SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 14

BAB 14.
Di tepi pantai, Umang menarik sampan bersiap-siap untuk pulang ke kampung Teluk Angin Pasang. Sebuah peti yang sederhana besar berisi emas, ganjaran yang diterima Umang dari Raja Duyung kerana memulangkan sisir emas terletak di perut sampan. Siput terlalu sedih kerana Umang akan meninggalkannya. Entah bila akan berjumpa lagi.

“Aku terpaksa pulang Puteri, ayahanda Puteri tidak merestui kehendak kita,” kata Umang sambil membetulkan tali sampannya. Puteri Duyung perlahan-lahan merapatkan dirinya pada Umang.

“Aku rayu, bawalah aku bersama Umang. Aku sanggup menanggung apa saja yang datang,” kata Puteri Duyung merayu.

“Tidak boleh Puteri, aku tidak mahu Tuanku Raja Duyung murka nanti. Aku yang menanggung kesusahannya,” Umang melompat ke dalam sampan. Puteri Duyung tunduk keharuan. Air matanya berjuraian. Umang memandang Puteri Duyung penuh simpati. Dia serba salah untuk meninggalkan Puteri Duyung. Umang duduk termanggu, berfikir dan melepaskan nafas sesaknya.

“Aku merayu Umang, bawalah aku sekali... aku tidak mahu kehilangan kau...” pujuk Puteri Duyung yang semakin meresahkan hati dan perasaan Umang. Sedang Umang dan Puteri Duyung berbicara, datang Putera Duyung lalu terlihat Umang dan Puteri Duyung.
“Apa yang manusia darat dan Puteri Duyung berdua-duaan di situ?” Putera Duyung perlahan-lahan merapatkan dirinya di celah-celah batu. Putera Duyung memasang telinga mendengar akan perbualan Puteri Duyung dan Umang.

“Aku tidak mahu Puteri derhaka pada ayahanda Puteri...” Umang turun semula ke dalam air dan menyentuh pipi Puteri Duyung. Puteri Duyung memegang tangan Umang.
“Bawalah aku pergi dari sini, aku tidak sanggup tinggal di sini lagi. Biarlah aku derhaka, aku mahu sumpahan duyung itu terhapus” Puteri Duyung. Umang menyapu air mata Puteri Duyung. Sayang dan kasihan Umang pada Puteri Duyung mematahkan hsranya untuk kembali ke Kampung Angin Pasang.

“Baiklah aku akan bawa Puteri pergi dari sini,” Umang memberi kata putus.
“Sungguhkah Umang, kau akan bawa aku pergi dari sini?” Puteri Duyung gembira mendengar kata-kata Umang itu.

“Ya, tapi aku khuatir ayahanda Puteri akan membenci seluruh manusia darat kalau tindakan aku membawa Puteri pergi,” ujar Umang yang gusar.
“Janganlah kau bimbang perkara itu, Puteri yakin ayahanda Raja Duyung tidak dapat berbuat apa-apa kalau Puteri tetap dengan keputusan,” Puteri meyakinkan Umang.

“Tapi kita...”
“Tapi apa Umang?”
“Kita tidak boleh pergi waktu siang begini, menjelang malam baru kita pergi,”
“Tapi kenapa?” Puteri Duyung ingin tahu.
“Aku tidak ada duyung-duyung lain tahu perbuatan kita melarikan diri,” ujar Umang. Puteri Duyung memahami maksud Umang.

“Aku mesti beritahu perkara ini pada Raja Duyung...” Putera Duyung yang mendengar perbualan antara Umang dan Puteri Duyung itu segera berenang menemui Raja Duyung.
Menjelang senja, Putera Duyung bergegas berenang ke singgahsana Raja Duyung untuk menyampaikan berita Puteri Duyung ingin melarikan diri mengikut Umang. Raja Duyung yang duduk bersemayam di atas singgahsana terjaga dari tidurya bila mendengar kehadiran Putera Duyung itu.

“Ampunkan patik tuanku kerana mengejutkan tuanku beradu...” Putera Duyung tunduk hormat.
“Ada apa kamu datang ke sini, nampak seperti ada sesuatu di hati,” kata Raja Duyung sambil membetulkan letaksandaran badannya.
“Ada perkara yang ingin patik persembahkan kepada tuanku...”
“Perkara apakah yang kamu ingin katakan?”
“Ampun tuanku, patik ada mendengar perbualan Puteri Duyung bahawa Puteri Duyung mahu lari mengikut Umang. Puteri Duyung tidak mahu tinggalkan di sini dan dia sangat kasih akan Umang,” ujar Putera Duyung.

“Apa!, anakanda beta ingin lari ikut Umang!” Raja Duyung terkejut dengan berita itu. Putera Duyung angguk mengiakan.
“Benarkah apa yang kamu katakan itu?”
“Ya, tuanku... mereka sekarang berada di tepi pantai,”
“Beta tidak menyangka Puteri sanggup melakukan perkara seperti. Ini memalukan beta...”
“Apa yang harus kita lakukan tuanku?”
“Kamu halang dan bawa Puteri Duyung kembali, jangan biarkan Umang membawa Puteri beta itu!” perintah Raja Duyung pada Putera Duyung.
“Baiklah patik akan tunaikan perintah tuanku itu,”
“Jangan kembali selagi kamu belum membawa Puteri beta!” tegas Raja Duyung. Putera Duyung segera berenang pergi meninggalkan singgahsana Raja Duyung.
Menjelang malam, Umang dan Puteri Duyung meninggalkan Pulau Duyung dengan menaiki sampan. Buat kali pertama Puteri Duyung duduk di atas sampan. Dia begitu gembira sekali. Umang memerah tenaga mendayung sampan meredah laut luas. Suasana malam itu terang disimbahi cahaya bulan mengambang.

“Umang, seronok naik sampan ya... belum pernah aku merasainya,” kata Puteri Duyung. Umang hanya tersenyum dan memandang Puteri Duyung.
“Aku juga teringin berenang seperti Puteri, meredah laut tanpa mendayung...” ujar Umang. Puteri Duyung tunduk tersenyum.
Putera Duyung berenang menghampiri pantai, dia kecewa Puteri Duyung dan Umang sudah jauh meninggalkan pulau.
“Aku percaya mereka belum jauh lagi, aku mesti kejar mereka...” kata Putera Duyung yang yakin dan bersemangat itu ingin mengejar Puteri Duyung dan Umang. Putera Duyung bergegas berenang menuju ke laut luas. Dengan kekuatan yang ada pada dirinya Putera Duyung berenang dengan lajunya. Terlihatlah kejantanannya.
“Aku bimbang kulit kau Puteri, kulit kau yang bersisik itu tidak terkena air.”
“Waktu malam aku tidak bimbang, panas terik matahari sudah tentu memeritkan kulit sisik aku ini,” jelas Puteri Duyung.
“Bagaimana kalau sumpahan duyung itu tidak terhapus, sedangkan kita belum berkahwin lagi?” tanya Umang.

“Aku akan bersembunyi, aku tahu menjaga diri..”
“Puteri tahu ada manusia darat yang jahat dan busuk hati, kalau mereka tahu sudah tentu Puteri akan ditangkap dan menjadi tontonan. Bukan itu saja, nyawa Puteri pasti dalam bahaya. Itu yang aku bimbangkan.” Kata Umang. Puteri Duyung tunduk berfikir ada benarnya kata-kata Umang itu. Kegusaran mula menyelubungi diri Puteri Duyung.

Putera Duyung berenang dan terus berenang memburu Puteri Duyung yang dibawa Umang ke kampung Teluk Angin Pasang. Naluri Putera Duyung dapat merasakan bahawa sampan yang dinaiki Puteri Duyung dan Umang itu ada di hadapannya. Setelah penat berenang Putera Duyung berhenti seketika menghilangkan lelah.

“Mereka tidak jauh dari sini, bau mereka memang hampir dengan aku...” Putera Duyung tercungap-cungap keletihan. Dengan kudrat yang ada Putera Duyung menyambung renangnya. Di dalam fikirannya hanya satu iaitu membawa balik Puteri Duyung sebagaimana kehendak perintah Raja Duyung. Semakin lama semakin jauh Putera Duyung berenang, hilang dikegelapan malam.

Umang berhenti berdayung, dia begitu letih setelah sekian lama mendayung tanpa henti. Umang duduk dan meletakkan kayu pendayung ke tepi. Dia menyandarkan badannya pada dinding sampan.

“Barangkali kau terlalu letih Umang. Berehatlah... biar Puteri tarik sampan ini hingga ke darat,” kata Puteri Duyung tawarkan diri.
“Jangan Puteri, aku cuma rehat sebentar saja.”
“Sungguhkah Umang?”
“Ya, aku juga sedang memikirkan apa yang harus aku lakukan jika sampai di darat nanti,”
“Maksud kau Umang?”
“Aku bimbangkan keselamatan kau Puteri dan aku memikirkan bagaimana sembunyikan kau dari pengetahuan orang kampung dengan keadaan kau yang sungguh berbeza,” Umang mendongak ke langit. Matanya tertumpu pada bulan yang mengambang. Puteri Duyung tunduk termanggu. Tiba-tiba sampan Umang bergoyang kuat seperti ada yang mengoyang dan menggoncangnya. Umang dan Puteri Duyung berpaut kuat pada sampan. Umang melihat di sekeliling sampan. Puteri Duyung gusar dengan keadaan itu.

“Puteri!, paut kuat-kuat!” jerit Umang. Puteri Duyung terlihat Putera Duyung sedang mengoyang sampan.

“Kau rupanya Putera! Kenapa kau datang mengganggu kami... pergi dari sini,” halau Puteri Duyung. Umang terkejut melihat Putera Duyung di hadapannya.
“Aku membawa titah Tuanku Raja Duyung supaya membawa kau balik Puteri...!” tegas Putera Duyung.

“Aku tidak mahu balik, pergi kau!” mendengar kata-kata Puteri Duyung itu membuatkan Putera Duyung marah lalu mengoyangkan sampan dengan sekuat hatinya. Sampan terumbang-ambing. Umang dan Puteri Duyung tidak dapat mengawal keadaan sampan yang terumbang-ambing itu. Sampan terbalik, Umang dan Puteri Duyung jatuh ke dalam laut. Putera Duyung merapati Umang dan berlakulah pergelutan. Putera Duyung dan Umang bergelut antara satu sama lain. Puteri Duyung tidak dapat berbuat apa-apa melihat pergelutan itu lalu pergi menghilangkan diri kerana tidak sanggup dirinya menjadi rebutan. Sekejap mereka berdua tenggalam ke dalam dasar laut, kemudian timbul ke permukaan air. Begitulah pergelutan yang berlaku tanpa kesudahan. Umang kehabisan tenaga berlawan, begitu juga Putera Duyung tidak mampu menahan kekuatan yang ada pada Umang. Umang juga tidak mampu menahan asakan dan keupayaan Putera Duyung. Mereka terus menerus bergelut hinggalah lewat dinihari. Pergelutan itu berakhir dengan kedua-duannya keletihan dan hampir lemas. Putera Duyung dan Umang hanyut terapung-apung dibawa ombak, pengsan dan tidak sedarkan diri. Ombak laut memisahkan mereka berdua.

Keesokan harinya Umang terdampar di tepi pantai tidak jauh dari kampung Teluk Angin Pasang. Umang masih tidak sedarkan diri, separuh badannya berada di gigi air. Beberapa orang nelayan yang berada di tepi pantai terlihat Umang terdampar.
“Eh!, ada orang mati lemas...” kata salah seorang nelayan itu lalu mereka bergegas menghampiri Umang. Salah seorang nelayan itu memeriksa Umang yang disangka sudah mati. Kesan lebam-lebam dan sedikit darah mengalir pada muka dan badan Umang.

“Umang...?” nelayan itu terkejut. Mereka tidak menyangkan dapat menemui semula Umang. “Dia masih hidup, lekas kita hantar ke rumah Teritip!” ujar rakan nelayan itu yang segera membantu mengangkat Umang untuk dibawa pulang ke rumah Teritip.
Sementara itu Putera Duyung juga terdampar di gigi pantai kampung Teluk Angin Pasang. Putera Duyung masih tidak sedarkan diri, badannya di tolak-tolak oleh ombak. Kesan lebam dan bengkak pada muka dan badan Putera Duyung menggambarkan pergelutan antara Putera Duyung dan Umang itu sungguh hebat. Dukun Pari yang berjalan-jalan di tepi pantai itu terlihat Putera Duyung terdampar.

“Binatang apakah yang mati itu?” hatinya berdetik ingin tahu. Dukun Pari bergegas berlari dan sejurus kemudian Dukun Pari berada di hadapan Putera Duyung. Alangkah terkejutnya Dukun Pari, impian mencari duyung terkabul.

“Barangkali inilah duyung dalam mimpi aku itu. Barangkali juga duyung yang diperkatakan orang kampung...” Dukun Pari tersenyum lebar tetapi dia musykil.
“Masih hidupkah duyung ini? Dukun Pari memberanikan diri memeriksa Putera Duyung. Tangannya terketar-ketar memegang badan dan ekor Putera Duyung.
“Ajaib sungguh!, belum pernah aku lihat binatang seperti ini. Separuh manusia separuh ikan...” Dukun Pari memeriksa nafas Putera Duyung.

“Belum mati lagi masih hidup!” Dukun Pari terkejut bila mendapati Putera Duyung masih hidup.
“Sudah lama aku menunggu saat seperti ini, sudah lama aku mencarinya. Aku percaya duyung memang wujud, mungkin juga banyak lagi duyung di laut luas sana. Akulah orang pertama menemui duyung. Aku akan menjadi kaya, aku akan menjadi orang yang berpengaruh. Duyung ini berguna pada aku...” Dukun Pari tersenyum bangga dan ketawa besar. Dukun Pari teringat sesuatu, ketawanya terhenti.

“Aku perlu sembunyikan duyung ini, aku tidak mahu orang lain nampak dan mencurinya,” Dukun Pari segera menimbus pasir badan Putera Duyung dari hujung ekor hinggalah ke paras bahu. Kemudian Dukun Pari mengambil daun pisang hanyut lalu menutup di bahagian kepala Putera Duyung.

“Aku perlukan bantuan untuk membawa pulang duyung ini,” Dukun Pari segera beredar untuk meminta bantuan.

Jangan Lupa Ke Bab Seterusnya...

No comments: