BAB 7.
Putera Duyung terdampar di atas batu kerana mengenangkan nasib cintanya kepada Puteri Duyung tidak berbalas. Putera Duyung menangis kesedihan.
“Hai Puteri kenapa kau menjauhkan diri. Tahukah kau betapa aku menyayangi diri kau...” keluh Putera Duyung. Sedang Putera Duyung asyik meratap nasib dirinya muncul Raja Duyung yang sudah tua dan berjanggut putih datang menghampiri Putera Duyung yang bersedih.
“Putera, beta fikir lebih baik kamu pergilah merantau. Carilah ketenangan. Beta tidak dapat membantu dan memaksa Puteri memilih kamu. Tidak ada gunanya kalau Puteri tidak menyukai kamu. Barangkali Puteri belum bersedia memilih kamu...” kata Raja Duyung memujuk Putera Duyung.
“Ke mana lagi patik ingin pergi merantau tuanku, sudah lunyai badan patik mengharungi lautan, dilanggar kapal laut, masuk pukat, keluar pukat, dikejar penyu, ditokak jerung bermacam-macam lagi. Benua mana patik tidak pergi, lautan mana patik tidak harungi, segala macam haiwan di laut dan di tepi darat menjadi lawan dan kawan. Tapi patik senang berada di sini. Sayangnya Puteri tuanku yang paling cantik enggan mencintai patik. Apa kurangnya patik?, walaupun zahir patik lembut tapi jiwa raga patik sekeras batu,” ujar Putera Duyung panjang lebar.
“Kamu tidak tahu, apa sebenarnya yang berlaku pada puteri beta,” kata Raja Duyung,
“Tuanku tidak ceritakan bagaimana patik tahu, kenapa dengan puteri tuanku itu?” tanya Putera Duyung.
“Puteri Duyung sudah melanggar sumpah. Sisir emas warisan turun tumurun diambil manusia darat. Puteri Duyung tidak boleh berkahwin dengan kamu mahu pun dengan manusia darat,” jelas Raja Duyung.
“Bilakah sumpahan itu akan berakhir?” tanya Putera Duyung ingin tahu.
“Berakhirnya sumpahan, apabila sisir emas itu dikembalikan kepadanya,” ujar Raja Duyung. Putera Duyung tunduk sedih.
“Kasihan Puteri, nasibnya begitu malang sekali,” kata Putera Duyung.
“Itulah yang mendukacitakan beta... disebabkan sisir emas itu hilang Puteri sentiasa mencari dan menanti agar manusia darat memulangkannya ” keluh Raja Duyung.
“Tidak ada carakah untuk mendapatkannya semula sisir emas itu?” tanya Putera Duyung.
“Berbagai cara sudah kami lakukan namun belum berhasil, kami tidak mahu manusia darat mengenali kami dan perkara buruk akan berlaku jika kami mendekati mereka. Beta tidak mahu duyung-duyung dibawah jagaan beta mendapat kesusahan,” kata Raja Duyung. Putera Duyung tunduk merenung masa depan dirinya dan Puteri Duyung. Raja Duyung pergi meninggalkan Putera Duyung.
Umang, Siput dan Buntal berehat di bawah pokok. Umang tertidur, di sebelahnya Bunal dan Siput asyik memakan tebu. Tiba-tiba Umang segera bangun dari tidurnya. Siput dan Buntal berpandangan. Umang berjalan ke hulu ke hilir menambahkan lagi kehairanan Siput dan Buntal.
“Kau ini kenapa Umang?. Macam kera kena belacan,” kata Buntal hairan.
“Aku sudah lama tidak makan belacan,” jawab Umang ringkas.
“Kalau abang Umang tidak puas hati dengan sisir emas itu, tanyalah pakcik Teritip dari mana dia dapat,” kata Siput.
“Sisir emas..., mimpi kau jadi duyung..., lakaran duyung... Memang ada, memang wujud!” tegas Umang.
“Apa yang wujud?” tanya Buntal.
“Duyung memang wujud!” Umang segera berlari pulang ke rumah meninggalkan Siput dan Buntal. Siput dan Buntal semakin tidak faham dengan perangai Umang.
“Jembalang mana yang sampuk Umang itu,” Buntal merungut.
“Aku hairanlah, sejak akhir-akhir ini Umang berlainan sekali. Banyak berubah, kadangkala macam orang tidak betul, sakit oak agaknya...” Siput mula sangsi.
“Benar aku sendiri pun naik hairan apa yang tidak kena dengan Umang itu,” ujar Buntal yang mencampakkan sisa tebu yang dimakannya.
“Apa kaitan sisir emas dengan duyung?” Siput bertanya. Buntal garu kepala, dia sendiri tidak dapat meneka apa kaitannya.
Di tengah laut, Belacak dan rakan-rakannya yang lain mendayung sampan dengan penuh bersemangat mencari duyung yang diperkatakan oleh Dukun Pari dan Belitong. Mereka mencari dan mencari namun belum bertemu dengan duyung.
“Sejak dari tadi kelibat duyung pun aku tidak nampak. Apakah ada duyung di laut ini?” Belacak semakin ragu-ragu kerana duyung yang dicari dan diburu itu tidak muncul lagi. Rakan-rakannya pun turut kecewa dan keletihan duyung dicarinya belum ditemuinya.
“Woi, kamu semua sudah nampak duyung!” teriak Belacak pada rakan-rakannya.
“Belum lagi!... mari kita cari!” jerit salah seorang rakan Belacak sambil meninjau.
Di permukaan air Puteri Duyung muncul, dia terdengar Belacak dan rakannya menjerit. Puteri Duyung menyangka nelayan yang di atas sampan itu adalah manusia darat yang pernah mengambil sisir emasnya. Sangkaannya meleset, bukanlah Teritip yang dimaksudkannya.
“Bukan orang itu yang aku cari, aku kenal benar manusia darat yang mengambil sisir emas aku dulu,” bisik hati Puteri Duyung yang kecewa.
“Aku percaya mereka itu mempunyai niat yang tidak baik datang ke sini, aku mesti buat sesuatu,” kata Puteri Duyung.
Tiba-tiba di langit awan hitam berarak dengan pantas, mendung hitam diikuti dengan angin bertiup kencang. Air laut berkocak dan berombak. Sampan yang dinaiki Belacak dan rakan-rakannya yang lain terumbang-ambing dipukul ombak.
“Hairan, tiba-tiba keadaan berubah?” Belacak semakin cemas melihat perubahan di sekelilingnya. Rakan-rakannya yang lain turut hairan, apakah musibah yang bakal mereka akan terima. Di permukaan air yang bergelora itu muncul Puteri Duyung berenang tidak jauh daripada sampan Belacak.
“Binatang apakah itu, separuh manusia separuh ikan. Adakah duyung yang dikatakan Dukun Pari? Kalaulah benar itu duyung pasti tepat tekaan aku dan aku akan mendapat habuannya...” kata duyung yang semakin bersemangat tanpa menghiraukan keadaan laut di sekelilingnya.
“Kawan-kawan aku sudah lihat duyung!” jerit Belacak pada rakan-rakannya.
“Cepat kita kepung!” teriak salah seorang rakan Belacak. Mereka semua segera mendayung ke tempat di mana Puteri Duyung berada. Puteri Duyung terperangkap di tengah-tengah kepungan sampan Belacak dan rakan-rakannya..
“Cepat, tebar jala atau jaring! Jangan sampai terlepas!” jerit Belacak.
Puteri Duyung ketakutan dan cemas, dia sudah terkepung. Belacak dengan segera menebarkan jalanya ke arah Puteri Duyung. Puteri Duyung sempat mengelak ke tepi. Belacak marah denga keadaan itu.
“Jahanam!” Belacak menarik kembali jalanya ke atas sampan. Belum sempat jala dan jaring ditebar oleh rakan-rakan Belacak, tiba-tiba laut bertambah bergelora dan angin bertiup kencang. Puteri Duyung segera menyelamatkan diri dengan menyelam ke dalam laut bila melihat Belacak dan rakan-rakannya cemas melihat keadaan ombak bergelora dan angin bertiup kencang. Ombak dan angin kencang itu menyebabkan sampan Belacak dan rakannya terumbang-ambing.
“Matilah aku!” kata Belacak semakin cemas dan takut. Oleh kerana tidak dapat mengimbangi keadaan sampan yang hampir tenggelam itu, Belacak dan rakannya terhumban ke dalam laut. Mereka semua terkapai-kapai cuba menyelamatkan diri. Sampan mereka pecah dipukul ombak besar. Belacak dan rakannya tenggelam timbul kelemasan dipukul ombak. Puteri Duyung tersenyum puas dan segera menghilangkan diri.
Di tangga rumah Umang tidak senang duduk, fikirannya hanya tertumpu pada duyung. Dia yakin duyung memang wujud.
“Aku mesti turun ke laut,” Umang bertekad. Umang capai pendayung sampan yang terletak di tepi tangga lalu segera beredar dari rumahnya. Teritip yang terlihat Umang pergi terus menegurnya.
“Kamu nak ke mana Umang?” tegur Teritip
“Mencari rahsia,” tegas Umang.
“Rahsia apa?” Teritip bertanya lagi sambil menggaru punggungnya.
“Rahsia yang selama ini bapak simpan,” jawab Umang. Umang berlari meninggalkan Teritip.
“Rahsia apa yang aku simpan?” Teritip terfikir sesuatu.
Umang berlari menuju ke sampan. Di belakangnya Siput dan Buntal mengejar Umang. Umang tidak mengendahkan panggilan Buntal dan Siput.
“Umang!, Umang!” jerit Buntal memanggil Umang. Umang segera mencampakkan pendayung ke dalam sampan dan segera menolak tetapi dihalang oleh Siput dan Buntal.
“Jangan ganggu aku, pergi!” kata Umang.
“Abang Umang nak pergi mana?” tanya Siput ingin tahu. Umang diam membisu.
“Umang kenapa dengan kau ini, bukan masanya turun ke laut. Semua orang sudah balik dari laut. Kau nak pergi, nak cari apa?” Buntal turut musykil.
“Buntal, aku nak kau jaga Siput, faham!” pinta Umang.
“Kalau setakat jaga Siput aku tidak ada masalah. Tapi kalau aku kahwin dengan Siput kau jangan marah,” ujar Buntal.
“Abang Umang tolonglah beritahu kami, abang Umang nak cari apa di laut itu,” pujuk Siput.
“Satu hari nanti kau berdua akan tahu,” Umang segera menolak sampan ke air dan terus melompat ke dalam sampan. Siput dan Buntal tidak dapat berbuat apa-apa. Tanpa disedari Buntal berada di gigi air.
“Air laut, mati aku...” Buntal tersedar lalu segera berlari ke darat. Umang terus mendayung menuju ke tengah laut.
“Siput tolong aku, aku mabuk laut...” Buntal terasa loya dan mabuk laut dan terus jatuh pengsan. Siput panik lalu mendapatkan Buntal.
“Abang Buntal bangun!” Siput cuba menyedarkan Buntal dengan menepuk pipi Buntal. Buntal masih tidak sedarkan diri. Siput kemudiannya memandang ke laut Umang semakin hilang dari pandangannya.
Di tengah laut mayat Belacak dan rakan-raknnya terapung-apung di permukaan air. Sampan-sampan semuanya terlungkup dan ada sampan yang separuh tenggelam. Belacak dan rakan-rakannya mati lemas akibat dipukul ombak dan angin kencang. Muncul Puteri Duyung di permukaan air. Puteri Duyung berenang dari satu mayat ke mayat yang lain. Puteri Duyung ingin mencari manusia darat yang pernah mengambil sisir emasnya.
“Mayat ini bukan manusia darat yang mengambil sisir emas, di manakah perginya manusia darat itu?” kecewa Puteri Duyung tidak terbendung lagi. Puteri Duyung segera menghilangkan diri.
Mayat Belacak dan rakan-rakannya hanyut ditolak ombak. Umang mendayung dan terus mendayung. Semakin lama dia mendayung samakin jauh dia berada di tengah laut. Umang keletihan, dia berhenti mendayung. Dia melihat di sekelilingnya. Dia terasa ada sesuatu. Umang terkejut mayat Belacak melanggar sampannya.
“Ada orang mati lemas, mayat siapa ini?” Umang terkejut dan segera melihat mayat Belacak.
“Belacak!” Umang terduduk selepas melihat mayat Belacak.
“Musibah apakah ini...” Umang ketakutan. Perlahan-lahan Umang berdiri untuk meninjau.
Umang terkejut bila melihat mayat rakan-rakan Belacak dan sampan mereka terapung-apung di permukaan air.
“Apa sudah jadi dengan mereka, bagaimana boleh terjadi?” bisik hati Umang. Umang capai pendayung lalu berpatah balik dan terus mendayung dengan sekuat hatinya.
Puteri Duyung muncul di permukaan air, dia melihat Umang mendayung sampan meninggalkan mayat Belacak dan rakannya.
“Apakah manusia darat itu yang mengambil sisir emas?” Puteri Duyung meneka dan dapat merasakan sesuatu. Umang hilang daripada pandangan.
“Kalaulah benar manusia darat itu yang mengambil sisir emas, aku yakin satu hari nanti aku akan memilikinya semula,” Puteri Duyung segera berenang mengekori Umang dari belakang.
Dukun Pari dan Belitong minum di pondok kopi. Cencaru dan Tamban tertidur di atas kerusi panjang. Belitong resah menanti kepulangan Belacak dan rakan-rakannya. Dukun Pari leka menghisab rokok daun.
“Apa Dukun Pari yakin mereka akan bawa pulang duyung?” tanya Belitong.
“Aku harap begitulah, mudah-mudahan mereka akan bawa balik apa yang kita hajatkan,” jawab Dukun Pari selamba.
“Aku tidak mengharap mereka akan bawa balik duyung itu,” balas Belitong.
“Kenapa? Apa maksud kau?” Dukun Pari membetulkan duduknya.
“Dukun percaya mereka semua itu, lebih-lebih lagi si Belacak?” ujar Beliong yang sangsi.
“Kau fikir mereka akan tipu kita atau mengkhianati kita,” kata Dukun Pari.
“Mungkin juga...” jawab Belitong ringkas.
“Aku tidak fikir begitu, aku percaya pada Belacak,” kata Dukun Pari.
“Dukun jangan fikir begitu, hati orang mana kita tahu,” Belitong meneguk air kopi. Dukun Pari mencampakkan puntung rokok daun ke tepi.
“Kalau begitu apa yang menghantui kepala otak kau?” Dukun Pari bertanya lagi.
“Sudah tentu mereka akan curi duyung itu dan bawa lari jauh dari sini,” ujar Belitong yang meresahkan Dukun Pari.
“Sebab?” Dukun Pari tidak senang duduk.
“Mereka sudah tahu kelebihan duyung. Mereka akan kaya, hidup mewah dan terkenal kerana memiliki duyung,” kata Belitong.
“Ahh, aku tidak percaya... barangkali kau sendiri yang bersubahat dengan Belacak untuk mencuri duyung itu,” balas Dukun Pari.
“Dukun Pari jangan tuduh yang bukan-bukan!” Belitong naik angin dan terus beredar meninggalkan Dukun Pari. Dukun Pari hanya tersenyum.
Air laut tenang, Umang terbaring di dalam sampan. Matahari terik memancar. Panahan terik matahari itu menyebabkan Umang tersedar dari tidurya tetapi tidak bertenaga untuk mengangkat badan dan kepalanya.
“Di mana aku...” kata Umang yang keletihan. Sekali lagi Umang mencuba untuk bangun. Akhirnya perlahan-lahan Umang dapat duduk dengan keadaan tidak bermaya kerana keletihan.
“Rupanya aku masih dilautan lagi, tadi aku mendayung ke darat tapi kenapa aku masih di sini...” bisik hati Umang kehairanan. Umang menoleh ke kiri dan ke kanan, memandang ke belakang dan ke hadapan. Tiba-tiba Umang tergamam bila terlihat Puteri Duyung berada tidak jauh dari sampannya. Umang antara percaya dengan tidak.
“Wahai gadis yang cantik kenapa kamu berada di sini?. Adakah kamu hanyut atau kapal kamu karam. Boleh saya bantu?” kata Umang pada Puteri Duyung. Puteri Duyung tidak menjawab pertanyaan Umang itu, dia hanya memandang Umang. Umang menjadi serba salah. Perlahan-lahan Puteri Duyung menjauhkan diri dan berenang pergi meninggalkan Umang. Sekali Umang terkejut besar, mulutnya terlopong bila melihat ekor Puteri Duyung. Gadis cantik yang disangkanya manusia hanyut rupanya duyung yang pernah didengar sebelum ini. Berkali-kali Umang menggosok mata, dia keliru dan bertambah bingung.
“Adakah benar apa yang aku lihat ini duyung...” bisik hati Umang. Matanya terpaku melihat Puteri Duyung berenang meninggalkannya.
“Kalaulah benar duyung aku bukan bermimpi lagi,” Umang capai pendayung dan segera mendayung sampan menuju ke darat.
Sampan yang didayung oleh Umang mendarat di tepi pantai. Umang segera turun dari sampan. Umang merasa dirinya lemah lalu rebah di atas pasir. Umang sedaya upaya untuk bangun tetapi tidak berdaya.
“Kenapa susah sangat aku nak bergerak, tangan aku menggeletar... badan aku seram sejuk...” Umang cuba merangkak, pandanganya kabur. Umang pegsan di situ juga.
Anda Rugi Jika Tidak Ke Bab Selanjutnya...

No comments:
Post a Comment