BAB 19.
Tok Lara meneguk air kemudian meletakkannya ke tepi, dia keletihan kerana terlalu lama bercerita kisah Sisir Emas Puteri Duyung bersama anak-anak kecil.
“Anak-anak kamu tahu apa yang terjadi pada Puteri Duyung?” Tok Lara bertanya pada anak-anak yang masih setia menunggu.
“Manalah kami tahu Tok Lara, ceritalah...” jawab salah seorang kanak-kanak itu.
“Setelah Puteri meninggalkan Pulau Duyung dan tiba di tepi pantai kampung Teluk Angin Pasang, satu kejadian aneh berlaku... nak tahu apa yang terjadi pada Puteri Duyung itu?” tanya Tok Lara.
“Apa kejadian aneh itu Tok Lara?” kanak-kanak tidak sabar mendengarnya.
“Apabila Puteri Duyung turun saja dari sampan, tiba-tiba dirinya bertukar menjadi manusia biasa. Ekor Puteri Duyung bertukar menjadi kaki, tiada bersisik dan Puteri Duyung boleh berjalan seperti manusia biasa...Puteri Duyung gembira sekali kerana sumpahan duyung sudah tiada lagi. Kepulangan Umang bersama Puteri Duyung disambut baik penduduk kampung Teluk Angin Pasang. Mereka memuji kecantikan Puteri Duyung” jelas Tok Lara.
“Tok Lara, bagaimana dengan Siput dengan Buntal?” tanya kanak-kanak itu lagi.
“Siput dan Buntal akhirnya menjadi suami isteri. Satu majlis perkahwinan meraikan Umang, Puteri Duyung, Buntal dan Siput telah diadakan gilang gemilangan selama tujuh hari tujuh malam majlis itu berlangsung. Mereka hidup bahagia aman dan damai. Umang menjadi orang kaya di kampung itu dan memiliki rumah yang besar, cantik seperti sebuah istana.” Cerita Tok Lara lagi. Kanak-kanak yang mendengar cerita itu tersenyum gembira.
“Ada satu lagi yang anak-anak perlu tahu, apa sudah jadi dengan Belitong? Ya, orang jahat selalu rugi, orang yang melakukan kejahatan pasti menerima hukuman. Begitulah dengan halnya Belitong, Tamban dan Cencaru. Tok Kepah menjatuhkan hukuman buang ke Pulau Duri-Duri kepada mereka bertiga. Pulau Duri-Duri itu tidak ada penghuni, hanya dipenuhi dengan tumbuhan berduri berbuah pahit, binatang berbisa seperti ular, lipan, kala jengking, lebah dan tebuan. Pulau Duri-Duri jauh di tengah laut lepas. Mereka tidak dibekalkan sampan kerana mereka akan melarikan diri. Demikianlah anak-anak cerita Sisir Emas Puteri Duyung...” Tok Lara mengakhiri ceritanya. Kanak-kanak memberikan tepukan kepada Tok Kepah.
“Terima kasih Tok Lara...” kanak-kanak itu kemudiannya beransur-ansur meninggalkan Tok Lara. Tok Lara tersenyum puas.
TAMAT

No comments:
Post a Comment