BAB 17.
Setelah mengharungi ombak laut yang ganas, kepayahan dan keletihan akhirnya Umang sampai ke Pulau Duyung. Kehadiran Umang ke Pulau Duyung disambut oleh Puteri Duyung. Puteri Duyung gembira dengan kehadiran Umang itu.
“Nampaknya kau seperti membawa berita buruk...” kata Puteri Duyung. Umang segera melompat dari sampan dan menarik tangan Puteri Duyung ke tepi pantai.
“Ya, benar kata Puteri itu. Putera Duyung masih hidup...”
“Di mana Putera Duyung?” Puteri Duyung ingin tahu.
“Putera Duyung ada di kampung Teluk Angin Pasang, dia ditangkap dan dikurung oleh Dukun Pari,” jelas Umang.
“Kenapa Umang tidak selamat Putera Duyung itu,” ujar Puteri Duyung.
“Dia musuh aku, kau sudah lupa bagaimana dia menghalang kita dan aku hampir maut!” kata Umang.
“Kalau dia musuh kau bermakna kau memusuhi aku, dia duyung seperti aku. Seharusnya kau selamatkan dia...” Puteri Duyung menjauhkan diri dari Umang. Umang tunduk berfikir. Umang perlahan-lahan merapati Puteri Duyung.
“Maafkan aku Puteri, aku terlalu bingung... kedatangan aku di sini untuk menyampaikan khabar kepada tuanku akan hal Putera Duyung itu. Sebenarnya aku kasihan melihat Putera Duyung dikurung dan diseksa Dukun Pari yang tidak berhati perut itu. Dalam keadaan sekarang aku tidak dapat membantu Putera Duyung...” jelas Umang.
“Marilah kita segera khabarkan perkara ini kepada Raja Duyung... barangkali tuanku ada buah fikiran untuk menyelamatkan Putera Duyung,” kata Puteri Duyung.
“Baiklah...” Umang dan Puteri Duyung berenang menunju ke istana dan seterusnya ke singgahsana Raja Duyung.
Raja Duyung yang duduk di singgahsana menunggu kehadiran Umang dan Puteri Duyung. Seawal lagi Raja Duyung sudah mengetahui kehadiran Umang ke Pulau Duyung.
“Kenapa manusia darat itu datang lagi, untuk apa?. Barangkali ingin membawa lari anak aku lagi,” bisik hati Raja Duyung sambil berfikir panjang. Sedang Raja Duyung asyik berfikir, Umang dan Puteri Duyung datang mengadap di singgahsana. Puteri Duyung dan Umang tunduk hormat kepada Raja Duyung. Raja Duyung tersedar lalu membetulkan dirinya.
“Umang, kamu datang lagi ke sini nak bawa lari anakanda beta!” tegur Raja Duyung. Puteri Duyung dan Umang saling berpandangan.
“Tidak ayahanda, Umang...” kata-kata Puteri Duyung terhenti.
“Anakanda diam!” celah Raja Duyung sambil meninggikan suara.
“Ampunkan patik tuanku, patik datang ke mari bukan untuk membawa lari anakanda tuanku. Patik datang membawa khabar bahawa Putera Duyung ditangkap dan diculik Dukun Pari...” kata Umang.
“Siapa Dukun Pari itu?” Raja Duyung ingin tahu.
“Manusia darat di kampung halaman patik, dia punya ilmu kedukunan...” kata-kata Umang terhenti.
“Cukup, beta sudah faham...” celah Raja Duyung lagi.
“Ayahanda Putera Duyung mesti diselamatkan,” rayu Puteri Duyung. Raja Duyung termanggu seketika kemudian memandang ke arah Umang.
“Umang, beta mahu kamu selamatkan Putera Duyung. Beta tidak mahu Putera Duyung mati begitu sahaja. Jika kamu dapat menyelamatkan Putera Duyung, beta berjanji beta izinkan kamu berkahwin dengan puteri beta,” kata Raja Duyung.
Umang dan Puteri Duyung tersenyum gembira bila mendengar kata-kata Raja Duyung itu. Raja Duyung turut tersenyum bangga.
“Jalankan perintah beta dulu...beta mahu Putera Duyung kembali dalam keadaan selamat,” pinta Raja Duyung.
“Mohon patik tuanku, patik akan selamatkan Putera Duyung,” Umang tunduk hormat dan perlahan-lahan beredar meninggalkan singgahsana sambil diiringi oleh Puteri Duyung.
Dukun Pari berjalan menuju ke kolam. Putera Duyung ketakutan bila melihat Dukun Pari datang.
“Habislah aku dukun gila itu datang... apa aku nak buat?” Putera Duyung teringatkan mangkuk tempurung yang belum berisi dengan air mata.
“Air mata?” Putera Duyung mendapat buah fikiran lalu mengisi mangkuk tempurung itu dengan air kolam. Sejurus kemudian Dukun Pari sampai di kolam, dia tersenyum melihat mangkuk tempurung yang dipegang Putera Duyung itu mengandungi air mata.
“Berikan mangkuk tempurung itu kepada aku,” pinta Dukun Pari. Putera Duyung terketar-ketar menghulurkan mangkuk tempurung itu kepada Dukun Pari. Dukun Pari mengambil mangkuk tempurung itu dengan gembira sekali.
“Bagus, kalau air mata ini benar-benar keluar dari mata kau aku akan lepaskan kau. Tapi ingat kalau air ini air kolam kau akan aku bunuh,” Dukun Pari memberi amaran. Putera Duyung menjadi serba salah. Dukun Pari kemudiannya menjampi air di dalam mangkuk tempurung itu. Sesudah menjampi, air di dalam mangkuk tempurung itu berkocak kuat. Kocakan itu petanda air di dalam mangkuk bukan air mata duyung. Melihat akan keadaan itu Dukun Pari naik angin lalu mencampak mangkuk tempurung itu ke tepi.
“Bangsat!, kau tipu aku... air kolam bukan air mata kau!” Dukun Pari memandang Putera Duyung dengan marah sekali. Putera Duyung tergamam lalu memandang ke arah lain.
“Air mata kau memang berharga, aku akan buat kau menangis... aku tidak puashati selagi aku belum dapat air mata kau wahai duyung,” kata Dukun Pari.
Keesokan harinya, kampung Teluk Angin Pasang menjadi kecoh kerana Dukun Pari telah mempamerkan Putera Duyung kepada penduduk kampung. Gawat kerana pertama kali penduduk kampung melihat duyung di hadapan mata mereka. Mereka berkerumun mengelilingi Putera Duyung yang diikat di kawasan lapang. Mereka begitu taksub dan kehairanan melihat susuk tubuh duyung. Putera Duyung semakin lemah kerana tidak mendapat air. Kulit dan sisiknya kering terkena panahan panas matahari.
“Sungguh ajaib, binatang apakah ini, separuh manusia separuh ikan?” kata salah seorang penduduk kampung yang datang melihat.
“Barangkali binatang sumpahan....” jawab penduduk kampung yang berada di hadapan sekali.
“Lihat dan ketahuilah, inilah duyung yang kamu semua nantikan. Kamu semua harus berterima kasih kepada aku. Aku yang menangkap duyung ini. Jangan takut duyung ini tidak berbahaya... dia binatang yang lemah jika di darat. Kamu semua lihat sendiri dia perlukan air untuk terus hidup...” kata Dukun Pari yang bangga dengan ketaksuban penduduk kampung. Orang kampung masih terpaku melihat Putera Duyung yang tercungap-cungap inginkan air.
Dalam suasana riuh rendah itu, muncul Tok Kepah dan Mak Lala yang ingin melihat apakah duyung itu wujud.
“Mana duyung itu, biar aku lihat!” tegas Tok Kepah yang berjalan di celah-celah orang kampung. Dukun Pari segera mendapatkan Tok Kepah dan Mak Lala.
“Bertuah sungguh Tok Kepah hari ini, inilah duyung yang kita heboh selama ini,” kata Dukun Pari sambil menunjukkan Putera Duyung kepada Tok Kepah. Tok Kepah dan Mak Lala terkejut besar melihat akan duyung itu.
“Macam ini rupanya duyung, ganjil sungguh susuk tubuhnya...” Tok Kepah kehairanan. Dukun Pari tersenyum bangga.
“Dukun kamukah yang menangkap duyung ini?” tanya Tok Kepah.
“Sudah tentu Tok Kepah, bukankah aku sudah katakan dulu aku akan buktikan bahawa duyung itu memang benar wujud. Kenapa kita tidak tahu wujudnya duyung ini? Sebab duyung takut kepada manusia, sebab duyung mahkluk yang aneh lihat saja tubuh badannya nak kata manusia bukan, nak kata ikan pun bukan. Jadi mahkluk jenis apakah duyung ini? Ya, mahkluk duyung ini malu dengan dirinya sendiri. Dunia duyung di laut, di laut juga duyung berkuasa. Tapi duyung lemah dan takut pada daratan. Lihatlah sendiri...” Dukun Pari mereka-reka cerita. Orang kampung yang tidak tahu hujung pangkal mengangguk setuju.
“Aku tidak setuju dengan pendapat kau itu, Kita tahu duyung tidak takut pada manusia tetapi duyung takut kerana manusia seperti kita terlalu ganas dan jahat. Kau juga jahat dukun!. Kau seksa duyung seperti ini, di mana sifat kemanusiaan kau?” tegas Tok Kepah lalu mendekati Putera Duyung. Tok Kepah simpati melihat Putera Duyung yang tidak bermaya itu. Tok Kepah memerhatikan Putera Duyung dari kepala hinggalah ke ekor.
“Tok Kepah janganlah terlalu sedih. Biarkan duyung itu mati, duyung ini sangat berharga untuk aku...” ujar Dukun Pari dengan sombongnya.
“Ini duyung jantan!” kata Tok Kepah. Semua yang mendengar terkejut.
“Apa, duyung jantan! Mana Tok Kepah tahu?” soal Dukun Pari.
“Sebelum kau lahir aku sudah masak dengan asam garam hidup, kau janganlah terlalu angkuh dengan ilmu kedukunan kau itu. Kau sendiri tidak tahu menilai yang mana duyung jantan dengan duyung betina...” sanggah Tok Kepah.
“Patutlah duyung itu tidak boleh keluarkan air mata...” bisik hati Dukun Pari.
“Aku mahu kau lepaskan duyung itu,” perintah Tok Kepah.
“Aku tidak akan lepaskan duyung itu! Susah payah aku menangkapnya senang-senang lepaskan. Mana boleh!” tegas Dukun Pari.
“Dukun lepaskanlah duyung itu, kasihan Mak Lala tengok. Dia pun mahu hidup,” rayu Mak Lala. Dukun Pari mendekati Mak Lala dengan muka yang sombong.
“Aku tidak akan lepaskan duyung itu, itu hak aku!” Dukun Pari meninggikan suaranya. Mak Lala kecewa dengan sikap Dukun Pari lalu menjauhkan diri.
Umang kembali semula ke kampung Teluk Angin Pasang, sampan yang didayungnya dari Pulau Duyung mendarat di tepi pantai. Tanpa menghiraukan penat lelah, Umang melompat dari sampan dan terus berlari menuju ke kolam untuk menyelamatkan Putera Duyung. Umang berlari dan terus berlari di sepanjang pantai. Jarak yang agak jauh itu membuatkan Umang kehilangan tenaga. Dalam larian itu Umang jatuh tersungkur, lama juga untuk dia bangun menyambung lariannya. Digagahinya untuk sampai ke kolam. Dia harus menyelamatkan Putera Duyung atas titah perintah Raja Duyung. Amanah Raja Duyung harus ditunaikan dan digalas. Sampai sahaja di kolam Umang terkejut bila melihat Putera Duyung sudah tiada.
“Tidak mungkin Putera Duyung dapat melepaskan diri,” kata Umang. Umang meninjau di sekitar kolam tetapi tiada menunjukkan tanda-tanda Putera Duyung ada di situ. Umang kecewa dan putus harapan bila mengetahui Putera Duyung hilang.
“Aku yakin Putera Duyung masih ada di kampung ini. Tidak mungkin Dukun Pari melepaskan Putera Duyung begitu saja kerana niat jahatnya belum terlaksana...” Umang meninggalkan kolam dan berlari menuju ke perkampungan Teluk Angin Pasang.
“Kamu buka ikatan duyung itu...” Tok Kepah mengarahkan salah seorang penduduk kampung. Penduduk kampung itu ingin pergi membuka ikatan tetapi dihalang oleh Dukun Pari.
“Jangan sesekali sentuh duyung itu! Barang siapa yang berani sentuh buruk padahnya!” amaran Dukun Pari kepada penduduk kampung. Tok Kepah tidak puashati lalu dia sendiri pergi membuka ikatan pada duyung itu. Dukun Pari serba salah untuk menghalang niat Tok Kepah membuka ikatan. Tok Kepah terus membuka ikatan pada tangan Putera Duyung. Perasaan serba salah dibuang ke tepi, Dukun Pari menarik bahu Tok Kepah dan menghalang perbuatan Tok Kepah.
“Tok Kepah sudah melampau! Jangan naikkan darahku!” Dukun Pari menolak Tok Kepah ke tepi.
“Apa dosa duyung ini hingga kau sanggup seksa dia!” Dukun Pari mempertahankan haknya. Sedang Tok Kepah dan Dukun Pari bertelagah pendapat, muncul Umang di celah-celah penduduk kampung. Umang segera meluru ke arah Putera Duyung dan membuka ikatan pada tangan dan ekor Putera Duyung.
“Putera Duyung! Bangun Putera Duyung!...” Umang menepuk pipi Putera Duyung. Putera Duyung membuka matanya, dia masih lemah. Dukun Pari terlihat Umang membantu Putera Duyung, tanpa membuang masa Dukun Pari meluru ke arah Umang dan terus menerjah Umang. Umang tergolek ke tepi. Terjadilah pergelutan antara Umang dan Dukun Pari. Pergelutan dan pergaduhan itu tidak ada yang berani campur tangan atau membantu meleraikan kedua-duanya. Tok Kepah dan penduduk kampung hanya melihat dan memerhatikan sahaja seolah-olah seperti ayam sabung sedang bertarung. Ada penduduk kampung yang bersorak dan berteriak memanaskan lagi pergelutan antara Umang dan Dukun Pari. Gegak gempita dan suasana hingar bingar berterusan.
Melihat keadaan gema gamat itu, Tok Kepah meluru ke arah pergelutan, Tok Kepah cuba meleraikan Umang dan Dukun Pari tetapi tidak berjaya.
“Sudah! Berhenti!” jerit Tok Kepah. Namun jeritan Tok Kepah itu tidak diendahkan oleh Umang dan Dukun Pari.
“Kamu berempat leraikan mereka, cepat!” perintah Tok Kepah kepada penduduk kampung. Mendengar arahan Tok Kepah penduduk kampung segera meleraikan Umang dengan Dukun Pari. Akhirnya Dukun Pari dan Umang dapat dileraikan. Gaduh dan gelut mereka terhenti.
“Ikat Dukun Pari pada tiang itu!” arah Tok Kepah pada penduduk kampung. Penduduk kampung membawa Dukun Pari ke tiang dan mengikat tangan dan kakinya.
“Lepaskan aku!” jerit Dukun Pari. Penduduk kampung diam membisu. Tidak ada daripada mereka yang mahu membantu Dukun Pari dan membiarkannya terikat pada tiang. Tok Kepah menghampiri Dukun Pari.
“Di atas kejahatan yang kau lakukan terhadap duyung itu, aku hukum dan perintahkan kau keluar dari kampung ini. Jika kau kembali ke kampung ini lagi aku akan pancung kepala kau!” Tok Kepah beri arahan dan amaran pada Dukun Pari. Dukun Pari tunduk menyesal dan rasa bersalah. Umang segera mendapatkan Putera Duyung.
“Tolong bawa Putera Duyung ke tepi pantai, dia perlukan air. Cepat sebelum terlambat!” pinta Umang pada penduduk kampung.
“Tunggu apa lagi, cepat tolong Umang!” perintah Tok Kepah kepada penduduk kampung. Umang dan beberapa penduduk kampung segera mengangkat dan membawa Putera Duyung ke tepi pantai.
Di tepi pantai Putera Duyung diletakkan perlahan-lahan ke dalam air. Umang mengejutkan Putera Duyung, tidak ada tanda-tanda Putera Duyung akan sedar. Mereka menganggap Putera Duyung sudah mati.
“Putera, bangun putera. Aku yakin kau mampu untuk terus hidup... bangunlah... kembalilah ke dunia kau...” Umang mengharapkan satu keajaiban terjadi pada Putera Duyung. Tok Kepah, Mak Lala dan penduduk kampung simpati melihat keadaan Putera Duyung itu. Lama juga Umang dan penduduk kampung menunggu Putera Duyung sedar. Harapan mereka melihat Putera Duyung terus hidup tidak dapat diduga. Sedang Umang tunduk sedih mengenangkan nasib Putera Duyung terdengar penduduk kampung bersuara;
“Dia masih hidup!” Putera Duyung membuka matanya perlahan-lahan. Ekor bergerak-gerak. Umang gembira melihat perubahan yang berlaku pada Putera Duyung. Penduduk kampung, Tok Kepah dan Mak Lala turut gembira melihat Putera Duyung masih hidup lagi.
“Syukurlah dia masih hidup...” kata Tok Kepah.
“Putera... aku gembira kau masih hidup,”
“Terima kasih Umang, kau telah menyelamatkan nyawa aku...” kata Putera Duyung yang semakin pulih itu.
“Lihat duyung itu bercakap seperti kita...” kata Mak Lala pada Tok Kepah. Penduduk kampung terkejut bila mengetahui Putera Duyung boleh bercakap seperti mereka juga.
“Umang, aku pergi dulu... jumpa lagi,” perlahan-lahan Putera Duyung berenang meninggalkan pantai menuju ke laut luas. Penduduk kampung terpaku melihat Putera Duyung berenang. Melihat sesuatu yang aneh berlaku hari itu dalam hidup mereka.

No comments:
Post a Comment