SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 10

BAB 10.

Sebelum terbit matahari, Umang terlebih dahulu bangun sebelum Teritip terjaga. Walaupun badannya terlalu letih, Umang gagahkan dirinya untuk bangun seawal mungkin. Umang menoleh ke arah Teritip yang sedang tidur nyenyak. Perlahan-lahan Umang merangkak ke arah Teritip. Dia tahu sisir emas milik Puteri Duyung itu ada pada Teritip. Dia tahu sisir emas itu di simpan di bawah bantal Teritip. Umang berhenti merangkak.
“Bagaimana kalau bapak aku terjaga? Mati aku dikerjakannya,” Umang terfikr tentang hal itu. Umang nekad, dia mesti dapatkan sisir emas itu. Dia merangkak kembali hingga menghampiri Teritip. Teritip berkalih tidurnya ke kanan. Umang berdebar bila melihat Teritip hampir terjaga dari tidur. Dia menarik nafas lega bila melihat Teritip tidur kembali.
“Apa terjadi sekali pun aku nekad akan mengambil sisir emas itu,” bisik hati Umang. Umang merangkak menghampiri bantal Teritip. Bantal di angkat perlahan-lahan, Umang terlihat sisir emas terselit di bawah bantal.
“Memang tepat jangkaan aku...” Umang puashati melihat sisir emas itu ada di bawah bantal tetapi agak sukar untuk mengambilnya.
“Bagaimana aku nak mengambilnya, sisir emas itu betul-betul di bawah kepala bapak aku. Kalau aku tarik pasti bapak aku terjaga...” bisik hati Umang lagi. Sedang Umang asyik memikirkan bagaimana hendak mengambil sisir emas itu tiba-tiba tangan Teritip memukul nyamuk di pipi. Umang terkejut dan tergamam seketika. Dia menelan air liur. Peluh jantan mula mengalir di dahinya. Kemudian Teritip menggaru punggungnya yang gatal. Sekali lagi Umang menarik nafas lega. Umang terlihat sisir emas itu terkeluar sedikit dari celah himpitan bantal. Ini memudahkan dia menarik dan mengambil sisir emas itu.
“Terima kasih nyamuk kaulah sahabat aku walaupun kau terkorban, aku tetap kenang jasa kau. Kalau tidak kerana kau sudah tentu aku tidak dapat mengambil sisir emas itu,” Umang memuji nyamuk yang membantunya. Tanpa membuang masa Umang terus mengambil sisir emas itu tanpa disedari oleh Teritip. Umang tersenyum bangga kerana sisir emas itu sudah ada digenggamannya.
“Ya, akhirnya aku berjaya. Sisir emas ini akan mengubah nasib aku,” Umang yakin dengan pendiriannya.
“Sebelum bapak aku terjaga lebih baik pergi dari sini,” Umang segera ke muka pintu dan terus meninggalkan rumahnya untuk menuju ke tepi pantai.
Langkah lariannya begitu kencang dan laju. Dia mahu sampai di tepi sebelum terbit fajar pagi. Sisir emas digenggam erat, khuatir sisir emas itu terjatuh Umang membungkusnya ke dalam kain dan mengikat rapi.
Sejurus kemudian Umang sampai di tepi pantai, dia segera membuka ikatan tali sampan pada tiang kayu. Sampan di tolak ke air. Umang segera melompat ke atas sampan dan capai dayung. Dengan tenaga yang ada Umang segera mendayung sampannya ke tengah laut untuk menemui Puteri Duyung. Semangatnya berkobar-kobar, Umang mahu Puteri Duyung gembira dan hidupnya akan berubah.
Matahari semakin meninggi, Umang sudah keletihan mendayung, Jarak antara darat ke tempat dia menemui Puteri Duyung terlalu jauh. Sudah tiga kali Umang berhenti berehat. Kali keempat dia berhenti Umang sudah kehabisan tenaga, dia belum menjamah sebarang makanan untuk mengalas perutnya. Umang terbaring di dalam sampan. Nafasnya turun naik, mukanya berpeluh. Umang merasakan seperti ada sesuatu yang menarik sampannya.
“Bagaimana sampan aku bergerak sedangkan aku tidak mendayung?” hati Umang bertanya kerana sampannya semakin bergerak laju.
“Adakah arus ombak yang menggerakkan sampan? Barangkali bukan, aku tahu sampan aku bergerak bukan kerana arus ombak,” Umang membuat tekaan. Umang menggagahkan dirinya untuk melihat apa yang berlaku pada sampannya.Umang terkejut bila sampannya sedang ditarik oleh Puteri Duyung.
“Puteri Duyung!... ke mana aku nak dibawa?” kata Umang. Umang sebelum ini tidak bermaya kini semangatnya pulih serta-merta bila melihat Puteri Duyung di hadapanya. Puteri Duyung menarik sampan Umang dengan pantas sekali. Umang tersenyum sambil memerhatikan badan dan ekor Puteri Duyung meliuk-lintuk membelah air laut.
“Puteri kau nak bawa aku ke mana?” jerit Umang. Puteri Duyung tidak menoleh kebelakang, dia terus berenang membawa sampan dengan pantas ke satu tempat yang Umang belum ketahui lagi.
“Kalau aku dibawa ke tempat yang tidak baik, habislah aku. Aku belum kenal hati budi Puteri Duyung, apa akan jadi kalau aku dihukum kerana mengambil sisir emas miliknya. Apakah Raja Duyung akan memaafkan aku?” Umang tertanya-tanya. Puteri Duyung terus berenang menarik sampan Umang hinggalah sampai di sebuah pulau yang cantik dan pasir pantai yang putih. Di keliling pulau itu dipenuhi pokok-pokok kelapa.
“Wah! cantik sungguh, pulau apakah ini? Belum pernah aku lihat dan jejakkan kaki aku ke sini,” Umang takjub dengan keindahan pulau yang tidak pernah terfikir olehnya. Tidak lama kemudian sampan Umang mendarat di tepi pantai pulau yang cantik itu. Umang masih teruja dan terpinga-pinga melihat keindahan pulau itu. Puteri Duyung di gigi pantai. Umang segera turun dari sampan dan memandang di sekitar pulau. Puteri Duyung tersenyum melihat Umang yang kehairanan.
“Umang jangan takut, mari dekat dengan aku. Kau selamat di sini. Pulau ini belum ada manusia darat yang sampai,” kata Puteri Duyung pada Umang. Umang perlahan-lahan menghampiri Puteri Duyung.
“Pulau apakah ini, aku belum pernah melihatnya,” ujar Umang ingin tahu.
“Inilah Pulau Air, di tengah itu Pulau Mata dan di hujung sana dipanggil Pulau Duyung. Mari duduk di sini,” pelawa Puteri Duyung. Umang masih takut dan ragu-ragu dengan pelawaan Puteri Duyung.
“Duduk Umang, percayalah pada aku...” kata Puteri Duyung bersungguh. Umang seperti tidak percaya bahawa dia berada di pulau itu dan dapat melihat keanehan bentuk badan Puteri Duyung separuh manusia separuh ikan. Mata Umang terpaku dengan kecantikan dan keayuan rupa paras Puteri Duyung. Umang berjalan mengeliling Puteri Duyung.
“Kenapa dia diciptakan begini? Cantiknya tidak terbanding. Sayangnya dia tidak seperti manusia...” bisik hati Umang.
“Kenapa Umang melihat diri ini serba tidak kena?” tanya Puteri Duyung.
“Maafkan aku kerana terlalu taksub dengan keadaan diri Puteri...” jawab Umang.
“Sudahlah, memang sudah nasib diriku begini...” ujar Puteri Duyung sedih. Umang duduk di sebelah Puteri Duyung.
“Umang, maafkan aku kerana membawa kau ke pulau ini. Aku tidak mempunyai apa-apa niat, sekadar ingin berkawan dengan kau,” kata Puteri Duyung.
“Kenapa pulau ini tidak berpenghuni?” tanya Umang ingin tahu.
“Kau silap Umang, tiga pulau ini dihuni oleh duyung-duyung. Di Pulau Duyung itulah bersemayamnya ayahandaku Raja Duyung. Mereka semua tahu kehadiran kau di sini. Cuma kau tidak melihatnya...” ujar Puteri Duyung. Umang gusar bila mendengar kata-kata Puteri Duyung lalu meninjau di sekitar Pulau itu.
“Jangan bimbang, percayalah duyung tidak bermusuh dengan sesiapa. Kami suka kedamaian, ketenangan dan kebahgiaan. Umang manusia darat yang baik. Niat kau tulus dan suci,” Puteri Duyung menambah. Umang tunduk berfikir.
“Puteri, hari ini hari paling bahagia untuk kau... aku ada sesuatu untuk aku berikan kepada kau. Kau mencarinya selama ini... maafkan aku kerana terlalu lambat unuk memberikannya kepada kau,” kata Umang serba salah.
“Apa yang Umang maksudkan?” tanya Puteri Duyung. Umang segera membuka simpulan kain dan mengambil sisir emas. Kilauan sisir emas terpancar. Puteri Duyung terkejut bila melihat sisir emas miliknya kini di depan matanya.
“Sisir emas yang Puteri cari selama ini... ambillah sekarang menjadi milik Puteri kembali,” Umang menyerahkan sisir emas itu kepada Puteri Duyung dan dengan rasa terharu Puteri Duyung menerimanya.
“Sungguh tidak disangka sekian lama hilang, akhirnya sisir emas ini kembali juga. Terima kasih Umang, kaulah manusia darat yang berhati mulia dan jujur,” Puteri Duyung menitiskan air mata. Dia mencium dan begitu menyayangi sisir emas itu. Umang gembira melihat Puteri Duyung mendapat semula sisir emasnya.
“Bagaimana Umang mendapatkan kembali sisir emas ini?” tanya Puteri Duyung ingin tahu.
“Sisir emas itu sudah lama disimpan oleh bapak aku, pada mulanya aku tidak tahu bapak aku ada menyimpan sekian lama sisir emas itu. Bapak aku merahsiakannya dari pengetahuan aku dan aku tidak tahu bagaimana dia memperolehi sisir emas itu. Bapak aku tidak pernah menceritakannya. Sehinggalah pada satu hari aku ingin tahu apakah yang ada di dalam bungkusan kain yang tergantung pada atap rumah. Di saat itulah baru aku tahu rupanya sisir emas. Sejak aku melihat sisir emas itu, aku sering bermimpi didatangi duyung sama seperti Puteri... hidup aku tidak menentu siang dan malam. Aku ingin menacri kebenaran, aku turun ke laut untuk mencari duyung yang sama dalam mimpi itu. Aku terpaksa mencuri sisir emas itu dari simpanan bapak aku. Akhirnya hajat aku tercapai dan kini aku kembalikan semula sisir emas ini pada yang empunya. Aku dan bapak aku tidak berhak menyimpannya,” cerita Umang panjang lebar.
“Aku tidak tahu bagaimana nak membalas budi kau Umang, setelah aku memiliki semula sisir emas ini, aku rasa hidup aku bahagia sekali” ujar Puteri Duyung.
“Aku tidak meminta balasan Puteri, melihat kau bahagia sudah cukup bagi aku. Bagaimana pula sisir emas itu boleh hilang?” Umang bertanya. Puteri termenung seketika dia cuba mengingati kembali bagaimana sisir emas itu hilang.
“Waktu itu aku sedang leka menyisir rambut di tepian pantai di sebuah pulau yang bernama Pulau Madu Beracun, aku tidak tahu bagaimana bapak Umang sampai ke pulau itu. Aku tidak menyedari kehadiran bapak kau, aku terkejut bila bapak kau menghampiri aku, aku menjadi takut dan terus terjun ke laut tanpa aku sedari sisir emas ini tertinggal di atas batu... sejak itulah hidup aku tidak menentu kerana aku sudah melanggar sumpah...” kata Puteri Duyung.
“Sumpah yang bagaimana?” Umang ingin tahu.
“Aku tidak boleh kahwin dengan duyung atau pun dengan manusia...” jelas Puteri Duyung. Berkerut dahi Umang bila mendengar kata-kata Puteri Duyung itu.
“Bermakna Puteri boleh berkahwin dengan manusia seperti aku ini?” tanya Umang. Puteri tunduk sayu.
“Ya, sumpahan itu berkahir apabila duyung mengahwini manusia tapi belum ada mana-mana duyung yang berani berkahwin dengan manusia seperti kau Umang. Tidak mungkin perkara ini boleh berlaku...” ujar Puteri Duyung.
“Tetapi tidak mustahil juga kalau perkara ini boleh dilakukan...” kata Umang.
“Lupakanlah saja perkara itu... mahukah kau berjumpa dengan ayahandaku?” tanya Puteri Duyung.
“Apakah aku dibenarkan berjumpa dengan ayahanda Puteri Raja Duyung?” Umang ingin tahu.
“Ya, tidak ada larangan jika kau berniat baik...” ujar Puteri Duyung.
“Baiklah aku ingin berjumpa dengan ayahanda Puteri Raja Duyung, pasti Raja Duyung gembira bila mendapat berita sisir emas itu sudah dikembalikan,” kata Umang. Puteri Duyung tersenyum manis.


Ayuh Ke Bab Seterusnya...

No comments: