyung mencari dan mengejar Puteri Duyung. Semangat yang ada dan sisa-sisa tenaga yang tinggal Putera Duyung berenang dan terus berenang melawan dan meredah ombak. Sekali-sekala Putera Duyung menjengah ke permukaan air untuk mengambil udara dan kemudian membenamkan dirinya ke dasar laut memburu dan mengejar Puteri Duyung yang semakin hampir dengannya.
Melihat dengan jelas Puteri Duyung di hadapannya, Putera Duyung terasa senang hati dan semangat semakin memuncak untuk mencuba sekali lagi meluahkan hati dan perasaannya pada Puteri Duyung. Beberapa detik kemudian Putera Duyung berada di sisi Puteri Duyung. Putera Duyung segera memegang tangan Puteri Duyung dan menarik ke atas permukaan air. Di atas permukaan air Puteri Duyung tidak berpuashati dan cuba melepaskan tangannya. Puteri Duyung segera menolak Putera Duyung ke tepi.
“Apa lagi yang Putera inginkan, aku tidak mahu diganggu, pergi dari sini!” marah Puteri Duyung pada Putera Duyung.
“Hina sangatkah aku ini Puteri?” tanya Putera Duyung.
“Aku tidak pernah berkata begitu, kenapa Putera harus terasa,” jawab Puteri Duyung sambil menarik muka memandang ke arah lain. Marah dan geramnya pada Putera Duyung belum berakhir.
“Apa salah aku Puteri, kenapa kau buat aku macam ni. Sampai hati... Kalau aku tidak gagah sekurang-kurangnya aku ada harta di dasar laut dan gua-gua di pulau. Apa sahaja Puteri inginkan aku boleh adakan seadanya. Puteri mahu laut ambillah. Puteri mahu pulau ambillah. Puteri mahu kapal-kapal ambillah. Tetapi jangan lupa ambil sekali hati dan perasaan aku,” Putera Duyung beri penjelasan yang panjang lebar.
Puteri Duyung hanya tunduk membisu. Putera Duyung memegang bahu dan memadang tepat ke muka Puteri Duyung.
“Apakah Puteri sudah ada duyung idaman di hati?” tanya Putera Duyung ingin tahu.
“Ya, maafkan aku...” jawab ringkas Puteri Duyung. Putera Duyung melepaskan tanganya dari bahu Puteri Duyung.
Puteri Duyung memandang Putera Duyung yang tampak sedih. Timbul rasa serba salah di hati Puteri Duyung. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Perlahan-lahan Puteri Duyung berenang meninggalkan Putera Duyung yang lara itu. Seketika kemudian Puteri Duyung membenamkan dirinya ke dasar laut. Putera Duyung kecewa lagi, dia meraung sekuat hatinya. Gema raungan Putera Duyung itu hingga menyebabkan air laut berkocak dan bergetar.

Belitong bersama Cencaru dan Tamban menunggu Dukun Pari di tepi pantai berhampiran sampan-sampan nelayan. Cencaru dan Tamban duduk di atas sampan. Sementara Belitong resah berdiri kerana menunggu lama Dukun Pari yang tidak kunjung tiba. Belitong berlegar-legar sambil meninjau ke laluan menuju pantai. Belitong menoleh ke arah Cencaru dan Tamban yang leka memandang laut luas. Belitong menghampiri Cencaru dan Tamban.
“Hey! apa betul Dukun Pari jumpa kita di sini?” tanya Belitong yang meninggikan suaranya pada Cencaru dan Tamban.
“Betul tuan di sini tempatnya,” jawab Cencaru yang agak cuak.
“Kalau tunggu di sini, kenapa hingga sekarang batang hidungnya pun tidak nampak,” balas Belitong.
“Mungkin sebentar lagi datanglah Dukun Pari itu,” ujar Tamban meredakan baran Belitong. Belitong melangkah berjalan ke tebing pasir lalu duduk. Belitong memandang laut luas. Fikirannya melayang memikirkan apakah tujuan sebenar Dukun Pari ingin berjumpa dengannya. Sejurus kemudian Dukun Pari muncul, dia terlihat Belitong duduk menunggu di tebing pasir. Dukun Pari hanya terseyum dan segera mendapatkan Belitong. Cencaru dan Tamban yang terlihat Dukun Pari datang segera turun dan melompat dari atas sampan. Belitong menyedari kehadiran Dukun Pari bergegas berdiri.
“Maafkan aku terlambat,” kata Dukun Pari.
“Perkara penting apa yang Dukun nak katakan?” tanya Belitong ingin tahu.
“Begini...” Dukun Pari segera menarik telinga Belitong. Belitong menahan sakit telinganya ditarik Dukun Pari. Dukun Pari membisik sesuatu ke telinga Belitong tetapi menolak ke tepi kerana terlihat sesuatu pada telinga Belitong.
“Eeeii, berkepal-kepal tahi telinga!” kata Dukun Pari yang geli melihat telinga Belitong.
“Aku belum sempat korek telinga aku,” ujar Belitong tersipu-sipu.
“Pengotor!” sindir Dukun Pari.
“Betul dukun, dia memang pengotor,” tambah Cencaru.
“Diam kau, berani kau kata aku pengotor!” marah Belitong pada Cencaru. Belitong hilang sabar lalu menampar muka Cencaru.
Cencaru menahan sakit, Tamban tersenyum gelihati.
“Sudah, aku datang sini bukan nak tahu berapa banyak tahi telinga. Belitong, sebenarnya aku mahu menangkap duyung,” ujar Dukun Pari bersungguh-sungguh.
“Dukun nak tangkap duyung?” Belitong ragu-ragu mendengar kata-kata Dukun Pari. Dukun Pari tersenyum dan angguk setuju.
“Ya aku mahu tangkap duyung hidup-hidup,” jelas Dukun Pari lagi.
“Dukun nak buat apa dengan duyung itu?” tanya Belitong.
“Banyak gunanya, kalau kau setuju bantu aku menangkap duyung, faedahnya kau dapat juga,” Dukun Pari menepuk bahu Belitong.
Belitong seolah-olah memahami apa yang diperkatakan oleh Dukun Pari.
“Apa benarkah begitu dukun?” Belitong inginkan kepastian.
“Ya, apa yang selama ini kau inginkan sudah tentu kau akan gembira,” Dukun Pari meyakinkan Belitong.
“Tapi bagaimana caranya, bukan mudah untuk menangkap duyung-duyung tu,” ujar Belitong yang masih kabur fikirannya.
“Jangan bimbang, ada seribu cara untuk menangkapnya. Bagaimana setuju?” kata Dukun Pari.
“Kalau begitu aku setuju,” Belitong memberi persetujuan. Cencaru dan Tamban berpandangan yang kurang setuju dengan cadangan Dukun Pari itu. Dukun Pari berbisik dengan gaya bersungguh-sungguh dan tangannya menunjuk isyarat seperti menangkap sesuatu. Belitong puashati dengan cadangan dan padangan Dukun Pari. Dukun Pari ketawa bangga dan kemudian diikuti oleh Belitong, Cencaru dan Tamban. Ketawa berdekah-dekah mereka itu melenyapkan deruan ombak menghempas pantai.


Pilihan Tepat Jika Anda Memilih Bab Seterusnya...

No comments: