SISIR EMAS PUTERI DUYUNG - BAB 18

BAB 18.

Dukun Pari bersama isterinya Udang dan Ketam menaiki sampan setelah dihalau oleh Tok Kepah dari kampung Teluk Angin Pasang. Sampan yang dinaiki mereka begitu sarat dengan muatan dan barang-barang keperluan. Di tambah pula kedua-dua isterinya yang berbadan besar menyebabkan sampan terumbang ambing dipukul ombak. Dukun Pari yang kurus kering itu terasa beban untuk mendayung sampannya.

“Abang Pari, kita nak pergi mana?” tanya Ketam yang takut dengan ombak laut. Ketam dan Udang berpelukan.

“Abang Pari kita nak pindah mana? Ketam dengan Udang takut... marilah kita balik,” sampuk Udang. Dukun Pari berhenti mendayung, dia keletihan sambil memandang ke arah Udang dan Ketam.

“Kamu berdua jangan kusutkan lagi kepala aku... Aku sendiri pun tidak tahu ke mana nak pergi...” ujar Dukun Pari yang masih bingung ke mana arah yang ingin dituju.

“Kalau abang tidak tahu nak ke mana, kenapa angkut barang-barang ini semua? Ketam nak balik ke rumah kita,” rungut Ketam . Dukun Pari yang bosan dengan leteran Ketam dan Udang mencampakkan pendayung sampan ke laut.

“Kamu berdua ini buat aku sakit kepala! Sekali lagi aku dengar kamu berdua membebel aku tidak teragak-agak campak kamu ke dalam laut!” Dukun Pari beri amaran. Ketam dan Udang tunduk ketakutan.

“Mana pulak pendayung sampan aku tadi?” Dukun Pari tercari-cari pendayung sampan yang dibuangnya ke dalam laut. Sedang tercari-cari Dukun Pari terlihat pendayung sampannya sudah hanyut jauh di bawa ombak. Dukun Pari tepuk dahi lalu terduduk kesal.

“Hanyut...” Dukun Pari geleng kepala. Ketam dan Udang menangis berpelukan.

Sampan yang dinaiki Dukun Pari dan isterinya hanyut di bawa ombak hingga jauh ke tengah laut. Sedang Dukun Pari duduk termenung memikirkan bagaimana nasib diri dan isterinya, muncul Putera Duyung dan sepuluh duyung jantan yang lain mengelilingi sampan. Dukun Pari, Ketam dan Udang terkejut dengan kehadiran duyung-duyung itu. Ketam dan Udang semakin takut.

“Binatang apakah ini berenang-renang seperti ikan?” ketam tertanya-tanya. Dukun Pari pula menggelabah dan tidak menyangka Putera Duyung bersama duyung-duyung yang lain datang mencarinya.

“Matilah aku, duyung datang mahu membalas dendam...” bisik hati Dukun Pari. Putera Duyung bersama duyung-duyung yang lain berenang-renang mengelilingi sampan.

“Kau datang sini nak apa?” tanya Dukun Pari yang resah. Putera Duyung bersama duyung-duyung yang lain hanya memandang ke arah Dukun Pari sambil berenang. Dukun Pari menjadi bingung. Sampan yang dinaikinya itu terumbang-ambing dan sekali sekala dipukul ombak. Pukulan ombak itu menyebabkan air masuk ke dalam sampan, lama kelamaan sampan dipenuhi air.

“Matilah aku sampan penuh dengan air...” Dukun Pari kecut perut melihat sampannya dipenuhi air. Putera Duyung bersama duyung yang lain perlahan-lahan berenang meninggalkan sampan yang dinaiki Dukun Pari. Dukun Pari tidak dapat berbuat apa-apa.

“Woi duyung tolong aku!... jangan pergi! Sampan aku tenggelam, tolong!” Dukun Pari menjerit meminta pertolongan. Sampan tidak dapat menampung bebanan. Perlahan-lahan sampan menjadi senget sebelah dan akhirnya sampan itu tenggelam. Dukun Pari, Ketam dan Udang berebut-rebut menyelamatkan diri daripada kelemasan. Masing-masing tolak menolak, benam-membenam tiada berkesudahan.

Umang membetulkan sampannya, dia bersiap-siap pergi ke Pulau Duyung. Teritip tampak sedih dengan keputusan Umang meninggalkan kampung Teluk Angin Pasang.

“Kau nak ke mana lagi Umang?” Teritip memegang bahu Umang.

“Bapak, Umang pergi hanya sementara. Di sini sudah tidak ada apa lagi untuk Umang. Umang akan kembali satu hari nanti. Doakan keselamatan Umang...” Umang memeluk erat Teritip. Umang menatap lama wajah Teritip kemudian memberikan senyuman. Teritip memahami kehendak Umang.

“Pergilah... kembali dengan kejayaan,” Teritip memberi semangat dan mengizinkan Umang pergi. Umang memeluk kembali Teritip. Umang segera menolak sampan, melompat ke dalam sampan dan terus mendyung tanpa menoleh ke belakang. Teritip hanya memerhatikan Umang pergi hingga hilang daripada pandangan.

Buntal dan Siput mengambil keputusan untuk kembali semula ke kampung Teluk Angin Pasang. Mereka bersiap-siap meninggalkan pondok di Tungking Ayam.

“Aku tidak boleh lupakan tempat ini, banyak kenangan di sini...” kata Buntal sedih untuk meninggalkan kampung halamannya sewaktu dia kecil dahulu.

“Marilah kita balik, sebelum petang menjelma,” Siput mengajak Buntal segera meninggalkan tempat itu.

“Baiklah, aku harap kita akan sampai ke kampung Teluk Angin Pasang dengan selamat,” ujar Buntal.

“Sudah lama aku tidak jumpa mak bapak aku. Aku rindukan mereka. Tentu mereka bersedih dan tertunggu-tunggu akan aku. Cepat bang kita balik” Siput sudah tidak sabar-sabar lagi. Buntal dan Siput pun segera berjalan menuju ke kampung Teluk Angin Pasang. Buntal dan Siput meredah hutan untuk sampai ke kampung Teluk Angin Pasang. Perjalanan mereka memakan masa yang agak panjang. Keletihan mereka berhenti berehat seketika dan menyambung kembali perjalanan setelah letih hilang. Mereka bernasib baik sepanjang dalam perjalanan itu mereka tidak menemui binatang buas atau pun diganggu dengan orang jahat. Tidak lama kemudian mereka sudah sampai dan hampir dengan kampung Teluk Angin Pasang.

“Siput, kita sudah hampir dengan kampung. Lega rasanya...” gembira Buntal tidak terkira.

“Kau belum lagi...” celah Belitong yang membelakangkan Buntal dan Siput. Siput dan Buntal terkejut dengan kemunculan Belitong, Cencaru dan Tamban.

“Apa kau buat di sini? tegur Buntal.

“Kau rupanya yang menculik Siput ya!” Belitong menuduh Buntal.

“Jaga mulut kau ya!, aku tahu apa yang kau buat selama ini. Kau culik Siput dan rancang semuanya. Kau fikir aku bodoh!” Buntal menyangkal tuduhan Belitong itu. Belitong ketawa dan diikuti Tamban dan Cencaru.

“Kau jangan nak berdalih lagi,” desak Belitong.

“Kau yang culik aku, kemudian kau tuduh Buntal? Manusia apa kau ini...” marah dan geram Siput pada Belitong.

“Tangkap mereka!” perintah Belitong pada Tamban dan Cencaru. Tamban segera menangkap Buntal. Cencaru pula segera menangkap Siput. Berlaku pergaduhan antara Cencaru dengan Buntal. Siput dapat melepaskan diri tetapi dapat dikejar oleh Belitong. Tamban membatu Cencari melawan Buntal. Perbuatan Belitong menahan dan menangkap Siput dilihat oleh beberapa orang penduduk kampung yang lalu di situ.

“Kawan-kawan lihat sana, aneh sungguh perbuatan mereka. Siput dengan Belitong bergaduh. Buntal pulak dipukul” kata salah seorang penduduk kampung kepada rakannya.

“Barangkali mereka yang menculik Siput?” balas penduduk kampung seorang lagi. Mereka saling berpandangan.

“Kamu pergi khabarkan perkara ini kepada Tok Kepah. Cepat,” penduduk kampung itu segera berlari ke rumah Tok Kepah.

Buntal terus menerus dibelasah oleh Cencaru dan Tamban. Buntal cuba mempertahankan dirinya namun apakan daya kuasa dan tenaganya tidak berupaya melawan kekuatan yang ada pada Cencaru dan Tamban. Siput sedaya upaya cuba melepaskan diri dari cengkaman Belitong.

“Kau fikir kau lari dari aku kau akan bahagia. Aku tidak akan lepaskan kau selagi aku belum miliki kau Siput,” ujar Belitong.

“Kau jangan fikir semudah itu kau perdaykan aku dan orang tua aku. Kau akan terima balasannya...” dengan pantas Siput menggigit tangan Belitong dan menampar muka Belitong. Belitong menahan sakit, Siput pula mengambil kesempatan dalam keadaan Belitong leka untuk melarikan diri. Belum sempat Siput melarikan diri Belitong telah menarik tangan Siput menyebabkan Siput terjatuh. Siput kemudiannya diseret oleh Belitong. Siput meronta-ronta. Belitong tidak peduli dengan rontaan Siput.

“Hentikan!, sungguh kurang ajar kau Belitong. Kau perlakukan anak aku seperti haiwan!” tegur dan tegah Tok Kepah pada Belitong. Belitong terkejut bila mengetahui Tok Kepah, Mak Lala dan penduduk kampung datang. Belitong segera melepaskan tangan Siput. Siput segera mendapatkan Mak Lala. Cencaru dan Tamban turut terkejut dengan kehadiran Tok Kepah dan penduduk kampung. Buntal tertiarap di lantai bumi.

“Mak!... Siput peluk Mak Lala.

“Siput anak aku, kau tidak apa-apa. Syukurlah kau dah selamat,” Mak Lala gembira Siput berada di pangkuannya. Belitong serba salah dan ketakutan.

“Tangkap tiga bedebah itu!” perintah Tok Kepah pada penduduk kampung. Belitong, Cencaru dan Tamban di kepung dan ditangkap oleh penduduk kampung. Penduduk kampung yang lain memapah Buntal yang cedera itu.

“Bawa dan pasung bedebah itu sebelum hukuman dijatuhkan!” arah Tok Kepah.

Umang, Puteri Duyung dan Putera Duyung menunggu Raja Duyung di tepi pantai. Sejurus kemudian muncul Raja Duyung dengan diiringi oleh duyung-duyung yang lain. Putera Duyung, Umang dan Puteri Duyung tunduk hormat pada Raja Duyung.

“Beta sebenarnya dukacita dengan apa yang berlaku pada Putera Duyung. Beta tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini, beta berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi. Demi kebaikan bersama beta dengan ini menunaikan janji beta, anakanda Puteri dan Umang akan disatukan menjadi pasangan bahagia... Putera Duyung sudah membuat keputusan untuk pergi dari sini... beta doakan semoga Putera Duyung akan menemui apa yang dihajatinya,” titah Raja Duyung. Umang, Putera dan Puteri Duyung tunduk hormat.

“Ampun tuanku, patik mengucapkan terima kasih kerana mengizinkan patik berkahwin dan membawa bersama Puteri tuanku ke kampung halaman patik. Patik berjanji akan menjaga dan melindungi Puteri tuanku sebaik mungkin. Patik mohon restu tuanku...” kata Umang pada Raja Duyung.

“Baiklah, beta beri restu pada kamu berdua. Semoga bahagia hendaknya,” balas Raja Duyung.

“Ampun tuanku, anakanda Putera mohon maaf, apa yang berlaku semua ini berpunca daripada anakanda Putera sendiri. Umang, aku terima kasih sekali lagi kerana menyelamatkan aku. Kalau tidak kerana kau aku mungkin tidak wujud lagi di dunia ini. Puteri aku berharap kau akan bahagia selamanya. Tuanku, anakanda mohon diri pergi dari sini....” ujar Putera Duyung.

“Putera, ambillah sisir emas ini. Kamu akan menemui apa yang kamu cari selama ini. Simpanlah baik-baik dan berikan sisir emas itu kepada orang yang kamu sayangi,. Kamu akan bahagia dengannya,” Raja Duyung memberikan sisir emas yang lain kepada Putera Duyung. Putera Duyung mengambil sisir emas itu, dia tersenyum.

“Terima kasih tuanku, anakanda Putera akan ingat pesan tuanku itu. Mohon anakanda pergi...” perlahan-lahan Putera Duyung berenang meninggalkan Pulau Duyung membawa diri entah ke mana mengikut kata hati yang lara.

“Anakanda Puteri, ambillah kembali sisir emas ini, simpanlah baik-baik sebagai kenangan. Anggaplah sisir emas itu sebagai nyawa anakanda sendiri.” Raja Duyung menyerahkan kembali sisir emas kepada Puteri Duyung. Puteri Duyung tersenyum gembira lalu mengambil sisir emas itu.

“Ampun patik tuanku, patik dan anakanda tuanku mohon diri dulu...” kata Umang mohon izin pergi. Puteri Duyung segera memeluk Raja Duyung. Puteri Duyung menitiskan air mata sedih.

“Ayahanda, anakanda akan kembali lagi satu hari nanti. Maafkan anakanda...” ujar Puteri Duyung.

“Pergilah anakanda, anakanda sentiasa di hati ayahanda...” Raja Duyung beri kata semangat pada Puteri Duyung. Umang dan Puteri Duyung meninggalkan Pulau Duyung memulakan kehidupan baru di kampung Teluk Angin Pasang.

Teruskan Minat Anda ke Bab Terakhir...

No comments: