BAB 16.
Teritip mengikat tali dan membetulkan anak tangga rumahya. Umang bangun dari tidur, dia sudah pulih. Teritip mencari dukun lain dari Kampung Ketak Ketengkui untuk memulihkan Umang. Kini Umang sudah mengingati apa yang sudah terjadi pada dirinya. Semangatnya juga telah pulih, lebam dan sakit pada badannya juga sudah surut dan hampir sembuh.
“Bapak!... Bapak!” Umang memanggil Teritip. Teritip menarik nafas lega bila mendengar Umang memanggilnya.
“Bapak dekat tangga ini...” jawab Teritip. Umang keluar dari dalam rumah dan menuju ke tangga. Dia melihat Teritip sedang mengikat dan membetulkan anak tangga.
“Bapak buat apa?”
“Kau nampak bapak tengah buat apa.”
“Tangga itu kenapa?
“Patah... nasib baik kaki Dukun Cakcibau itu tidak patah...”
“Dukun Cakcibau datang ke rumah kita?”
“Ya, dia datang pulihkan kau... apa sebenarnya yang terjadi dengan kau?”
“Panjang ceritanya pak, kalau Umang cerita sampai bapak mati pun ceritanya tidak habis. Nantilah Umang ceritakan...”
“Apa kau fikir cerita kau itu bagus sangat?”
“Eh, bagus pak. Kalau Umang cerita satu dunia orang tidak percaya. Hanya orang yang mengalami saja yang tahu kebenarannya.”
“Sebelum kau, bapak sudah mengalaminya Umang,”
“Maksud bapak?”
“Kau jumpa dengan Puteri Duyung bukan?”
Umang terkejut bila Teritip memperkatakan tentang Puteri Duyung. Teritip selesai membetulkan anak tangga dan duduk di tangga. Umang duduk disebelah Teritip.
“Kenapa kau diam?” tanya Teritip.
“Ya, Umang ada jumpa dengan Puteri Duyung,”
“Di mana sisir emas itu?”
“Maafkan Umang pak, Umang sudah pulangkan sisir emas kepada Puteri Duyung...” Umang menundukkan kepalanya.
“Kenapa kau pulang sisir emas itu?”
“Itu hak Puteri Duyung pak. Sepanjang bapak menyimpan sisir emas itu Puteri Duyung hidup menderita dan dia tidak boleh berkahwin sampai bila-bila...” jelas Umang. Teritip menarik nafas panjang dan berfikir.
“Kasihan Puteri Duyung itu, bapak bersalah. Bapak berdosa...” Teritip kesal.
“Sudahlah pak, Puteri Duyung dan Tuanku Raja Duyung memaafkan kesalahan bapak.” Umang berdiri dan turun tangga menuju ke laman rumah. Dia berlegar-legar di situ. Teritip hanya memandang Umang.
“Betul kata kau Umang, cerita kita adalah sama. Orang tidak akan percaya apa yang pernah kita lalui bertemu dengan Puteri Duyung. Biarlah kita rahsiakan.” ujar Teritip.
“Bapak kenapa Siput tidak datang?” tanya Umang.
“Siput diculik orang, sampai sekarang belum ditemui...” jawab Teritip.
“Apa! Siput diculik...” Umang terkejut dengan berita itu.
“Ya, sejak kau hilang macam-macam yang berlaku di kampung kita,”
“Di mana Buntal?” Umang bertanya lagi
“Entahlah... bapak pun tidak tahu...” kata Teritip.
Setelah berlari meredah hutan, Buntal dan Siput tiba di satu tempat persembunyian yang dikenali Tungking Ayam. Di Tungking Ayam itu terdapat sebuah pondok yang diperbuat daripada buluh dan atap rumbia. Mereka berdua keletihan sampai sahaja di pondok itu.
“Kau bawa aku ke mana ini?” Siput duduk melepaskan lelah.
“Kau akan selamat di sini...” kata Buntal ringkas.
“Asing sekali tempat ini,”
“Tempat ini dipanggil Tungking Ayam. Dulu tempat ini pernah didiami tiga buah keluarga. Malangnya tiga keluarga itu mati kesemuanya. Hanya seorang saja yang terselamat dari serangan gajah liar dan pondok ini yang masih utuh hingga sekarang.” Buntal mengelap peluh di mukanya.
“Macamana kau tahu cerita tempat ini?” Siput bertanya.
“Orang yang terselamat dalam serangan gajah liar itu ada di sini...” jawab Buntal.
“Kau Buntal!” Siput terkejut. Buntal angguk mengiyakan.
“Lupakan, itu cerita lama... yang penting kita selamat berada di sini. Tidak ada siapa yang tahu tempat ini. Siput jangan bimbang, pergilah berehat dalam pondok.” kata Buntal lantas membawa Siput ke pondok yang menghadap ke anak Sungai Gomak. Sampai sahaja di pondok itu, Buntal membuka pintu pondok dan meninjau di dalamnya.
“Pondok ini masih elok dan selamat untuk kita berteduh,” kata Buntal sambil menaiki anak tangga pondok. Siput mengikut Buntal dari belakang. Berada di dalam pondok Siput duduk di tengah ruang. Buntal duduk menyandar badannya di tepi pintu pondok.
“Aku nak balik, aku nak jumpa mak bapak aku. Abang Buntal tolonglah bawa balik Siput ke Kampung Angin Pasang,” rayu Siput.
“Keadaan tidak mengizinkan lagi. Aku tidak mahu Belitong, Cencaru dan Tamban mempergunakan kau untuk kepentingan mereka,” Buntal memandang Siput.
“Kau yakin semua ini rancangan mereka?” tanya Siput.
“Ya, Belitong culik kau semata-mata dia ingin berkahwin dengan kau... dan aku dijadikan kambing hitam untuk menutup tingkah laku jahat mereka,” ujar Buntal.
“Macamana abang Buntal tahu semua itu?”
“Aku mendengar perbualan mereka, sebaik sahaja kau diculik. Tok Kepah pula beri ganjaran kepada sesiapa yang dapat membawa balik kau dengan selamat dan menangkap penculiknya...” Buntal meluruskan kakinya yang kebas.
“Ganjaran yang bagaimana?” Siput bertanya lagi.
“Kau akan dikahwinkan dengan sesiapa yang menyelamatkan kau,” jelas Buntal.
“Aku harap bapak aku tidak percaya apa yang berlaku semua ini. Aku terhutang budi pada kau Buntal, kau telah menyelamatkan aku.” kata Siput.
“Ahh, itu perkara kecil. Aku hanya pegang janji yang diminta Umang supaya menjaga kau,” Buntal menundukkan kepalanya.
“Abang Buntal fikir Umang masih hidup lagikah?” Siput serba salah bertanyakan hal demikian.
“Abang Buntal sendiri pun tidak tahu Siput, Umang itu masih hidup atau mati,” Buntal mengalihkan duduknya keluar pintu pondok dan memandang ke anak Sungai Gomak. Perlahan-lahan Siput berdiri dan berjalan menuju ke tingkap pondok yang sudah sedia terbuka. Siput memandang Buntal yang sedang mengelamun, dia tahu Buntal seorang yang baik dan jujur.
“Aku mesti balas jasa baik abang Buntal, tidak ada gunanya lagi aku menunggu abang Umang...” bisik hati Siput. Buntal tersedar dari lamunan dan tercari-cari Siput. Apabila terlihat Siput di tingkap, Buntal tersenyum sipu. Siput membalas dengan senyuman yang manis.
“Kau lapar ya, nanti aku pergi cari makanan. Kau tunggu saja di sini, jangan ke mana-mana,” Buntal bergegas pergi mencari makanan. Siput memandang Buntal menuju ke dalam hutan.
Di dalam gua Ting Tara Tilala, Belitong mengamuk dan marah dengan kehilangan Siput. Belitong menendang pintu kurungan. Cencaru dan Tamban tergamam tunduk membisu.
“Jahanam!... aku fikirkan kau berdua boleh diharap, punah harapan aku!. Sekarang apa sudah jadi, mana kita nak cari Siput... di mana dia! Lembu satu kandang kau boleh jaga, Siput seorang kau lepaskan begitu saja!” marah Belitong tidak terbendung lagi.
“Kami berdua tertidur, kami tidak sedar bagaimana Siput melarikan diri...” kata Cencaru serba salah.
Kami terlalu letih dan tertidur,” Tamban mencelah. Belitong menghampiri Cencaru dan Tamban dengan muka yang bengis. Cencaru dan Tamban saling berpandangan. Belitong dengan geram menampar muka Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban menahan sakit di pipi dan dahi.
“Bangang!, aku mahu kau berdua pergi cari Siput sampai dapat. Kau jangan balik selagi Siput belum kau temui, faham!” Belitong beri arahan tegas kepada Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban tunduk bersalah.
“Apa yang kau tunggu lagi, pergi cepat...” Belitong menghalau Cencaru dan Tamban. Cencaru dan Tamban bergegas mengambil parang masing-masing dan pergi mencari Siput. Belitong memandang dengan geram dan marah lalu meludah ke tepi.
Tiga hari berlalu, Umang ke hulu ke hilir mencari Buntal. Umang mencari di tepi pantai namun Buntal tidak ditemui. Mencari di rumah Buntal tidak juga ditemui. Mencari di bawah pokok tempat selalu mereka berjumpa, berbual-bual dan berehat juga tidak di temui. Di pinggir hutan dan di sekitar kampung Teluk Angin Pasang juga tidak terlihat kelibat Buntal.
“Puas aku cari di merata-rata tempat, batang hidungnya pun aku tidak nampak,” rungut Umang.
“Baik aku ke rumah Tok Kepah...” Umang ambil keputusan pergi ke rumah Tok Kepah untuk bertanyakan perihal Siput dan Buntal. Tidak lama kemudian Umang sampai di rumah Tok Kepah.
“Tok Kepah!... Tok Kepah!” Umang memanggil Tok Kepah. Tok Kepah dan Mak Lala menjengah di muka pintu rumah.
“Umang!, kau masih hidup?” Tok Kepah terkejut.
“Ke mana kau pergi Umang, puas orang kampung cari kau. Kami ingatkan kau dah mati, tidak sangka kau masih hidup,” sampuk Mak Lala.
“Sampai hati Mak Lala kata begitu... Ini Umang Mak Lala, masih hidup lagi,” Umang duduk di tangga. Tok Kepah dan Mak Lala duduk tidak jauh dari Umang.
“Apa yang terjadi pada kau Umang?” Tok Kepah bertanya.
“Panjang ceritanya Tok Kepah, sampai ayam pagi berkokok pun belum tentu habis ceritanya,” ujar Umang.
“Panjang juga ceritanya ya... Kalau sampai ayam berkokok pagi tidak sanggup aku mendengarnya,” Tok Kepah geleng kepala.
“Tok, betulkah Siput diculik?” Umang bertanya. Mak Lala lalu menangis bila Umang menyebut nama Siput.
“Ya, aku tidak tahu bagaimana nasibnya sekarang... aku sudah minta orang kampung mencari Siput. Tapi hingga sekarang belum ada khabar berita...” Tok Kepah tunduk sedih. Mak Lala mengesat air mata. Umang simpati pada Tok Kepah dan Mak Lala. Umang berdiri dan memandang rumah-rumah di sekitar Kampung Angin Pasang.
“Tok Kepah, sebenarnya saya mencari Buntal. Tidak tahu di mana dia sekarang,” kata Umang. Tok Kepah dan Mak Lala saling berpandangan.
“Barangkali Buntal mencari Siput...” jelas Tok Kepah.
“Tok Kepah, saya balik dulu... saya akan cuba cari Siput dan Buntal. Tok Kepah dan Mak Lala bertenanglah... minta diri dulu.” Umang berjalan meninggalkan rumah Tok Kepah.
“Ambil mangkuk tempurung ini,” paksa Dukun Pari sambil menyerahkan mangkuk tempurung kepada Putera Duyung. Putera Duyung mengambil mangkuk tempurung itu dan membeleknya.
“Buat apa mangkuk tempurung ini?” bisik hati Putera Duyung.
“Tunggu apa lagi!... aku mahu kau menangis dan penuhkan mangkuk tempurung itu dengan air mata kau. Faham!” Dukun Pari memberi arahan. Putera Duyung hairan dan tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Dia memandang Dukun Pari dan kemudian memandang mangkuk tempurung.
“Hilang akal betul dukun ini, aku dipaksa menangis. Bukankah aku duyung jantan macamana aku nak menangis. Untuk apa dengan air mata aku ini?” Putera Duyung musykil dengan kehendak Dukun Pari. Dukun Pari gelisah menunggu Putera Duyung mengeluarkan air matanya.
“Apa tunggu lagi!, cepat keluarkan air mata kau itu!” desak Dukun Pari. Putera Duyung menjadi serba salah, tangannya terketar-ketar memegang mangkuk tempurung.
“Hei duyung! Kau tidak faham apa aku cakap. Apa kau bisu!” sergah Dukun Pari membuatkan Putera Duyung terkejut. Mangkuk tempurung yang dipegangnya terjatuh ke dalam kolam.
Umang yang tidak tahu hala tujunya mencari Siput dan Buntal telah berada berhampiran dengan kolam di mana Putera Duyung dikurung. Umang terdengar rungutan Dukun Pari yang memaksa Putera Duyung mengeluarkan air mata.
“Kau ambil mangkuk tempurung itu dan penuhkan air mata kau. Petang nanti aku mahu air mata itu,” tegas Dukun Pari. Umang segera bersembunyi di dalam semak berhampiran kolam itu. Umang terkejut melihat Putera Duyung di kurung di dalam kolam. Dia memerhatikan Dukun Pari memarahi Putera Duyung.
“Aku sangkakan Putera Duyung itu sudah mati, tapi kenapa dikurung?. Apa Dukun Pari buat pada Putera Duyung itu?” kata Umang.
“Ingat kalau kau gagal keluarkan air mata, aku bunuh kau!” amaran Dukun Pari dan segera beredar dari kolam. Putera Duyung tunduk sedih.
“Air mata?” Apa akan jadi kalau Putera Duyung dibunuh?” bisik hati Umang. Tanpa berfikir panjang Umang segera berlari menuju ke tepi pantai. Sampai di tepi pantai Umang mencari sampan kosong yang boleh digunakan untuk kembali semula ke Pulau Duyung untuk memberi khabar kepada Raja Duyung dan Puteri Duyung.
Teruskan Minat Anda Ke Bab Seterusnya...

No comments:
Post a Comment