Sinopsis
Sisir Emas Puteri Duyung
Alkisah cerita berlaku zaman dahulu kala, tidak diketahui tarikh dan zamannya. Cerita lisan dan penglipur lara entah betul entah tidak yang perturunkan daripada mulut datuk nenek moyang kita. Katanya cerita ini berlaku di pesisir pantai sebelum orang kenal nama Tanah Melayu lagi. Letaknya di satu teluk berhadapan dengan pulau-pulau yang cantik pantainya. Penduduknya bermastautin di pesisir pantai yang berteluk di mana pekerjaan mereka sebagai nelayan.
Disebut nama tempat itu Teluk Angin Pasang, tiga pulau pula dipanggil Pulau Air, Pulau Mata dan Pulau Duyung. Di salah satu pulau itulah, penduduk Teluk Angin Pasang percaya wujudnya mahkluk duyung separuh ikan separuh manusia.
Salah seorang penduduk bernama Umang pernah terjumpa secara bersemuka dengan Puteri Duyung. Digambarkan duyung tersebut sebagai puteri yang cantik dengan rambut terurai panjang serta berkor seperti ikan.
Malah bapa Umang iaitu Teritip menyimpan sisir emas milik Puteri Duyung. Sejarah di mana Teritip memiliki sisir emas sewaktu dia melihat Puteri Duyung sedang menyisir rambut di atas batu. Terkejut dengan kehadiran Teritip, Puteri Duyung terjun ke laut dan terus menghilangkan diri. Hari-hari Puteri Duyung menantikan kehadiran Teritip agar memulangkan semula sisir emas miliknya, namun hingga Umang dewasa sisir emas itu tidak dipulangkan.
Umang seorang pemuda yang rajin turun ke laut mencari ikan. Umang mempunyai kekasih bernama Siput. Siput adalah anak Tok Kepah dan Mak Lala. Tok Kepah penghulu kampung Teluk Angin Pasang. Siput sentiasa di samping Umang, ke mana saja Umang pergi sudah pasti Siput akan menemaninya. Umang mempunyai sahabat baik iaitu Buntal. Buntallah akan menjaga Siput jika Umang turun ke laut. Buntal tidak pernah turun laut kerana dia mabuk laut.
Dalam diam Belitong ada menaruh hati terhadap Siput. Siput sedari awal lagi tidak menyukai Belitong kerana Belitong seorang yang bengis dan jahat. Belitong sedaya upaya memikat Siput.
Dukun Pari pula mempunyai agenda sendiri untuk menangkap duyung. Dukun Pari percaya air mata duyung boleh menyembuhkan pelbagai penyakit seperti buta, sawan dan gatal kulit.Dukun Pari pula bersubahat dengan Belitong untuk mendapatkan air mata duyung. Dukun Pari berjanji akan mengubati mata kiri Belitong sekiranya Belitong berjaya mendapatkan air mata duyung itu.
Satu malam Umang bermimpi didatangi Puteri Duyung, dalam mimpinya Puteri Duyung meminta agar Umang memulangkan semula sisir emas kepada Raja Duyung iaitu ayahanda kepada Puteri Duyung. Bermula daripada saat itu kehidupan Umang tidak menentu, Umang sering meracau bila waktu malam. Siput yang dahulu dicintai kini dibencinya. Siput bertambah hairan bila melihat Umang sentiasa turun ke laut tetapi bukan mencari ikan.
Satu hari Umang tidak pulang ke darat, dia dikatakan hilang di laut. Siput sedih hati kerana Umang dikatakan lemas di laut. Tok Kepah minta orang-oranya mencari Umang. Namun pencarian Umang tidak berhasil. Teritip kecewa Umang gagal di kesan. Sebenarnya Umang tidak mati, dia masih hidup. Umang telah pergi ke Pulau Duyung menemui Puteri Duyung seperti di dalam mimpinya. Umang tidak dapat menyerahkan sisir emas milik Puteri Duyung kerana sisir emas tersebut berada di tangan bapanya Teritip.
Puteri Duyung sedari awal memang mencintai Umang. Cinta berputik apabila Puteri Duyung sentiasa memerhatikan Umang ketika mencari ikan di laut. Keadaan ini tidak disedari oleh Umang. Dalam masa yang sama, Putera Duyung tidak menyukai kehadiran Umang kerana Puteri Duyung adalah kekasihnya. Puteri Duyung sendiri tidak menyukai Putera Duyung kerana Putera Duyung lembut sifatnya.
Raja Duyung serba salah bila melihat Puteri Duyung jatuh hati dengan Umang. Puteri Duyung teringin menjadi manusia seperti Umang. Puteri Duyung berhasrat jika dapat mengahwini Umang sudah pasti sumpahannya menjadi duyung akan terhapus. Raja Duyung menolak sama sekali cadangan Puteri Duyung itu. Umang mengembalikan semula sisir emas milik Puteri Duyung. Raja Duyung dan Puteri Duyung terhutang budi pada Umang.
Sewaktu ketiadaan Umang, Siput menjadi tidak tentu arah kerana Belitong telah meminta Dukun Pari menjampi Siput agar sayang dan cintakan Belitong. Bila keadaan Siput tidak menentu Belitong ambil kesempatan memukau dan menculik Siput.
Untuk itu Tok Kepah meminta orang kampung mencari Siput dan menangkap penculiknya. Barang siapa yang berjaya membawa pulang Siput dan menangkap penculiknya orang itu akan dikahwinkan dengan Siput. Buntal berusaha mencari Siput.
Puteri Duyung yang hampa meminta Umang membawa dia ke darat untuk menunaikan hajatnya. Raja Duyung arahkan Putera Duyung mencari dan membawa pulang Puteri Duyung. Terjadilah pergaduhan antara Putera Duyung dengan Umang. Dalam pergaduhan itu Umang dan Putera Duyung kelemasan. Kedua-duanya terdampar di tepi pantai. Dukun Pari menemui Putera Duyung yang terdampar itu dan membawa pulang lalu Putera Duyung dikurung di sebuah kolam. Umang pula ditemui oleh orang kampung dan diserahkan kepada Teritip.
Siput pula disembunyikan di sebuah gua jauh dari kampung Teluk Angin Pasang. Siput disumbat ke dalam kurungan. Secara tidak sengaja Buntal terdengar perbualan antara Belitong dan rakan-rakannya bahawa kehilangan Siput itu adalah kerja mereka. Buntal mendapat tahu di mana Siput disembunyikan dan pergi menyelamatkan Siput.
Dukun Pari gembira bila hajatnya untuk mendapatkan duyung telah tercapai. Dukun Pari paksa Putera Duyung menangis untuk mendapatkan air mata. Hajat Dukun Pari itu gagal kerana air mata duyung hanya boleh diperolehi daripada duyung betina sahaja. Dukun Pari naik angin bila hajatnya tidak tercapai. Lalu Putera Duyung dipamerkan kepada orang kampung. Orang kampung menjadi pelik kerana pertama kali melihat duyung. Tok Kepah mahu Putera Duyung dilepaskan, Dukun Pari enggan menerima cadangan Tok Kepah itu kerana dia bersusah payah mendapatkan duyung.
Umang mendapat tahu Putera Duyung dalam bahaya. Umang kembali semula ke Pulau Duyung untuk menyampaikan berita itu kepada Raja Duyung. Raja Duyung meminta Umang selamatkan Putera Duyung dan berjanji akan memberi izin Puteri Duyung berkahwin dengannya. Umang dengan segera menyelamatkan Putera Duyung yang hampir kelemasan kerana tidak mendapat air.
Dukun Pari dihalau dari kampung Teluk Angin Pasang. Sementara itu Belitong dan rakan-rakannya dihukum buang ke sebuah pulau yang tidak berpenghuni. Puteri Duyung akhirnya berkahwin dengan Umang. Buntal pula berkahwin dengan Siput. Sumpahan duyung terhapus, Puteri Duyung menjadi manusia seperti biasa. Putera Duyung merantau membawa diri mencari pengganti. Puteri Duyung bersama Umang hidup bahagia, begitu juga Siput dengan Buntal.

No comments:
Post a Comment