BAB 15.
Di muka Gua Ting Tara Tilala, Belitong duduk di atas batu menunggu-nunggu kedatangan Cencaru dan Tamban.
“Mana pulak Cencaru dengan Tamban. Aku suruh cari bekalan makanan bukan jual makanan,” rugut Belitong yang semakin resah menunggu. Sesekali ketenangan Belitong terganggu dengan jeritan Siput meminta tolong supaya dikeluarkan dari dalam kurungan.
“Keluarkan aku! Aku bukan binatang bodoh!... lepaskan aku!” jerit Siput berkali-kali. Belitong memandang ke arah Siput.
“Mulut perempuan ini macam murai tercabut ekor! Siang malam terjerit-jerit ...” Belitong menahan geram lalu bergerak menuju ke kurungan. Sejurus kemudian Belitong sampai di kurungan. Dia berdiri di hadapan Siput dengan wajah yang bengis. Siput memandang tajam muka Belitong.
“Kenapa kau pandang aku begitu, kau fikir muka kau itu cantik, kau fikir aku takut dengan kau. Aku tahu kau culik aku semata-mata kau nak kahwin dengan aku. Kau sengaja buat helah supaya Tok Kepah membuat tawaran dan segala kerja kau itu akan mendapat habuan!” tegas Siput.
“Diam!, kalau tidak aku sumbat mulut kau dengan batu gua ini!” jerkah Belitong.
“Satu hari nanti kau aku akan balas perbuatan kau,” ugut Siput.
“Kau ugut aku ya. Kau tidak boleh buat apa-apa lagi kalau kau sudah menjadi isteri aku,” Belitong ketawa gelihati. Siput pula semakin meluat dengan tingkah laku Belitong.
“Aku harap kau mati dulu sebelum berkahwin dengan aku!” tegas Siput lagi. Belitong ketawa lagi, perlahan-lahan dia meninggalkan kurungan.
Umang baru sedar dari pengsan, Teritip gembira melihat Umang mulai sedar. Nelayan yang membawa pulang Umang itu turut gembira melihat perubahan pada diri Umang.
“Nampaknya Umang sudah sedar...” kata salah seorang nelayan itu.
“Terima kasih kerana menyelamatkan Umang, aku sangkakan dia sudah mati. Umur masih panjang,” Teritip segera merapati Umang.
“Umang, syukurlah kau sudah sedar...” Teritip memegang tangan Umang.
“Puteri, ke mana kau Puteri... kenapa kau tidak ada di sini...” Umang menyebut nama Puteri Duyung.
“Puteri mana pulak yang disebutkannya itu. Mustahil anak aku berkahwin dengan seorang puteri raja...” bisik hati Teritip.
“Teritip anak kau ini sebut nama puteri. Barangkali dia berkahwin anak raja. Wah, beruntung benar kau Teritip berbesankan seorang raja. Lepas ini kau menjadi seorang yang kaya raya. Duduk di dalam istana yang serba mewah. Tapi raja mana ya?” ujar nelayan yang lain.
“Aku tidak fikir begitu, anak aku ini fikirannya terganggu. Janganlah kau fikir yang bukan-bukan,” ujar Teritip yang tidak percaya.
“Puteri tolonglah aku... di mana kau Puteri...” Umang meracau lagi.
“Puteri yang mana satu?” tanya Teritip.
“Puteri Duyung...” jawab Umang.
“Puteri Duyung?” Teritip tergamam. Nelayan saling berpandangan.
“Tolong selamatkan Puteri Duyung... dia dalam bahaya...” beritahu Umang.
“Memang benarlah Teritip anak kau itu fikirannya terganggu... kalau tidak di rawat boleh jadi gila...” kata seorang nelayan membuatkan Teritip tertunduk.
Dukun Pari orang yang paling gembira sekali kerana dapat menangkap Putera Duyung. Putera Duyung telah dimasukkan ke dalam sebuah kolam berhampiran pantai. Kolam itu dipagari dengan kayu-kayu untuk menghalang Putera Duyung daripada melarikan diri, kolam itu seperti sebuah penjara.
“Aku harap kau gembira di dalam kolam ini. Aku sangat memerlukan kau. Aku akan lepaskan kau sekiranya kau dapat membantu aku...” kata Dukun Pari pada Putera Duyung. Putera Duyung yang masih lemah itu tidak dapat berbuat apa-apa hanya mendiamkan diri mengenangkan nasib malang yang menimpanya.
“Kenapalah nasib aku jadi begini, aku tidak ada harapan untuk hidup lagi...” bisik hati Putera Duyung yang menyesali dirinya.
“Kau berehatlah sehingga kau sembuh. Aku akan datang lagi dengan satu permintaan yang harus kau tunaikan,” Dukun Pari tidak sabar-sabar menunggu Putera Duyung itu sihat. Putera Duyung tidak melayan Dukun Pari yang dianggapnya sungguh berbahaya baginya. Putera Duyung hanya memandang laut luas yang berada di hadapannya. Hatinya resah, teringin sekali pulang ke tempat asalnya.
“Tidak mungkin aku akan dapat kembali ke tempat asalku... ajalku mungkin di sini. Bagaimana aku dapat lepaskan diri kalau keadaan sebegini rupa,” keluh Putera Duyung.
“Sejak dari tadi aku bercakap dengan kau, kenapa kau diam? Apakah kau bisu atau pekak atau kau tidak faham dengan bahasa aku?” Tegur Dukun Pari. Putera Duyung yang tertekan dengan keadaan itu terus menyimbah air ke arah Dukun Pari dengan menggunakan ekornya. Maka basah kuyuplah Dukun Pari terkenan simbahan air dari kolam itu.
“Kurang ajar!. Awas kau, aku tidak akan beri kau makan selagi kau tidak tunduk pada aku. Kau akan mati membusuk di dalam kolam itu!” Dukun Pari naik radang. Putera Duyung berenang mengelilingi kolam tanda membantah. Dia ingin bebas. Dukun Pari beredar meninggalkan kolam.
Cencaru dan Tamban berlari anak di tengah hutan menuju ke gua Ting Tara Tilala. Mereka tergesa-gesa sambil membawa bekalan makanan. Cencaru membawa dua uncang makanan manakala Tamban membawa dua uncang makanan.
“Cencaru, yang kau kelam kabut ini kenapa?” kata Tamban yang keletihan berlari. Tamban berhenti seketika melepaskan lelah. Cencaru berhenti berlari dan menoleh ke arah Tamban.
“Kita sudah lambat, aku tidak mahu Belitong mengamuk!. Tidak jauh lagi sampailah...” Cencaru meneruskan perjalanan menuju ke gua. Tamban serba salah dan meneruskan perjalanan. Sejurus kemudian Cencaru dan Tamban sampai di muka gua. Buntal yang sejak awal lagi sudah menunggu di balik perdu pokok besar tidak jauh dari muka gua. Buntal memerhati dan meninjau kehadiran Cencaru dan Tamban.
“Aku pasti merekalah dalangnya. Aku akan tunggu mereka keluar dari gua itu. Aku harap Siput selamat...” bisik hati Buntal. Cencaru dan Tamban meluru masuk ke dalam gua. Buntal memikirkan langkah seterusnya.
“Kenapa lambat sangat!, aku duduk dalam gua macam katak bawah tempurung. Aku belum makan dari tadi. Apa kau buat lama sangat di kampung itu?” marah Belitong pada Cencaru dan Tamban.
“Aku tolong Dukun Pari...” kata Cencaru sambil meletakkan uncang makanan di atas batu. Cencaru duduk di sebelah uncang.
“Kau tidak boleh marah macam itu, apa yang kami buat untuk kau juga,” kata Tamban. Belitong berjalan merapati Cencaru dan Tamban dan memegang bahu Tamban.
“Maafkan aku, aku tahu kau berdua keletihan. Kau kata kau tolong Dukun Pari, kau tolong apa?” Belitong ingin tahu.
“Aku dan Tamban tolong Dukun Pari tangkap duyung...” kata Cencaru.
“Duyung?” Belitong seperti tidak percaya.
“Ya duyung, duyung yang pernah ditemui nelayan dulu,” tambah Cencaru.
“Cantik duyung itu?” Belitong tunjukkan minat.
“Separuh manusia separuh ikan, kau bayangkan sendiri cantik atau tidak. Separuh badan kulit macam kita, separuh badan bersisik macam ikan...” ujar Tamban.
“Kalau macam itu tidak cantiklah...” Belitong cuba membayangkan rupa bentuk duyung itu. “Bagaimana dengan paras wajahnya?” Belitong bertanya lagi.
“Itulah yang kami musykilkan, apa yang aku bayangkan duyung itu punya rupa paras yang cantik dan menawan. Tapi duyung yang Dukun Pari tangkap itu seperti duyung...”
“Seperti duyung apa?” Belitong mencelah.
“Entahlah, aku sendiri pun tidak tahu. Duyung itu jantan atau betina,” Tamban tunduk berfikir.
“Apa kau fikir duyung itu ada jantan dan betina?”
“Kadang-kadang kau ini dungu juga, dalam dunia ini ada dua perkara. Jantan betina, lelaki perempuan, baik buruk, cantik hodoh, jahat baik dan macam-macam lagi...” ujar Cencaru.
“Kalau begitu duyung yang kau liha itu duyung apa?” Belitong duduk di sebelah Cencaru.
“Aku fikir duyung itu duyung jantan...” kata Cencaru.
“Lepas makan aku nak pergi jumpa Dukun Pari. Kau berdua tunggu sini, jaga si murai dalam kurungan itu. Jangan sampai terlepas dan jangan sentuh dia,” pesan Belitong pada Cencaru dan Tamban.
“Kenapa kau nak jumpa Dukun Pari itu?” tanya Cencaru.
“Aku nak minta ubat supaya si murai itu lembut hatinya dan sukakan aku...” jawab Belitong. Cencaru dan Tamban saling berpandangan.
Sekian lama Buntal menunggu di luar gua Ting Tara Tilala dia hampir terlena. Buntal sabar menunggu apakah Belitong, Cencaru dan Tamban akan keluar dari gua itu.
“Berapa lama mereka bertelur dalam gua itu, mata aku sudah tidak tahan menunggu. Aku tidak boleh terlepas pandang,” kata Buntal sendirian. Buntal menyandarkan badannya pada batang pokok. Kantuk matanya tidak terbendung lagi. Mulutnya menguap panjang. Sejurus kemudian Belitong keluar dari dalam gua, dia bersiap-siap untuk pergi menemui Dukun Pari di kampung Teluk Angin Pasang. Secara tidak sengaja Buntal terpandang Belitong keluar dari dalam gua. Kantuk matanya hilang dengan cepat. Buntal membetulkan kedudukannya. Dia memerhatikan Belitong berjalan meninggalkan gua Ting Tara Tilala.
“Kenapa Belitong saja yang keluar pergi, mana dua ekor katak itu? Nampaknya aku mengeram lagi bawah pokok ini...” Buntal melepaskan bosan menunggu. Dia menyandarkan badannya semula pada batang pokok sambil berfikir.
“Bagaimana aku nak selamatkan Siput kalau dua ekor katak itu masih ada di dalam gua. Aku mesti lakukan sesuatu...” Buntal berdiri sambil menjengah ke arah muka gua. Dia masih ragu-ragu.
Dukun Pari menjampi dan memperasap sirih pinang iaitu ubat yang diminta oleh Belitong. Selesai menjampi Dukun Pari memberikan sirih pinang itu kepada Belitong. Belitong mengambil sirih pinang dan membeleknya.
“Sirih pinang ini nak buat apa dukun?” tanya Belitong.
“Kenapa kau bengap sangat, itu ubat yang kau minta tadi. Makan sirih pinang itu kemudian semburkan pada muka Siput. Maka lembutlah hatinya, Siput pasti sukakan kau,” ujar Dukun Pari.
“Jangan lupa baca mentera sebelum makan, begini menteranya dengar baik-baik... lembut hati hati yang lembut. Hati yang datang menjadi lembut. Hati yang pergi biarkan pergi. Gerak hati milik empunya diri...” Dukun Pari membetulkan duduknya.
‘Terima kasih dukun, aku harap ubat ini menjadi...” Belitong menyimpan ubat itu di dalam lipatan kain.
“Bila kau nak serahkan Siput pada Tok Kepah?” tanya Dukun Pari.
“Tidak lama lagi... aku sedang merancang untuk memerangkap Buntal sebagai kambing hitam. Selepas itu aku akan serahkan Siput pada Tok Kepah. Yang pasti Tok Kepah terpaksa menyerahkan Siput pada aku...” Belitong ketawa dan dikuti pula Dukun Pari ketawa berdekah-dekah.
“Aku dengar dukun ada menangkap duyung, betulkah?” tanya Belitong ingin tahu.
“Ya, memang benar... tapi jangan sampai orang lain tahu. Itu rahsia kita,” jawab Dukun Pari. “Aku ingin melihatnya, di mana duyung itu?” desak Belitong.
Buntal menyelinap masuk ke dalam gua Ting Tara Tilala. Di celah-celah batu Buntal bersembunyi. Dia memerhatikan keadaan sekeliling gua, Buntal perlahan-lahan berjalan masuk lebih jauh ke dalam gua. Pada satu peringkat Buntal terlihat kurungan yang menempatkan Siput.
“Memang benarlah Siput disembunyikan di dalam gua ini,” bisik hati Buntal. Kemudian Buntal memandang ke sudut lain, dia terlihat Cencaru dan Tamban sedang lena tidur. Kedengaran dengkuran mereka berdua.
“Bagus ini peluang aku...” Buntal berjalan merapati kurungan, sejurus kemudian Buntal sampai lalu mengejutkan Siput.
“Siput... Siput bangun Siput...” kata Buntal. Siput tersedar dari tidurnya. Siput terkejut bila melihat Buntal ada di hadapannya dan hampir menjerit tetapi ditegah oleh Buntal.
“Syyy...!” jangan bising dua ekor katak itu sedang tidur,” kata Buntal. Siput gembira Buntal datang menyelamatkannya
“Abang Buntal tolong keluarkan Siput dari sini,” rayu Siput.
“Abang Buntal datang nak selamtakan Siputlah...” ujar Buntal.
“Cepat abang Buntal buka ikatan itu,” desak Siput.
“Baiklah, abang buka sekarang...” Buntal mengambil parangnya lalu memotong tali yang mengikat pintu kurungan. Setelah itu, Siput dibawa keluar dari dalam kurungan.
“Cepat kita keluar dari dalam gua ini.” Buntal membawa Siput dan bergegas keluar dari dalam gua. Cencaru dan Tamban masih berdengkur tanpa menyedari Siput dan Buntal melarikan diri. Sampai di muka gua Buntal dan Siput berhenti.
“Kenapa abang Buntal?” tanya Siput.
“Kita tidak boleh balik ke kampung Teluk Angin Pasang...”
“Tapi kenapa?”
“Nanti abang ceritakan pada Siput, cepat kita pergi dari sini.” Buntal dan Siput berlari ke dalam hutan dan menghilangkan diri.
Dukun Pari membawa Belitong ke kolam untuk menunjukkan duyung yang ditangkapnya itu.Sampai sahaja di kolam itu Belitong terpaku melihat Putera Duyung. Ketika itu Putera Duyung termenung sambil memandang ke laut. Putera Duyung tidak menghiraukan kehadiran Dukun Pari dan Belitong. Belitong masih terpaku melihat Putera Duyung yang tidak terjangkau di dalam fikirannya.
“Kau masih tidak percaya?” tanya Dukun Pari yang tersenyum melihat Belitong terlopong.
“Apakah itu duyung...?”
“Ya, itulah duyung... yang pernah aku katakan dulu dan sekarang sudah ada di depan mata. Kau masih ingat apa janji aku dulu. Air mata duyung boleh mengubati mata kau itu,” ujar Dukun Pari.
“Aku masih ingat lagi, tapi aku tidak sangka duyung memang wujud. Benarlah kata Cencaru dan Tamban, separuh manusia separuh ikan,” kata Belitong.
“Sudahlah yang penting aku sudah memperolehi duyung itu,” Dukun Pari menepuk bahu Belitong. Putera Duyung menoleh dan memandang ke arah Belitong. Belitong tergamam melihat wajah Putera Duyung itu lalu jatuh pengsan. Dukun Pari terkejut Belitong jatuh pengsan.
“Pengsan?... kau gagah dan bengis tapi lembik bila lihat duyung...” keluh Dukun Pari sambil menggelengkan kepala. Dukun Pari berdiri lalu pergi dan membiarkan Belitong di tepi kolam.
Teruskan Minat Anda Ke Bab Selanjutnya...
No comments:
Post a Comment