BAB 13.
Di luar rumah Tok Kepah, Belitong, Cencaru dan Tamban bersiap sedia untuk melakukan sesuatu yang tidak diketahui oleh Tok Kepah, Mak Lala mahu pun Siput. Mereka sedang nyenyak tidur. Belitong, Cencaru dan Tamban terhendap-hendap di tepi tangga rumah Tok Kepah.
“Dengar sini jangan ada sesiapa keluarkan sebarang bunyi. Aku tidak mahu rancangan kita gagal, faham!” bisik Belitong perlahan-lahan pada Cencaru dan Tamban.
“Buang angin pun tidak boleh?” kata Tamban.
“Itu pantang Dukun Pari beri, tapi kalau aku dengar bunyi buang angin aku bunuh kau!” tegas Belitong beri amaran.
“Kenapalah susah sangat nak hidup...” rungut Cencaru.
“Sudah kau diam, aku nak mulakan pukau. Pukau ini tidak menjadi kalau embun mula menitik dan ingat jangan ada sesiapa yang keluarkan bunyi!” Tamban dan Cencaru angguk faham. Belitong mengeluarkan kain berisi serbuk kunyit hidup lalu dibuka simpulan kain itu dan membaca mentera.
“Kunyit kuning kunyit berbara, kunyit tumbuh di kuala. Daun berembang daun keranji, bagai terawang bagai di kunci. Aku seru berkali-kali, kau kelu berdiam diri. Ikut aku datanglah padaku...” setelah mentera dibaca, serbuk kunyit diambil lalu dihembus ke arah rumah Tok Kepah.
“Kau berdua naik ke rumah ambil Siput, lekas!” Belitong mengarahkan Tamban dan Cencaru naik ke rumah Tok Kepah.
“Kami yang naik?, bukan kau yang naik?” ujar Cencaru.
“Susah betul cakap dengan orang dungu!. Aku tidak boleh naik, itu pantang yang Dukun Pari beri... lekas, jangan buang masa sebelum embun menitik,” jelas Belitong. Perlahan-lahan Tamban dan Cencaru membuka pintu utama dan masuk ke dalam rumah. Belitong menunggu dan berjaga di luar rumah. Di dalam rumah Tok Kepah, Cencaru dan Tamban mencari-cari di mana Siput tidur. Di dalam kesamaran itu, Cencaru terlihat Siput tidur di sebelah Mak Lala. Perlahan-lahan Cencaru dan Tamban menghampiri Siput.
“Kenapa lambat sangat...” Belitong semakin resah. Matanya liar meninjau di sekitar rumah Tok Kepah. Cencaru memberi isyarat pada Tamban supaya segera mengangkat Siput.
“Tamban, kau fikir ini Siput?” tanya Cencaru yang tidak dapat mengagak.
“Ahh!, kalau bukan Siput siapa lagi...” jawab Tamban yakin. Tanpa membuang masa Tamban dan Cencaru mengangkat Mak Lala yang disangka Siput itu segera mengusungnya keluar dari dalam rumah.
“Kenapa berat sangat?” tanya Cencaru lagi.
“Kau ini banyak tanyalah!” kata Tamban yang menahan berat badan Mak Lala.
Belitong yang resah pada mulanya merasa lega bila melihat Cencaru dan Tamban membawa keluar Mak Lala yang disangkanya Siput itu. Sejurus kemudian Mak Lala diletakkan di hadapan Belitong. Terang cahaya bulan menampakkan diri Mak Lala sebenarnya. Belitong terkejut kerana Tamban dan Cencaru tersalah orang.
“Ini bukan Siput!... yang kau bawa Mak Lala ini kenapa, apa mata kau berdua buta!” marah Belitong pada Cencaru dan Tamban.
“Ini semua salah kau Tamban!” Cencaru tuduh Tamban.
“Aku tidak mahu dengar alasan lagi, kau berdua ambil dan bawa Siput sekarang juga!. Lekas...” perintah Belitong dengan marah. Cencaru dan Tamban segera mengangkat Mak Lala lalu dibawa semula naik ke dalam rumah untuk digantikan dengan Siput.
Setelah berjaya menculik Siput, Belitong, Cencaru dan Tamban bergegas pergi membawa Siput ke sebuah gua dipanggil gua Ting Tara Tilala yang tidak jauh daripada perkampungan Teluk Angin Pasang untuk disembunyikan. Siput masih belum sedar daripada pukau. Sepanjang perjalanan menuju gua Ting Tara Tilala tidak ada sesiapa mahu pun penduduk kampung yang melihat perbuatan mereka.
“Belitong, jauh lagikah gua Ting Tara Tilala?” tanya Cencaru yang kepenatan mengusung Siput.
“Kenapa kau dilahirkan dengan akal fikiran yang cetek!. Kalau belum sampai bermakna jauh lagilah,” tegas Belitong.
“Tanya salah tak tanya salah,” rungut Cencaru.
“Lain kali jangan tanya, buat tidak tahu saja...” kata Tamban.
“Ahh! kau pun sama... aku nak berehat” ujar Cencaru yang berhenti mengusung. Belitong menoleh ke belakang.
“Kalau kau asyik berhenti bila nak sampai ke gua itu,” tegur Belitong.
“Mana boleh!, ini tidak adil. Kami yang susah payah menculik, mengusung dan membawa Siput, kau senang-senang tanpa berbuat apa-apa dapat miliki Siput. Kami dapat habuk saja!” marah Cencaru pada Belitong.
“Hari ini kau tolong aku, esok lusa aku pulak tolong kau. Aku janji aku akan beri ganjaran pada kau,” pujuk Belitong.
“Ganjaran apa yang kau nak beri pada aku?. Tahi telinga campur tahi hidung kau pun penat lelah aku belum tentu kau dapat membayarnya,” kata Cencaru sambil disokong oleh Tamban. Belitong menghampiri Cencaru dan Tamban.
“Baiklah beri aku peluang sekali lagi, kau tahu aku sukakan Siput. Siput tidak sukakan aku. Aku terpaksa lakukan semua ini kerana cita-cita aku. Peluang ini aku tidak mahu lepaskan. Kau pun tahu sehingga sekarang Umang entah hidup entah mati, aku tidak mahu Siput jatuh ke tangan Umang. Inilah masanya aku bertindak dan aku percaya Tok Kepah pasti mahukan Siput dicari. Nah, di sini aku akan mainkan peranan aku... aku harap kau berdua faham,” jelas Belitong. Cencaru dan Tamban diam berfikir.
“Baiklah aku akan tolong. Tapi kau mesti berjanji...” kata Cencaru.
“Baiklah aku berjanji... mari kita ke gua,” ujar Belitong. Mereka bertiga bergerak menuju ke gua Ting Tara Tilala untuk menyembunyikan Siput.
Terbit matahari pagi, Belitong, Cencaru dan Tamban sampai di muka pintu gua Ting Tara Tilala.
“Kita sudah sampai gua Ting Tara Tilala, mari kita masuk,” kata Belitong. Mereka bertiga masuk ke dalam gua sambil mengusung Siput. Di dalam gua Siput di letakkan di dalam kurungan yang diperbuat daripada buluh. Siput masih belum sedar dari pukau. Belitong kemudiannya menutup pintu kurungan dan menguncinya.
“Sekarang kita boleh berehat dengan tenang, tiada siapa yang tahu Siput kita sembunyikan di sini,” Belitong ketawa bangga.
“Apa kau nak buat selepas ini?” tanya Tamban.
“Kau tunggu saja, aku akan beritahu kemudian. Berehatlah...” jawab Belitong ringkas. Cencaru dan Tamban merehatkan diri sambil berbaring. Belitong menoleh ke arah Siput yang berada di dalam kurungan dengan senyum lebar. Belitong perlahan-lahan menghampiri kurungan untuk melihat Siput dari dekat.
“Hai Siput akhirnya kau akan jadi milik aku...” bisik hati Belitong. Cencaru dan Tamban mencuri pandang Belitong.
“Tamban kau percaya dengan Belitong itu?” tanya Cencaru.
“Kalau dia menipu dan engkar dengan janjinya aku akan kelar seribu badan dia,” kata Cencaru.
“Janji apa dia dengan kau dulu?” Tamban ingin tahu.
“Dia pernah berjanji nak tolong cari tunang aku yang hilang diculik,” kata Cencaru. Belitong berjalan meninggalkan kurungan dan menghampiri Cencaru dan Tamban. Belitong duduk di sebelah Cencaru kemudian dia baring dan melelapkan mata.
Di muka pintu Mak Lala duduk menangis kerana kehilangan Siput. Tok Kepah berlegar-legar di dalam rumah. Tok Kepah bingung dan resah memikirkan bagaimana Siput boleh hilang.
“Siput..., di mana kau Siput... baliklah Siput...” Mak Lala tidak henti-henti menyebut nama Siput.
“Sudah jangan nangis, rimas aku dengar...” tegur Tok Kepah.
“Abang cubalah ikhtiar cari Siput... kalau asyik berlegar-legar dalam rumah, sampai bila pun masalah takkan selesai,” kata Mak Lala.
“Aku sedang fikirkan bagaimana nak mencari Siput,” ujar Tok Kepah.
“Kenapalah abang ini lembab sangat, panggil orang kampung minta dicari Siput di mana-mana,” Mak Lala beri cadangan.
“Perkara itulah yang sedang abang fikirkan!” kata Tok Kepah.
“Kalau macam itu kenapa tunggu lagi, nak tunggu sampai kambing betina berjanggut! Sindir Mak Lala.
“Aku akan panggil orang kampung dan aku akan suruh mereka mencari Siput. Aku sayangkan anak aku...” ujar Tok Kepah.
“Tercegat di situ tunggu apa lagi, pergilah..” perintah Mak Lala lalu segera ke dapur. Tok Kepah segera keluar rumah untuk menemui orang kampung.
Di gua Ting Tara Tilala, Belitong, Cencaru dan Tamban sedang meratah ikan panggang. Di hadapan mereka dua ekor ikan yang masih terpanggang di atas bara kayu. Di dalam kurungan Siput masih belum sedarkan diri, dia terbaring di situ.
“Kau berdua tahu apa sedang berlaku di rumah Tok Kepah?” tanya Belitong sambil meratah ikan.
“Sudah tentu Tok Kepah termenung dan Mak Lala menangis dengan lagu yang mendayu-dayu,” kata Cencaru.
“Aku tahu Tok Kepah sekarang sedang mengumpulkan orang-orang kampung untuk mencari Siput,” ujar Belitong.
“Sampai bila kau nak biarkan Siput itu tidak sedarkan diri?” tanya Tamban.
“Kau jangan bimbang, pukau itu akan luput tidak lama lagi,” kata Belitong.
“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Cencaru.
“Kita akan kembali ke kampung Angin Pasang...” kata Belitong.
“Untuk apa?” Cencaru ingin tahu.
“Sampai di sana baru kita tahu...” kata Belitong ringkas.
“Bagaimana dengan Siput? Tinggalkan dia seorang diri?” sampuk Tamban sambil melahap ikan panggang.
“Dia selamat di sini, tidak siapa yang tahu Siput ada di gua ini,” balas Belitong yang kemudianya berdiri dan bersiap sedia untuk pergi.
“Belitong kau nak ke mana?” tanya Cencaru.
“Rumah Tok Kepah...” jawab Belitong. Cencaru dan Tamban bergegas pergi.
Buntal dan orang kampung berkumpul di luar rumah Tok Kepah, mereka semua sedang menunggu Tok Kepah keluar dari dalam rumah.
“Perkara apa pulak yang Tok Kepah ingin beritahu?” Buntal tertanya-tanya.
“Ada apa Tok Kepah panggil kita semua?” sapa Buntal pada orang kampung yang ada di sebelahnya.
“Arr... errr...” orang kampung itu geleng kepala tidak tahu.
“Apa yang err... arrr...” Buntal tidak faham sambil menggaru dahinya. Setelah berkali-kali bertanya barulah Buntal sedar orang kampung yang ditegurnya itu bisu.
“Salah tanya orang, bisu rupanya...” kata Buntal. Penat menunggu Buntal duduk bertinggung. Belitong, Cencaru dan Tamban berjalan menghampiri rumah Tok Kepah. Mereka segera berkumpul bersama-sama dengan orang kampung.
“Mana Tok Kepah?” Cencaru tercari-cari.
“Dalam rumah...” kata Tamban. Sejurus kemudian Tok Kepah bersama Mak Lala keluar dari dalam rumah. Mak Lala masih bersedih. Orang kampung merapati ke tangga rumah Tok Kepah kerana tidak sabar-sabar mendengar berita yang ingin disampaikan oleh Tok Kepah. Belitong tersenyum bangga.
“Dengar sini orang kampung, Siput anak aku hilang diculik...” semua yang mendengar riuh dan bertanya sesama sendiri.
“Akulah yang menculiknya...” bisik hati Belitong.
“Betapa sedih keadaan ini berlaku dan sungguh kejam orang yang melakukannya. Aku ingin minta pertolongan kamu semua, carilah anak aku sampai dapat. Barang siapa yang menemui dan membawa balik Siput dengan selamat akan aku kahwinkan anak aku itu kepadanya. Dan barang siapa dapat menangkap si penculik itu akan aku beri ganjaran wang emas kepadanya...” kata Tok Kepah. Semua yang mendengar kata-kata Tok kepah itu gembira dan bersemangat. Cencaru dan Tamban tunduk berfikir.
“Cencaru, kau dengar tadi Tok Kepah akan kahwinkan anaknya pada siapa yang selamatkan Siput. Bukan itu saja ganjaran wang emas pada siapa yang dapat menangkap penculik... kau tidak mahu?” bisik Tamban pada Cencaru. Belum sempat Cencaru berkata, Belitong memegang bahu Cencaru dan Tamban dari belakang.
“Jangan ada niat untuk khianti aku dan cuba belot!” amaran Belitong pada Cencaru dan Tamban.
“Baiklah kamu semua bersurai, pergilah ke mana saja. Aku akan tunaikan janji aku jika Siput dapat dikembalikan,” janji Tok Kepah lalu masuk ke dalam rumah bersama Mak Lala.
“Malang sungguh nasib kau Siput, kau ditinggalkan Umang dan sekarang kau diculik. Aku akan cari kau Siput,” Buntal bergegas meninggalkan rumah Tok Kepah. Orang kampung perlahan-lahan bersurai.
“Belitong, kau lihat sana itu Buntal berangan-angan nak mencari Siput,” beritahu Cencaru pada Belitong. Belitong dan Tamban segera memandang Buntal meninggalkan rumah Tok Kepah.
“Dia bukan bijak apa yang dia sangkakan. Kita lebih bijak daripada dia...” Belitong ketawa kemudian diikuti Cencaru dan Tamban. Kemudian Belitong, Cencaru dan Tamban bergegas pergi.
Di dalam kurungan Siput mula sedarkan diri, perlahan-lahan dia membuka matanya. Badannya terasa lemah dan tidak bermaya. Dia menyedari dirinya berada di tempat lain. Kuasa pukau yang masuk ke dalam dirinya hilang dengan sendirinya. Siput melihat di sekelilingnya. Dia memerhatikan tempat itu erlalu asing bagi dirinya.
“Di mana aku...” kata Siput mula ketakutan. Perlahan-lahan Siput berdiri. Dia berlegar-legar di dalam kurungan. Dia hairan kenapa dia berada di dalam kurungan.
“Kenapa aku dikurung begini...” bisik hati Siput.
“Tolong!... tolong!... tolong lepaskan aku!...jerit Siput. Di dalam gua yang sunyi dan sepi itu membuatkan Siput semakin gerun dan takut. Menahan perasaan takut itu Siput menangis, perlahan-lahan Siput terduduk.
Dalam perjalanan pulang itu, Buntal melalui satu lorong yang agak sunyi. Buntal terasa sakit perut. Perut yang buncit itu dipegangnya sambil menahan sakit yang memulas.
“Kenapa tiba-tiba perut aku sakit ini,” keluh Buntal yang kemudiannya berhenti berjalan. Buntal menekan-nekan perutnya.
“Takkan makan buah binjai perut aku sakit?” kata Buntal meneka. Buntal meneruskan perjalanan. Sakit perut tidak terbendung lagi.
“Tidak boleh jadi, kena buang...” Buntal bergegas berlari ke dalam semak untuk membuang air besar. Lama Buntal bersembunyi di dalam semak itu kerana melepaskan hajatnya. Buntal terdengar Belitong, Cencaru dan Tamban berbual-bual di lorong yang dilalui oleh mereka. Buntal mengamati dan matanya liar melihat Belitong, Cencaru dan Tamban dicelah semak. Mereka bertiga berhenti tidak jauh daripada Buntal yang sedang membuang air besar.
“Bila kau nak serahkan Siput pada Tok Kepah?” tanya Cencaru.
“Aku tidak mahu terburu-buru...” jawab Belitong.
“Lebih cepat lagi bagus, kenapa kau nak bertangguh. Peluang kau di depan mata,” ujar Cencaru. Buntal memasang telinga perbualan Belitong, Cencaru dan Tamban.
“Aku setuju bak kata Cencaru itu. Buat apa kau nak sembunyikan Siput di gua Ting Tara Tilala itu lama-lama. Kau nak buat pekasam?” kata Tamban.
“Bila kau serahkan Siput dengan segera, Siput akan jadi milik kau. Siput akan dikahwinkan dengan kau. Ganjaran wang emas bakal jadi milik kau. Senang-senang hidup kau aka berubah,” sampuk Cencaru.
“Terlalu awal bagi aku nak menyerahkan Siput pada Tok Kepah. Aku tidak mahu orang tahu kita yang menculik dan sembunyikan Siput. Aku nak cari kambing hitam...” kata Belitong.
“Kau nak buat apa kambing hitam itu, nak panggang buat habuan kita malam ini...” Tamban
“Kepala lutut kau!, kau tahu makan saja. Kambing hitam itu maksudnya ganti orang yang menculik Siput. Orang itu akan dituduh menculik Siput, faham!” tegas Belitong. Buntal terkejut bila mendengar kenyataan Belitong.
“Sekarang baru aku tahu, merekalah yang menculik Siput. Rupanya ada udang di sebalik batu...” Buntal mengetahui rancangan Belitong, Cencaru dan Tamban.
“Siapa yang akan jadi kambing hitam?” tanya Cencaru.
“Tamban, kau akan jadi kambing hitam,” jawab Belitong.
“Aku!, kau gila... Oooo kau nak aniaya kawan ya!” Tamban melenting.
“Aku gurau saja, kau ini mudah sangat terasa,” kata Belitong memujuk.
“Habis siapa si kambing hitam itu?” tanya Tamban ingin tahu.
“Buntal si lurus bendul itu,” jawab Belitong. Mereka bertiga ketawa berdekah-dekah tanpa menyedari perbualan mereka telah didengari oleh Buntal.
“Oooo aku kambing hitamnya, dajal sungguh mereka itu. Sebelum aku dijadikan kambing hitam, aku akan jadikan penyangak itu kambing kaki dua...” kata Buntal yang geram dan marah. Belitong, Cencaru dan Tamban meneruskan perjalanan ke gua Ting Tara Tilala. Setelah tiada lagi kedengaran gelak tawa Belitong, Cencaru dan Tamban, Buntal segera keluar dari dalam semak.
“Semput aku duduk dalam semak itu, putus nyawa aku dibuatnya. Bau pun melekat satu badan. Mereka fikir aku ini bodoh, sebodoh-bodoh aku, mereka itu lagi bodoh...! Aku akan pastikan mereka akan jadi kera sumbang!” Buntal menyimpan dendam.
Bab Selanjutnya Pasti Teruja...

No comments:
Post a Comment